Skip to main content

Singapura

Taman bakau Mandai akan dibuka pada 2028; taman alam semula jadi ketiga terbesar di Singapura

Sebuah kawasan ekologi baharu bakal dibangunkan di bahagian utara Singapura apabila Taman Bakau dan Taman Alam Semula Jadi Mandai dibuka secara progresif mulai 2028.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman bakau Mandai akan dibuka pada 2028; taman alam semula jadi ketiga terbesar di Singapura

(Gambar: NParks)

Diterbitkan : 22 Jan 2025 10:09AM Dikemas Kini : 22 Jan 2025 10:10AM
SINGAPURA: Sebuah kawasan ekologi baharu bakal dibangunkan di bahagian utara Singapura apabila Taman Bakau dan Taman Alam Semula Jadi Mandai dibuka secara progresif mulai 2028.

Terletak kira-kira 3km dari timur Paya Simpanan Sungei Buloh, taman baharu itu akan menyediakan tempat perlindungan penting untuk biodiversiti dan mengembangkan Rangkaian Taman Alam Semula Jadi Sungei Buloh, yang terdiri daripada paya simpanan dan habitat-habitat penting lain seperti Paya Kranji dan Jalan Gemala, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (22 Jan).
Related article image
(Gambar: NParks)
Seluas kira-kira 72.8 hektar, taman ini akan lebih besar daripada Taman Alam Semula Jadi Rifle Range. Ini akan menjadikannya taman alam semula jadi ketiga terbesar di Singapura selepas Taman Alam Semula Jadi Chestnut dan Taman Alam Semula Jadi Dairy Farm.

“Rangkaian itu melindungi pelbagai habitat tanah paya, termasuk hutan bakau, dataran lumpur dan paya air tawar, mengukuhkan pemuliharaan biodiversiti tanah paya di bahagian utara Singapura,” kata NParks dalam kenyataan medianya, sambil menambah bahawa kerja-kerja untuk taman bakau Mandai disasarkan untuk bermula pada tahun 2026.
Related article image
(Gambar: NParks)
CIRI-CIRI BAKAL MENJADI TUMPUAN

Taman alam semula jadi yang baharu itu akan merangkumi laluan, jejak kembara dan lokasi menarik yang akan menawarkan pengunjung pemandangan burung-burung hijrah di kawasan paya tersebut. 'Bird hides' adalah tempat perlindungan di mana para pengunjung boleh memerhati hidupan liar dan burung khususnya dari jarak dekat.

Kemudahan-kemudahan pengunjung akan direka sedemikian rupa supaya ia berupaya meminimumkan kesan ke atas kawasan tanah paya, kata NParks.
Related article image
Laluan Sungei Pang Sua Baharu. (Gambar: NParks)

Dua laluan yang disarankan - iaitu laluan Sungei Pang Sua Baharu dan Sungei Kranji Baharu - akan menawarkan pemandangan panoramik tanah paya dan kawasan sekitarnya kepada para pengunjung. Laluan Pang Sua akan merangkumi menara pencerapan yang menghadap ke kawasan paya, manakala laluan Kranji akan memberikan pemandangan Taman Kolam Air Kranji yang terletak berdekatan.

Kedua-dua laluan akan dilengkapi dengan papan tanda pendidikan dan kemudahan seperti tempat menurunkan penumpang bas.

Laluan tepi pantai yang menghubungkan laluan ini juga telah disarankan, dan ia juga akan menyepadukan 'bird hydes' bagi membolehkan para pengunjung memerhati hidupan liar. Selain itu, laluan ini juga akan menyokong pemulihan dan penjanaan semula bakau di kawasan tersebut

Related article image

MELINDUNGI BIODIVERSITI

Memandangkan hutan bakau Mandai merupakan salah satu daripada beberapa habitat bakau yang tinggal di Singapura dengan kawasan paya yang luas terdedah kepada air surut, NParks menyediakan lebih banyak peluang kepada para pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut tentang biodiversiti tanah paya dan menyumbang kepada pemuliharaannya.

"Taman alam semula jadi yang akan datang akan melindungi biodiversiti yang kaya ini, sambil menyediakan peluang penyelidikan dan pendidikan kepada para pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut," kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam catatan Facebooknya pada Rabu (22 Jan).

Dapatan daripada Penilaian Kesan Sekitaran (EIA) NParks dari Ogos 2022 hingga Ogos 2023 merekodkan sekitar 384 spesies fauna darat dan akuatik, dan 196 spesies flora.

Related article image
Belangkas. (Gambar: Yang Shufen)
Lebih 50 bakau dan spesies tumbuhan seperti bakau 'crabapple' didapati terancam, dengan sekurang-kurangnya 60 spesies fauna terancam, termasuk burung barau-barau (straw-headed bulbul) dan dua spesies belangkas.

EIA biasanya terdiri daripada tinjauan asas, penilaian kesan alam sekitar dan penciptaan langkah-langkah pengurangan, serta pelan pengurusan dan pemantauan alam sekitar.

Dapatan awal daripada kajian itu, yang menilai potensi kesan alam sekitar terhadap taman alam semula jadi yang disarankan, mendapati bahawa langkah-langkah mitigasi "sesuai" yang dilaksanakan boleh mengurangkan kesan terhadap biodiversiti, kata NParks.

Beberapa langkah yang dicadangkan termasuk penyelamatan tumbuhan yang mempunyai kepentingan pemuliharaan dan penanaman semula dengan spesies asli, mengelakkan kerja-kerja binaan berat semasa musim penghijrahan burung, serta pemulihan dan peningkatan habitat.

Laporan penuh EIA akan diterbitkan pada bulan depan dan orang ramai dipelawa untuk memberikan maklum balas apabila ia dikeluarkan kelak, tambah NParks.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita