Takrif perkahwinan, dasar berkaitan tidak patut ditentukan mahkamah, kata Masagos

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berucap di Parlimen pada 28 November 2022.
Pindaan perlembagaan yang diusulkan akan menyediakan "perlindungan lebih baik" berbanding yang sedia ada bagi kedua-dua takrif perkahwinan serta dasar-dasar berkaitan, tambah beliau.
Encik Masagos berhujah demikian semasa satu perbahasan mengenai pindaan yang diusulkan terhadap Perlembagaan demi "melindungi takrif perkahwinan" - iaitu antara seorang lelaki dengan seorang wanita - daripada dicabar di mahkamah.
Turut dibahaskan serentak adalah usul Pemerintah untuk memansuh Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menjadikan hubungan seks sesama lelaki satu jenayah.
"Pemerintah tidak akan menggunakan majoriti besar kami sekarang di Parlimen untuk mengikat kebebasan generasi masa depan," kata Encik Masagos.
"Maka itu, pindaan perlembagaan tidak akan menghalang Pemerintah masa depan, yang dipilih oleh rakyat, daripada meminda definisi undang-undang perkahwinan dengan majoriti mudah di Parlimen, sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
"Inilah dikatakan demokrasi," ujarnya.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos lalu bahawa Seksyen 377A, sebuah undang-undang zaman penjajahan, akan dimansuh dan satu pindaan perlembagaan akan dibuat berhubung takrif perkahwinan.
Encik Masagos menarik perhatian bahawa Encik Lee berkata Pemerintah "tiada niat" untuk mengubah definisi perkahwinan dan dasar-dasar yang bergantung kepada takrif tersebut, seperti perumahan awam, pendidikan, syarat-syarat mengambil anak titipan, piawai pengiklanan dan klasifikasi filem.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, ketua generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau pasukan 4G, juga menegaskan bahawa Pemerintah tidak akan mengubah semua itu "di bawah pentadbirannya" sekiranya PAP memenangi Pilihan Raya Umum seterusnya, kata Encik Masagos.
"Saya menegaskan lagi jaminan tersebut dalam Dewan ini," kata Encik Masagos.
"Pada akhirnya, sama ada perkahwinan di Singapura akan kekal sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita bergantung kepada kata muafakat dalam masyarakat, dibentuk oleh nilai-nilai yang kami pegang teguh.
"Selagi masyarakat menyokong kuat takrif perkahwinan sedia ada, tidak akan ada Pemerintah yang akan mengubah definisinya. Jika sokongan masyarakat mula terhakis, tiada perundangan atau perlembagaan yang akan menghalang perubahan daripada dilakukan.
"Di pihak kami, Pemerintah melakukan sebaik mungkin untuk menggalak norma-norma kemasyarakatan dan nilai-nilai yang seiring dengan takrif perkahwinan sedia ada. Namun, ia bukan sesuatu yang boleh dikecapi Pemerintah sendiri," jelasnya.
"Memupuk nilai-nilai sosial kepada generasi seterusnya adalah sesuatu yang diamalkan oleh rakyat Singapura dalam keluarga masing-masing dan bersama orang tersayang mereka."
Encik Masagos juga berkata "sebuah pemerintah yang bertanggungjawab tidak sepatutnya membiarkan mahkamah bergelut dengan isu-isu sosial yang kontroversil".
Fungsi mahkamah, tambah beliau, bukan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan politik ataupun peraturan tentang norma-normal dan nilai-nilai sosial mahupun untuk menangani isu-isu tersebut dari aspek politik, sosial, etika serta sudut-sudut lain.
"HOMOSEKSUAL ADA TEMPAT DALAM MASYARAKAT KITA"
Encik Masagos berkata biarpun sesetengah segmen di Singapura mungkin mahu "menegakkan pendirian mereka sendiri" berhubung isu tersebut, ini boleh menyebabkan tentangan, membawa kepada tindak balas negatif dan memecahbelahkan masyarakat dengan lebih lanjut.
"Singapura tidak akan mencapai hasil yang positif pada akhirnya. Lantaran itu, adalah penting bahawa sesetengah kumpulan tidak mendesak melangkaui apa yang boleh diterima oleh masyarakat kita. Dalam kebanyakan kes, masyarakat memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan."
Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata Singapura "beruntung kerana para pemimpin agama memahami konteks masyarakat majmuk kita dan masyarakat mereka masing-masing percaya Pemerintah akan melayani semua agama secara saksama tanpa berat sebelah."
Menurutnya dalam berkongsi niat Pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A, Pemerintah telah melibatkan masyarakat Melayu/Islam secara meluas sepanjang setahun ini.
Ini termasuk para pemimpin agama, asatizah serta ketua masyarakat dan badan-badan Melayu/Islam.
"Dalam kesemua perbincangan tersebut, saya berbesar hati dengan sikap pemimpin masyarakat kita yang dapat berbincang secara tenang dan rasional," kata Encik Masagos.
"Irsyad Mufti dan ulama mapan kita pula telah memberi kata putus pendirian agama mengenai homoseksualiti secara arif – bahawa dalam Islam, hanya hubungan seksual antara lelaki dan wanita dalam perkahwinan dibenarkan.
"Pada masa yang sama, Mufti juga menjelaskan bahawa gaya hidup homoseksual tidak mengeluarkan seseorang itu dari agamanya.
Mereka mesti tetap didekati dengan rahmah dan belas ihsan apalagi oleh keluarga mereka sendiri," ujarnya.
Encik Masagos menambah: "Sifat terbuka pemimpin masyarakat dan kebijaksanaan ahli agama kita telah menghindar situasi di mana emosi masyarakat dalam hal ini sengaja dapat dipanas-panaskan. Terima kasih kami pada mereka semua."
Encik Masagos berkata golongan homoseksuals mempunyai tempat dalam masyarakat dan ruang untuk menjalani kehidupan mereka sendiri di Singapura.
"Dalam masyarakat kita, mereka juga - seperti rakyat Singapura yang lain, mempunyai akses kepada pendidikan dan pekerjaan, kepada jagaan kesihatan dan khidmat sosial serta kepada perlindungan daripada pengganasan dan gangguan."
Bagaimanapun, berhubung perkahwinan dan keluarga, kebanyakan rakyat Singapura "mahu mengekalkan norma-norma sedia ada", kata beliau sambil menambah bahawa Pemerintah juga berkongsi pandangan yang sama.
"Sebagai sebuah masyarakat, tanpa kira pandangan anda tentang perkahwinan, keluarga atau homoseksualiti, tiada seorang pun yang patut berasa tidak selamat untuk mengutarakan pandangan mereka atau bimbang akan dipulaukan, dibuli ataupun berdepan diskriminasi.
"Ia adalah bahaya untuk masyarakat kita jika kita tidak belajar untuk menghormati orang lain yang memegang pandangan berbeza daripada kita. Ini mengancaman ruang bersama yang dikongsi dan Singapura tidak akan dapat maju sebagai sebuah masyarakat yang satu padu."
PINDAAN PERLEMBAGAAN
Jika diluluskan, Rang Undangitu -undang akan mewujudkan Artikel 156 yang baru di bawah peruntukan am Perlembagaan. Ini akan menjadikannya jelas bahawa Parlimen boleh mengambil tindakan untuk "memberi takrifan, mengawal selia, menjaga, melindungi, menyokong, memupuk dan menggalak" perkahwinan, kata Encik Masagos.
Pindaan perlembagaan akan memberi kuasa kepada Parlimen untuk terus menggubal serta meminda undang-undang bagi mentakrifkan perkahwinan dan tafsiran peruntukan perlembagaan yang lain juga mesti mengiktiraf perkara ini, tambah beliau.
Artikel 156 juga akan membolehkan Pemerintah serta mana-mana pihak berkuasa awam untuk melaksanakan fungsinya dalam cara yang serupa demi "menjaga, melindungi, menyokong, memupuk dan menggalak" perkahwinan, kata Encik Masagos, dengan memberikan beberapa contoh berikut:
- Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) boleh melaksanakan dasar-dasar perumahan awam yang memberi keutamaan kepada pasangan berkahwin
- Ketika menilai permohonan untuk anak angkat, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) boleh mempertimbangkan "matlamat dasar awam untuk memupuk dan menggalak pembetukan sebuah keluarga mengikut konteks perkahwinan"
- Kurikulum untuk prasekolah dan sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) bertunjangkan "nilai-nilai yang mencerminkan masyarakat am Singapura", merujuk kepada perkahwinan antara lelaki dengan wanita dan anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga sedemikian
- Apabila mengawal selia kandungan media, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) berpandukan prinsip yang meliputi norma-norma serta nilai-nilai sosial sedia ada
Artikel itu juga akan memperuntukkan bahawa tiada perkara dalam Bahagian 4 Perlembagaan itu - yang menetapkan lapan kebebasan asasi - akan membatalkan sebatang definisi perundangan perkahwinan iaitu sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Undang-undang dan tindakan eksekutif juga tidak boleh dibatalkan oleh Bahagian 4 hanya semata-mata kerana ia berdasarkan definisi perkahwinan heteroseksual.
"Kami perlu Artikel 156 untuk meliputi semua Bahagian 4 agar ia boleh digunakan dalam hujah undang-undang radikal lain yang mungkin dibangkitkan pada masa depan kelak," kata Encik Masagos, menggambarkan Artikel sebuah sebagai satu "perisai kuat".
BUKAN PENDEKATAN BERDASARKAN MAJORITI ATAU AGAMA
Ketika menggulung ucapannya, Encik Masagos berkata kumpulan-kumpulan agama boleh terus menyampaikan khutbah tentang homoseksualiti mengikut kepercayan agama masing-masing tetapi "tiada seorang pun boleh mencabuli undang-undang negara atau mencetuskan keganasan mahupun ugutan terhadap orang lain mahupun sesebuah kumpulan tertentu."
Encik Masgaos juga menekankan bahawa "nilai-nilai dan pendirian Pemerintah yang menyokong keluarga bukan hasil daripada pendekatan majoriti mahupun agama.
"Ia sesuatu yang dikongsikan sebagai rakyat Singapura dan apa yang dipegang serta ditegakkan Pemerintah ini," ungkapnya,
"Ia adalah untuk kepentingan awam dan bukan kepentingan kumpulan agama tertentu."
Pindaan perlembagaan adalah satu "pendekatan teratur" yang berusaha untuk menangani keprihatinan tentang sama ada pemansuhan Seksyen 377A akan menyebabkan satu "anjakan mendadak", terang Encik Masagos.
"Bagaimanapun, ia juga dilakukan dalam cara untuk tidak menghalang kebebasan Parlimen pada masa depan. Lebih penting lagi, kami ingin memastikan Pemerintah seharusnya menjadi wadah utama untuk membincangkan isu-isu sensitif dan bukannya mahkamah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.