Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman di Pesisiran lancar siri 'Wonderful Wetlands' sempena ulang tahun ke-10

Sempena ulang tahunnya yang ke-10, Taman di Pesisiran pada Ahad (5 Jun) melancarkan 'Wonderful Wetlands' atau Tanah Paya Wonderful, iaitu satu siri kuliah awam dan kegiatan sains yang tertumpu kepada pokok-pokok bakau yang ditanam di kawasan Tanah Paya Kingfisher.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman di Pesisiran lancar siri 'Wonderful Wetlands' sempena ulang tahun ke-10

(Gambar: Gardens by the Bay)

Diterbitkan : 05 Jun 2022 09:02PM Dikemas Kini : 05 Jun 2022 09:03PM

SINGAPURA: Sempena ulang tahunnya yang ke-10, Taman di Pesisiran pada Ahad (5 Jun) melancarkan 'Wonderful Wetlands' atau Tanah Paya Wonderful, iaitu satu siri kuliah awam dan kegiatan sains yang tertumpu kepada pokok-pokok bakau yang ditanam di kawasan Tanah Paya Kingfisher.

Orang awam boleh membantu mengumpul data bagi pemantauan pokok-pokok bakau dan mempelajari mengenai ekosistem pantai dan karbon biru menerusi kuliah awam yang dijalankan.

Orang awam juga boleh menguji cuba jelajah realiti tambahan tanah paya yang dirintis.

Tanah Paya Wonderful yang ditaja oleh Temasek dan Dana Eko SG, juga membolehkan masyarakat umum untuk mengetahui lebih lanjut mengenai huraian berpangkalan alam bagi menangani perubahan iklim, menurut Taman di Pesisiran. 

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee melancarkan program itu pada Ahad dengan menanam beberapa pokok-pokok bakau di 'Kingfisher Wetlands', yang digunakan sebagai "makmal hidup" bagi menyokong kajian sains karbon biru.

"Pokok-pokok bakau ini yang ditanam akan berfungsi sebagai habitat untuk mengukuhkan usaha pemuliharaan kami dan menyumbang kepada usaha menanam lagi sejuta pokok di merata Singapura antara 2020 hingga penghujung dekad pada 2030, di bawah gerakan "OneMillionTrees" kami," kata Encik Lee.

Pihak Taman di Pesisiran sudah bekerjasama dengan Pusat bagi Huraian Iklim Berasaskan Alam NUS dan DHI Water and Environment untuk mengkaji kawasan tanah paya sejak tahun lalu, menurut Taman di Pesisiran.

"Pokok-pokok bakau menyerap karbon dan dianggap sebagai cara semulajadi untuk mengurangkan jumlah gas rumah hijau dalam atmosfera.

"Ia dapat menyerap lebih banyak karbon berbanding dengan di hutan hujan, dengan kebanyakan daripada karbon ini disimpan dalam mendapan mereka. Ini yang dimaksudkan dengan karbon biru - karbon yang diserap oleh ekosistem pantai dan marin," menurutnya.

Terdapat lebih 200 pokok bakau dan jenis-jenisnya di Kingfisher Wetlands, yang dibuka pada November lalu.

KERJASAMA DENGAN ITE, RP

Taman di Pesisiran juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Pendidikan Teknikal dan Politeknik Republik pada Ahad.

"Bidang utama kerjasama termasuk pengambilan Tanah Paya Kingfisher dalam penyenggaran holtikultur oleh ITE dan pemantauan pokok-pokok bakau bersama RP," menurut Taman di Pesisiran.

Taman di Pesisiran juga menyatakan ia akan menawarkan enam hadiah buku setiap tahun kepada pelajar ITE yang mengambil kursus NITEC dalam Penghijauan Bandar dan Landskap, dan kursus NITEC tinggi dalam Pengurusan dan Reka Bentuk Landskap.

Bagi para pelajar RP, mereka juga boleh mengambil bahagian dalam sesi pemantauan paya bakau yang termasuk mengukur ketinggian dan kelebaran paya bakau bagi menentukan tahap kesihatannya.

Taman Di Pesisiran juga akan bekerjasama dengan Sekolah Pengurusan dan Komunikasi RP untuk "membangunkan bersama wadah pemasaran digital untuk menggalakkan dan memupuk pemikiran kemampanan dalam kalangan belia", tambahnya.

Tanah Payah Wonderful dan kerjasama yang terjalin bersama ITE dan RP adalah sebahagian daripada usaha Taman di Pesisiran untuk meluaskan tumpuannya dalam kemampanan, 10 tahun selepas ia dilancarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Taman di Pesisiran Felix Loh berkata ia "kini lebih penting" untuk beri tumpuan kepada huraian mampan sedang "dunia bangkit semula daripada pandemik".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan