Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tak boleh pelihara lebih daripada 2 kucing? Kekeliruan ini akibatkan lonjakan kes pengabaian kucing sehingga 70% sejak Mei

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kes pengabaian kucing kian meningkat, dengan ada yang mendapati sehingga hampir 70 peratus menyusuli pengumuman rangka kerja pengurusan kucing pada Mei lalu.

Menurut penyelamat kucing seperti Cik Nasha Jumaat, ini disebabkan beberapa kekeliruan dalam kalangan pemilik kucing.

Misalnya, ada yang menyangka bahawa mereka hanya dibenarkan untuk pelihara dua ekor kucing sahaja dan melepaskan kucing-kucing mereka yang lain sehingga menyebabkan kenaikan kes pengabaian kucing.

Di bawah rangka kerja pengurusan kucing yang diumumkan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada Mei lalu, para penghuni HDB boleh memelihara sehingga dua ekor kucing setelah mereka mendaftarkan lesen dan memasang mikrocip pada kucing-kucing itu bermula esok (1 Sep).

Namun, bagi penduduk yang sudah memiliki lebih daripada jumlah kucing yang dibenarkan, mereka masih tetap akan dibenarkan untuk terus memeliharanya asalkan mereka mendaftar lesen bagi kesemua kucing itu sebelum tempoh peralihan tamat pada 31 Ogos 2026.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Banyak (kes), sehingga hampir 60 hingga 70 peratus. Jumlahnya sangat tinggi dan ketara sekali dalam kes pengabaian dan pembuangan kucing ini. Ada kalanya, kucing-kucing itu dibuang dalam satu sangkar yang besar dan mereka menyumbatkan sahaja lima hingga enam ekor kucing itu dalam satu sangkar yang besar itu," kongsi Cik Nasha kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya secara peribadi pernah menerima mesej tentang keprihatinan mereka yang bimbang apabila peraturan baharu itu diumumkan iaitu yang membenarkan dua ekor kucing dalam satu isi rumah. Jadi kebanyakan orang ada lebih daripada dua kucing. Jadi mereka rasa khuatir kalau mereka menyimpannya, sebagai contoh seseorang ini ada lima ekor kucing, dan rangka kerja itu hanya membenarkan dua, jadi yang lagi tiga itu mereka khuatir mereka akan disaman atau bertentangan dengan pihak berkuasa. Jadi mereka risau," tambah beliau.

PENINGKATAN DALAM JUMLAH KES PENGABAIAN KUCING

Malah, untuk pemilik kucing yang keliru tetapi tidak bertanya atau mendapatkan penjelasan, Cik Nasha berkata ada kemungkinan mereka mengambil tindakan sendiri.

"Untuk orang-orang yang bertanya ini, mungkin mereka tidak akan membuang kucing mereka tetapi bagi yang tidak bertanya (atau cari penjelasan) pula, ada kemungkinan mereka akan bertindak ikut suka hati dan akan buang kucing yang selebihnya," tambah beliau.
 

Cik Nasha (kiri) bersama Cik Rufqah (kanan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Seperti Cik Nasha, seorang lagi penyelamat kucing, Cik Siti Rufqah Mohd Ismail yang juga merupakan "cat feeder" atau yang memberi makanan kepada kucing-kucing dalam masyarakat, turut menyaksikan peningkatan dalam jumlah kes pengabaian kucing.

Ini juga menurutnya akibat kekeliruan sebilangan pemilik kucing tentang jumlah kucing yang boleh dipelihara di HDB selepas pelaksanaan rangka kerja baharu itu.

"Saya (sudah) menyelamatkan tiga (kucing) tetapi sejauh ini, dalam tiga bulan ini saya nampak dalam tujuh hingga lapan kucing baharu di daerah rumah saya sebab sebagai 'feeder', kami masing-masing tahu kucing (bezakan) baharu dengan kucing lama. Kalau kucing lama memang semua sudah dikembirikan tetapi kalau kucing baru ini, boleh nampak mereka belum dikembirikan dan nampak sangat ketakutan mereka dengan dunia luar," jelas Cik Rufqah.

"Ada pemilik kucing yang mungkin nampak kami "feeder", sebab itu mereka beranggapan yang ada orang di bawah untuk memberi makan (kepada kucing mereka) jadi mereka tidak perlu risau tetapi mereka tidak tahu yang kita sendiri bekerja dan apa yang kita memberi makan kepada kucing itu adalah daripada hasil duit kerja sendiri," tambahnya.

KUCING YANG DISELAMATKAN DIBAWA PULANG UNTUK DIHANTAR KEMBIRI JIKA BELUM

Gambar: Siti Rufqah Mohd Ismail

Untuk kucing-kucing yang diabaikan itu, Cik Rufqah biasanya akan melihat dahulu sama ada ia sudah dikembirikan.

Jika belum, beliau akan membawa kucing itu ke doktor haiwan untuk dikembirikan sebelum membuat keputusan sama ada untuk melepaskan semula kucing itu atau untuk diberikan sebagai haiwan peliharaan.

Kos ke klinik haiwan seperti ini selalunya ditanggung sendiri oleh penyelamat kucing serta daripada kutipan derma daripada masyarakat untuk membantu kucing-kucing itu, jika ia menelan belanja yang terlalu tinggi.

"Kalau kucing itu lembik ataupun tidak tahu mempertahankan dirinya sendiri, saya akan 'adopt out' atau memberinya. Untuk kucing yang boleh mempertahankan diri sendiri dan mencari makan sendiri, saya akan letak di bawah (kolong blok) semula tetapi sebelum itu, saya akan bawa balik ke rumah dan mengaturkan untuk dikembiri semua. Dalam 10 hari kemudian, baru saya letak di bawah semula," menurut Cik Rufqah.

SPCA LIHAT PENINGKATAN KES PENGABAIAN KUCING DISYAKI ATAU DISAHKAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Dalam pada itu, Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) juga menyaksikan peningkatan dalam kes pengabaian kucing yang disyaki atau disahkan, sejak pengumuman rangka kerja itu pada Mei lalu.

Pada Mei misalnya, tiga kes pengabaian kucing dicatatkan namun jumlah itu melonjak tiga kali ganda pada bulan seterusnya.

"Ada juga kes yang dilaporkan kepada kumpulan atau agensi haiwan lain dan banyak lagi sama ada tidak dilaporkan ataupun disedari. Oleh itu, SPCA hanya menerima sebahagian daripada jumlah keseluruhan kes. Lagipun, kerana banyak kucing yang belum lagi dipasang mikrocip, ia agak sukar untuk membezakan antara kucing masyarakat dan juga kucing yang telah diabaikan," menurut Ketua Perkhidmatan Klinik SPCA, Khasheqin Kahlik.

"Kami juga memahami daripada kumpulan haiwan yang lain bahawa mereka telah memerhatikan lebih banyak kes pengabaian kucing dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh salah tafsiran mengenai had dua ekor kucing bagi setiap unit flat HDB," tambah beliau.

KADAR PENGAMBILAN RENDAH, RUANG TERHAD, SPCA OPERASI DALAM HAMPIR KAPASITI MAKSIMUM
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Disebabkan oleh kadar pengambilan kucing yang rendah, pusat perlindungan itu hampir mencapai kapasiti maksimum dan hanya dapat memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan atau di mana nyawa terancam.

Menurut SPCA, dua pertiga daripada haiwan yang ditempatkan di tempat perlindungan itu adalah kucing.

Bagi kes-kes yang diterima, doktor haiwan akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan cuba imbas mikrocip kucing untuk menjejaki pemilik berdaftar.

"Jadi semua kucing SPCA akan dipasang mikrocip dan dikembiri sebelum pengambilan (sebagai kucing peliharaan). Bagi anak kucing yang terlalu muda untuk dikembiri, janji temu akan dibuat dengan pemilik yang berminat untuk kembali menjalani prosedur tersebut pada masa hadapan," tambahnya.

SPCA juga cuba meningkatkan kesedaran dan membetulkan salah tanggapan para pemilik kucing tentang pemasangan mikrocip.

"Ada juga pemilik kucing yang sudah berusia yang salah faham bahawa mikrocip adalah alat pengesan langsung yang memantau pergerakan kucing mereka, dan ini menyebabkan kebimbangan bahawa kucing mereka akan dijejaki atau dirampas oleh pihak berkuasa. Dalam kes sebegini, SPCA akan berkongsi dengan mereka tentang cara-cara dan kerja mikrocip itu dan bagaimana ia meningkatkan kebolehan mengesan dan menyatukan semula kucing yang hilang kepada keluarga mereka. Kami juga menerangkan bagaimana mikrocip dan pelesenan menggalakkan pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan juga mencegah pengabaian," ujar Cik Khasheqin.

BAGAIMANA ATASI KES PENGABAIAN KUCING?

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi para penyelamat kucing seperti Cik Nasha dan Cik Rufqah, mereka berharap rangka kerja itu juga dapat mewajibkan pengembirian kucing.

"Saya kalau boleh mahukan pengembirian kucing yang diwajibkan kerana contohnya kalau seseorang itu ada dua ekor kucing tetapi pengembirian wajib tidak dilaksanakan, kalau kucing itu beranak-pinak, besar kemungkinan anak-anak itu akan dibuang kerana yang sudah dipasang mikrocip hanya ibu bapanya sahajakan? Jadi anak-anak itu boleh dibuang dan akan menambahkan kes kita.

"Kedua, harus ada peraturan yang mengatakan kita harus menyimpan kucing kita di dalam rumah sahaja dan tidak boleh benarkannya berkeliaran sebab kucing yang berkeliaran ini boleh menimbulkan banyak masalah dalam kalangan kucing masyarakat yang lain dan yang ketiga, harus wajibkan mereka yang memelihara kucing untuk 'cat proof' rumah mereka sebagai contoh pintu dan tingkap perlu dipasang jaring," ujar Cik Nasha.

Beliau juga berharap pemilik kucing di luar sana lebih bertanggungjawab untuk menjaga kucing mereka kerana ia merupakan satu komitmen jangka panjang.

Ini termasuk menjaga kebersihan serta mendapat rawatan untuk kucing mereka apabila ia sakit nanti.

SPCA pula berharap akan ada perubahan perundangan bagi memperkuatkan perlindungan haiwan.

"Contohnya hukuman yang lebih ketat untuk pengabaian dan isu kebajikan. Pengembirian juga mungkin dapat membantu dengan keadaan ini kerana beberapa kes pengabaian yang berlaku adalah kerana pemilik kucing tidak mengembiri kucing mereka yang menyebabkan kelahiran yang tidak diingini.

"SPCA menggesa pemilik untuk mengembiri semua kucing mereka kerana ia bukan sahaja mencegah pembiakan tetapi juga menangani masalah tingkah laku seperti bunyi bising dan melindungi kucing daripada barah reproduktif.

"Bagi mereka yang memerlukan panduan melalui telefon atau secara bersemuka, SPCA akan membantu dengan menjelaskan kerangka tersebut dan menghubungi AVS bagi pihak mereka untuk memastikan kucing mereka dilesenkan dengan betul. Kami juga bercadang untuk menyediakan maklumat dalam bentuk yang lebih ringkas apabila tarikh pelaksanaan semakin dekat," dedah Cik Khasheqin.

PEMILIK KUCING BOLEH DAFTARKAN LESEN UNTUK KUCING MEREKA; BOLEH SIMPAN KESEMUA KUCING MEREKA

Bermula esok (1 Sep), para pemilik kucing boleh mendaftarkan lesen untuk kucing-kucing mereka menerusi laman https://pals.avs.gov.sg/

Pemilik juga dibenarkan untuk melesenkan dan terus memelihara lebih daripada dua ekor kucing asalkan mereka mendaftar lesen bagi kesemua kucing itu sebelum tempoh peralihan tamat pada 31 Ogos 2026.

Pelesenan adalah percuma dalam tempoh peralihan dua tahun hingga 31 Ogos 2026.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan