Taman Bukit Gombak baru dijangka siap pada awal 2020
Kerja-kerja binaan bagi Taman Bukit Gombak yang baru mula dijalankan hari ini (31 Mac), menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyatan media.
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi Taman Bukit Gombak yang baru mula dijalankan hari ini (31 Mac), menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyatan media.
Taman seluas 4.8 hektar itu terletak di Bukit Batok West Avenue 5 bertentangan Pusat Memandu Bukit Batok. Ia dijadual dibuka pada awal 2020.
Apabila dibuka tidak lama lagi, para pengunjung boleh menikmati kehijauan dan kemudahan-kemudahan riadah, termasuk lorong mengembara dan sebuah taman permainan alam semula jadi.
Menurut NParks, pihaknya mengumpul maklum balas para penduduk mengenai ciri-ciri taman tersebut semasa proses perancangan dijalankan.
"Pelbagai maklum balas diterima dan antara saranan yang diberikan termasuk menanam tumbuh-tumbuhan yang menarik biodiversiti, kawasan tenang bagi menikmati alam semula jadi, ruang-ruang riadah bagi para keluarga dan rakan-rakan serta peluang untuk masyarakat berkebun dan mendekati alam semula jadi," menurut NParks lagi.
NParks menyatakan taman baru itu akan menampilkan sebuah Kawasan Alam Semula Jadi dan Kawasan Aktif "bagi memenuhi pelbagai keperluan rekreasi masyarakat".
Para pencinta alam semula jadi boleh menjangkakan lebih 2,000 pokok yang terdiri daripada 16 jenis pokok. Ini termasuk pokok batai atau 'Yellow Flame' serta pokok belinjau dan pokok mempat apabila taman itu siap kelak.
Kawasan Aktif pula akan menampilkan sebuah halaman berumput terbuka, sebuah ruang kecergasan, taman masyarakat, kedai makanan dan minuman F&B serta tandas-tandas awam.
Gelanggang bola keranjang sedia ada bersebelahan Blok 394 juga akan menjadi sebahagian daripada taman tersebut, menurut NParks.
Taman itu akan melengkapi Taman Bandar Bukit Batok dan Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok yang ada sekarang. Taman-taman tersebut akan dihubungkan menerusi Penghubung Taman Choa Chu Kang.
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Datuk Bandar CDC Barat Daya Low Yen Ling menghadiri upacara pecah tanah bagi memulakan kerja-kerja binaan itu.
Encik Gan berkata: "Taman Bukit Gombak yang baru adalah tambahan baru kepada rangkaian taman dan ruang kehijauan di daerah Barat Daya, di samping Little Guilin dan Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok.
"Sedang penduduk semakin menua, ruang-ruang kehijauan seperti Taman Bukit Gombak akan menggalak kegiatan rekreasi berbilangan generasi dan membolehkan penduduk berehat dan menenangkan fikiran."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.