Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman binaan bersepadu pertama S'pura di Pelabuhan Jurong, mula beroperasi Dis 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Taman binaan bersepadu pertama di Singapura yang terletak di Pelabuhan Jurong akan mula beroperasi pada Disember 2022. 

Ia akan menghimpunkan pemain utama rantaian bekalan dalam industri binaan, sekali gus memudahkan mereka bekerjasama, serta berkongsi sumber dan kemudahan. Ini termasuk tempat penyimpanan dan loji campuran konkrit yang sudah dibancuh. 

Taman binaan bersepadu itu merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif dalam Perancangan Perubahan Industri (ITM), yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (6 Sep). 

Berucap merasmikan Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa, Encik Lee berkata bahawa langkah menyediakan pelbagai kemudahan binaan di satu tempat akan meningkatkan lagi kecekapan apabila menghasilkan  komponen binaan. Misalnya, bahan mentah seperti simen, pasir dan granit boleh dibawa menerusi sistem konveyor dan bukan lori. 

Ia juga boleh menghasilkan rantaian bekalan bahan binaan yang lebih cekap dan mesra alam, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA). 

Encik Lee berkata konsep tersebut akan diuji cuba di Pelabuhan Jurong sebelum pihak berkuasa mempertimbangkan untuk melaksanakannya di lokasi-lokasi lain. 

Aktiviti binaan hampir kembali ke paras sebelum COVID-19 dan situasi tenaga manusia sudah stabil, kata Encik Lee, sambil menarik perhatian bahawa BCA sedang dalam landasan untuk mencapai unjuran permintaan antara S$27 bilion dengan S$32 bilion tahun ini. 

Namun, pengajaran yang ditimba daripada pandemik juga mendorong semakan semula dijalankan terhadap bagaimana industri berkenaan boleh diubah, kata Encik Lee semasa melancarkan ITM Persekitaran Binaan yang diperbahrui. 

"Kami tidak bermula dari kosong. ITM Persekitaran Binaan yang diperbaharui ini berdasarkan kemajuan yang kami lakukan di bawah ITM Binaan dan rancangan transformasi Pengurusan Kemudahan," katanya. 

"Namun, kami akan melakukan lebih lagi untuk menyepadukan semua usaha ini, dan mengambil pendekatan kitaran binaan ke arah transformasi." 

Encik Lee berkata ITM yang diperbaharui bertujuan membina sektor yang lebih produktif dan berdaya tahan, menyumbang kepada persekitaran yang lebih mampan dan memiliki "keupayaan mendalam".

Empat projek yang menunjukkan piawaian tinggi dalam kemampanan, daya penghasilan dan pendigitalan diberi Anugerah Transformasi Sekitaran Binaan yang baru di acara hari ini.

Pemenangnya ialah pembangunan kondominium Tampines The Tapestry, bangunan pejabat PSA Liveable City, Maktab Rendah Eunoia dan pembangunan North Coast 1 dan 7 JTC di Woodlands North Coast.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan