Skip to main content

Singapura

Taja kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik buka puasa, tarawih di masjid dengan S$33

Anggaran Waktu Membaca:
 Taja kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik buka puasa, tarawih di masjid dengan S$33

(Gambar: Facebook Project Pencil Singapore)

BERITAmediacorp: Lazimnya antara amal kebajikan yang dilakukan umat Islam pada bulan Ramadan termasuk menderma kepada badan-badan amal atau keluarga memerlukan dan melakukan kerja-kerja kesukarelawanan.

Tahun ini, ada satu peluang untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk yang sedikit berbeza tetapi besar maknanya, khususnya bagi kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik. Ini boleh dilakukan dengan menjadi penaja bagi inisiatif ‘Forbes Champs Mosque Hopping’.

Dengan tajaan S$33 bagi seorang kanak-kanak, bermakna anda sudah membantu untuk membiayai perjalanan mereka untuk berbuka puasa dan menunaikan tarawih berjemaah di masjid untuk sehari dalam bulan Ramadan.
Related article image
(Gambar: Facebook Project Pencil Singapore)

Tajaan ini dibuka bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada perniagaan-perniagaan.

Inisiatif bantuan kemasyarakatan yang dijalankan oleh BOHME-Project Pencil SG itu bertujuan untuk membolehkan 40 kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik, yang di bawah kendaliannya, menikmati keindahan, keistimewaan dan kemanisan Ramadan.

BERAPA DIPERLUKAN UNTUK TAJA 1 HARI, 3 HARI?

Sejak dilancarkan pada Isnin (20 Mac), inisiatif tersebut sudah menerima tajaan sehari untuk semua 40 kanak-kanak itu. Mereka akan berbuka puasa di Restoran Tang Tea House sebelum ke Masjid Al-Istighfar untuk bertarawih pada Khamis (30 Mac).

Menerusi tajaan berterusan orang ramai, diharapkan ia dapat membolehkan kanak-kanak tersebut berbuka puasa di restoran-restoran lain dan juga merasai kemeriahan berjemaah tarawih di masjid-masjid berbeza.

“Kami berharap ramai lagi akan taja anak-anak ini, jadi kita dapat buat dua atau tiga kali pun jadilah untuk ke masjid-masjid yang lain. Jadi kita nak anak-anak ini mengalami ibadah di lain-lain masjid dan juga iftar di lain-lain restoran. Jadi sesuatu yang anak-anak ini mungkin tidak akan lupakan.

“Tentu sekali kita alu-alukan tajaan untuk sekurang-kurangnya seminggu sekali. Jadi kita sangat mengharapkan untuk berikan anak-anak satu pengalaman berbeza tahun ini,” pengurus program Forbes Champs Mosque Hopping, Sarimah Amat, memberitahu BERITAmediacorp.

Jika dihitung, inisiatif tersebut memerlukan tajaan S$1,320 untuk 40 kanak-kanak tersebut berbuka puasa dan bertarawih di masjid untuk satu hari.

Untuk membolehkan kegiatan itu dijalankan sekurang-kurangnya seminggu sekali - iaitu berbuka puasa dan bertarawih di masjid untuk lagi tiga hari dalam bulan Ramadan - bermakna, ia memerlukan tajaan S$3,960.

Dana itu termasuk pengangkutan dan kos operasi untuk menjayakan program tersebut.

Related article image
(Gambar: Facebook Project Pencil Singapore)
MAHU BERI “KEKENYANGAN ROHANI”

Forbes Champs adalah sekumpulan 40 kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan usia lima hingga 17 tahun daripada keluarga kurang bernasib baik. Di bawah inisiatif badan bukan untuk keuntungan Bohme, kanak-kanak ini dapat mengikuti program-program holistik yang membentuk mereka menjadi individu cemerlang dan berkeyakinan.

Dalam bulan suci ini, Bohme dan Project Pencil SG mahu membawa kelainan dan menyuntik semangat mengimarahkan Ramadan dalam kalangan anak-anak muda tersebut dan membuat mereka jatuh cinta kepada masjid.
Related article image
Kanak-kanak Forbes Champs yang sedang mengikuti kelas tuisyen. (Gambar: Sarimah Amat)
Jika tahun-tahun sebelum ini inisiatif yang dijalankan dalam bulan Ramadan adalah untuk “kekenyangan fizikal” menerusi agihan makanan. Tahun ini Bohme dan Project Pencil mahu memberi “kekenyangan rohani” untuk kanak-kanak tersebut menerusi ilmu-ilmu tentang puasa dan ibadah.

“Kami harapkan anak-anak ini dapat menyemarakkan Ramadan dan menghidupkan suasana di masjid sebab mungkin ada antara anak-anak ini ingatkan masjid adalah untuk orang-orang tua sahaja, untuk orang dewasa. Jadi dengan cara ini anak-anak ini faham sebenarnya masjid adalah untuk semua golongan usia dan ini adalah tempat ibadah.

“Mereka dapat nikmat kerohanian, ketenangan. Kita ingin anak-anak ini jatuh hati kepada masjid dan jatuh cinta dalam beribadah jadi seterusnya program ini jadi pencetus untuk mereka seterusnya suka datang beribadah di masjid,” kata Cik Sarimah, yang juga pengasas Project Pencil.
Related article image
Kanak-kanak Forbes Champs yang sedang mengikuti kelas tuisyen. (Gambar: Sarimah Amat)
Beliau memberitahu BERITAmediacorp, satu lagi objektif adalah untuk menguatkan silaturahim dan ukhuwah.

“Bila kita iftar bersama dan solat tarawih bersama di masjid, anak-anak ini dapat memupuk semangat silaturahim apabila tengok kawan ramai-ramai, para jemaah di sana juga bukan sekadar orang kata beribadah, tapi bertanya khabar, berkenalan, dapat ilmu lagi. Jadi banyaklah nikmat dan hikmah dalam program ini. Kami harap insha Allah dapat dicapai dengan sokongan orang ramai,” tambah Cik Sarimah.

Apabila ditanya tentang harapan Bohme-Project Pencil menerusi program ini, Cik Sarimah berkata ini adalah satu peluang dan platform untuk menabur bakti kepada anak-anak di dalam negara.

“Kita harap ramai akan menyokong. Ini adalah satu peluang, satu platform untuk kita menabur bakti kepada anak-anak dalam negara kita dan supaya mereka rasa disayangi. Ada yang prihatin, ada yang sayang. Jadi mereka rasa dihargai ramai yang ingin membantu mereka. Jadi mari kita sama-sama tunjuk kepada anak-anak ini mereka adalah generasi akan datang, mereka adalah aset penting kepada kita semua. Jadi marilah kita bantu mereka untuk menikmati Ramadan yang bermakna,” kata Cik Sarimah.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita