Skip to main content

Singapura

Taman hidupan liar ke-5 SG bakal dibuka pada Mac 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Taman hidupan liar ke-5 SG bakal dibuka pada Mac 2025

(Ilustrasi: Mandai Wildlife Group)

Diterbitkan : 07 Nov 2024 06:37PM Dikemas Kini : 07 Nov 2024 06:55PM
SINGAPURA: Pengunjung ke taman hidupan liar kelima Singapura bakal berpeluang menjejaki hutan yang luas, yang dipenuhi dengan 29 spesies haiwan dan pelbagai elemen pengembaraan.

Taman baharu itu, Rainforest Wild Asia, akan melancarkan fasa pertama pada Mac 2025, menurut Mandai Wildlife Group dalam satu kenyataan media pada Khamis (7 Nov).

Ia akan menjadi taman zoologi pertama yang berlandaskan pengembaraan di Asia.

Diilhamkan oleh pengembaraan melalui hutan hujan, tarikan baharu seluas 13 hektar di Mandai Wildlife Reserve itu direka untuk mempunyai pelbagai laluan dengan tahap kesukaran yang berbeza, supaya pengunjung boleh mengatur lawatan mengikut pilihan tersendiri.

Ini termasuk laluan kembara yang dipenuhi dengan balak tumbang, batu-bata dan sungai, serta laluan pejalan kaki yang ditinggikan dan lebih mudah untuk dilalui.

Laluan pejalan kaki yang ditinggikan, yang turut dilengkapi dengan hentian rehat berbumbung, boleh diakses oleh keluarga yang mempunyai kereta sorong bayi dan pengguna kerusi roda.

"Mereka yang mencari pengalaman yang meningkatkan adrenalin boleh menyertai pengalaman dan lawatan berpandu yang menawarkan elemen tinggi merentasi permukaan batu, terjunan bebas dan pengembaraan gua yang mencabar," tambah Mandai Wildlife Group.

Untuk mencipta landskap taman, hampir 7,000 pokok dan pokok renek (shrub) Asia Tenggara ditanam untuk menambah kawasan hutan hujan sedia ada yang dilindungi .

"Pengunjung dinasihatkan untuk memakai kasut yang selesa dan dibekalkan dengan rasa pengembaraan untuk penerokaan hutan hujan mereka nanti," kongsi Mandai Wildlife Group.
(Ilustrasi: Mandai Wildlife Group)
HABITAT FLEKSIBEL UNTUK HIDUPAN LIAR

Rainforest Wild Asia akan menjadi tempat tinggal kepada haiwan seperti harimau Malaya, beruang matahari dan lutung (langur) Jawa.

Ia juga akan menjadi tuan rumah kepada spesies "yang baru tiba di Singapura" seperti lutung Francois yang terancam dan rusa tompok Filipina, menurut Mandai Wildlife Group.

Hidupan liar di taman itu akan berkeliaran dalam "habitat yang luas", memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan mereka hidup dan membesar dengan baik dalam persekitaran hutan hujan yang tersusun, kata Mike Barclay, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mandai Wildlife Group.

"Yang paling penting, kami berharap dapat mewujudkan hubungan yang rapat dengan alam semula jadi dan keazaman yang diperbaharui untuk menghargai dan melindungi planet kita."

Habitat fleksibel juga akan diperkenalkan di Rainforest Wild Asia buat kali pertama, menurut Mandai Wildlife Group.

Haiwan yang berbeza, seperti dhole merah dan babi rusa, akan dipamerkan pada beberapa ketika setiap hari.

Habitat sedemikian akan "menyediakan persekitaran yang merangsang deria haiwan, menggalak tingkah laku semula jadi sambil membenarkan pelawat memerhatikan tingkah laku ini", menurut Mandai Wildlife Group.
(Ilustrasi: Mandai Wildlife Group)
PENGEMBARAAN HUTAN HUJAN "BERBILANG PERINGKAT"

Laluan di atas dan di bawah tanah akan dipaparkan merentasi 10 zon berbeza di Rainforest Wild Asia.

Sebagai contoh, "Rock Cascade" di taman itu akan mempunyai laluan pejalan kaki yang ditinggikan, di mana pengunjung boleh melihat pameran harimau Malaya.

Pengunjung akan dapat melihat harimau berkeliaran melalui terowong dan meneroka air terjun.

Di "Watering Hole", zon terbesar di taman itu, pengunjung mungkin berpeluang menangkap beruang matahari Malaya yang sedang mencari makan di pokok, dan tapir Malaya yang berkeliaran di hutan.

Untuk melihat sekilas kehidupan di atas pokok, pengunjung boleh melawat "The Canopy" untuk bertemu dengan haiwan seperti lutung Jawa, lutung betis merah dan siamang.

Pengunjung juga boleh membeli pengalaman "Adventure Plus" seperti "Canopy Jump", di mana peserta boleh melompat dari platform setinggi 13 meter atau 20 meter dan terjun bebas sebelum diturunkan ke darat dengan selamat.

Fasa taman seterusnya yang bakal dibuka - Rainforest Wild Africa - diilhamkan oleh landskap rantau Afro-Tropika dan Madagascar, tambah Mandai Wildlife Group.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita