Skip to main content

Singapura

Taman di Pesisiran bakal bangunkan daya tarikan 'Wetlands by the Bay'

Anggaran Waktu Membaca:
Taman di Pesisiran bakal bangunkan daya tarikan 'Wetlands by the Bay'
Gambaran 'Wetlands by the Bay'. (Gambar: Taman di Pesisiran)
SINGAPURA: Taman di Pesisiran akan membangunkan tarikan baharu seluas lima hektar yang diberi nama 'Wetlands by the Bay', yang akan menampilkan muzium teamLab dan ruang masyarakat yang baharu.

Diumumkan oleh Menteri Negara Pembangunan Negara Alvin Tan di parlimen pada Rabu (4 Mac), daya tarikan itu merupakan projek pembangunan semula utama yang pertama di Taman Bay South sejak ia dibuka pada 2012.

Taman Bay South menempatkan tarikan seperti Flower Dome, Cloud Forest dan Supertree Grove.

'Wetlands by the Bay' akan menampilkan lebih 600 pokok bakau dan tumbuhan pesisir pantai - meningkatkan koleksi di Kingfisher Wetlands sedia ada seluas 1.5 hektar sebanyak tiga kali ganda, menurut kenyataan media Taman di Persisiran.

"Ia akan menjadi tiga kali ganda kawasan sedia ada, tiga kali ganda bilangan tumbuh-tumbuhan," kata Encik Tan.

Kingfisher Wetlands sedia ada akan terletak dalam kawasan daya tarikan baharu ini.

Pengalaman imersif juga akan dilancarkan dengan kerjasama kolektif seni antarabangsa teamLab - paling dikenali di Singapura bagi Future World, iaitu pameran tetap di Muzium ArtScience.

Muzium utama teamLab akan menampilkan pengalaman kayak pedal pelbagai deria yang membawa pengunjung melalui pemasangan dengan landskap semula jadi dan habitat paya, jelas Taman di Persisiran.

Di samping itu, laluan pejalan kaki kanopi akan dibina merentasi Kingfisher Wetlands untuk menghubungkan dengan lebih baik stesen MRT Gardens by the Bay dengan tarikan utama dalam Taman Bay South.

Ruang masyarakat baharu seluas 3,500 meter persegi, Glade Lawn, akan dibina sebagai kawasan khusus untuk acara dan kegiatan masyarakat.

KONSEP MAKAN BAHARU

Daya tarikan itu juga akan menampilkan konsep makan Satay by the Bay yang diubah suai.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Jason Yeo, pengurus besar perancangan induk di Gardens by the Bay, berkata pajakan pengendali sedia ada untuk Satay by the Bay sekarang, akan tamat tempoh pada bulan Disember.

Rancangannya adalah untuk membangunkan semula premis itu seiring dengan 'Wetlands by the Bay' bagi "pengalaman makan tepi laut yang diberi nafas baharu", kata Encik Yeo.

Konsep baharu itu akan mengekalkan pilihan makanan yang boleh diakses yang kini terdapat di Satay by the Bay di aras bawah, dan juga akan mempunyai restoran kasual di dek atas, katanya.

Pengusaha gerai sedia ada yang menyatakan minat untuk beroperasi di Satay by the Bay yang baharu akan dirujuk kepada pengendali baharu untuk dipertimbangkan selaras dengan konsep keseluruhan dan campuran penyewa, tambahnya.

Walaupun mereka tidak mendedahkan kos projek, daya tarikan ini dibiayai oleh rizab kewangan Taman di Pesisiran sendiri sebagai sebahagian daripada usahanya untuk meningkatkan pengalaman pengunjung dan kekal menarik, katanya.

Seperti semua projek utama, kos pembangunan diimbangi dengan pulangan dari segi kerancakan pelancongan, manfaat kepada alam sekitar, kemudahan akses awam dan kebolehjagaan jangka panjang serta kemampanan perniagaan, tambahnya.

Pembinaan dijadualkan bermula pada suku pertama 2027, dengan pembukaan secara bertahap-tahap disasarkan menjelang akhir 2028.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita