Taman baru Bukit Gombak dibuka; puncaknya 45 meter atas paras laut
Sebuah taman baru di Bukit Gombak dibuka hari ini (5 Sep) sebagai sebahagian daripada koridor alam semula jadi yang menghubungkan Rangkaian Taman Alam Semula Jadi Tengah dengan Koridor Hutan Tengah.

Sebuah taman baru di Bukit Gombak dibuka pada 5 Sep 2021. (Gambar: NParks)
SINGAPURA: Sebuah taman baru di Bukit Gombak dibuka hari ini (5 Sep) sebagai sebahagian daripada koridor alam semula jadi yang menghubungkan Rangkaian Taman Alam Semula Jadi Tengah dengan Koridor Hutan Tengah.
Terletak di sebuah bukit, tempat tertinggi taman seluas 4.8 hektar itu adalah 45 meter di atas paras air laut, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media bersama Persatuan Rakyat (PA) dan Sport Singapore.
Sebuah taman rama-rama terletak di tempat tertinggi taman tersebut, dihiasi tumbuh-tumbuhan yang berupaya menarik serangga itu serta lebih 20 spesies kupu-kupu.
Taman itu juga menyediakan sebuah kawasan permainan khas buat kanak-kanak, lengkap dengan papan gelongsor sepanjang 5.3 meter. Ia turut menampilkan peralatan mainan yang diilhamkan oleh alam semula jadi seperti rasuk kaki (balancing beam) di tengah-tengah pepohon serta pokok renek.
Selain itu, terdapat juga kawasan kecergasan terbuka yang dilengkapi dengan peralatan senaman, halaman berumput terbuka untuk menganjurkan acara serta kafe - Whisk and Paddle.
Ciri-ciri dan landskap Taman Bukit Gombak disusun untuk membawakan suatu persekitaran yang lebih bersifat semula jadi dengan lebih 1,500 pokok ditanam, menurut kenyataan media itu.
Bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat dalam minat untuk berkebun, peruntukan plot kebun dinaikkan daripada 70 kepada 120. Menurut kenyataan itu, semua plot kebun tersebut sudahpun ditempah sepenuhnya.
Taman Bukit Gombak adalah nod di Koridor Semula Jadi Bukit Batok, yang merangkumi lebih 125 hektar taman dan 10 kilometer laluan semula jadi serta penghubung taman.
“(Koridor Semula Jadi Bukit Batok) membentuk sebuah koridor ekologi penting antara Rangkaian Taman Semula Jadi Tengah dengan Koridor Hutan Tengah di barat Singapura," menurut agensi-agensi dalam kenyataan media.
“Taman baru itu menawarkan pilihan lain kepada pengunjung selain Hutan Simpanan Bukit Timah yang terletak berhampiran."
NParks juga merancang untuk membangunkan sebuah tapak semaian masyarakat di taman itu, yang akan menyumbang kepada gerakan OneMillionTrees - iaitu rancangan Pemerintah untuk menanam satu juta pokok menjelang 2030.
Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, Gan Kim Yong dan Low Yen Ling, menghadiri upacara pembukaan taman tersebut di mana mereka menamam sebuah pokok asam kuang.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata bahagian barat daya Singapura sudahpun memiliki kawasan semula jadi yang subur di antara kawasan perumahan dengan rangkaian taman serta ruang-ruang menghijau.
“Dengan penambahan Taman Bukit Gombak, ini akan mejadi satu lagi ruang menghijau untuk dinikmati para penduduk kami. Sedang Singapura berubah menjadi sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi, taman-taman ini akan membolehkan masyarakat untuk menghargai alam semula jadi yang menghijau dan bersatu untuk menyumbang kepada persekitaran lebih mampan," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.