Tailong tidak lagi simbah cat, kini ganggu peminjam melalui WhatsApp
Tailong kini tidak lagi menggunakan taktik-taktik biasa untuk menggangu peminjamnya. Kalau biasanya ia menyimbah cat merah dan menconteng 'O$P$' di dinding, kini ia akan menganggu peminjamnya melalui kiriman SMS atau mesej WhatsApp.
SINGAPURA: Tailong kini tidak lagi menggunakan taktik-taktik biasa untuk menggangu peminjamnya. Kalau biasanya ia menyimbah cat merah dan menconteng 'O$P$' di dinding, kini ia akan menganggu peminjamnya melalui kiriman SMS atau mesej WhatsApp.
Demikian didedahkan Pasukan Polis Singapura hari ini (7 Jun).
"Melalui kaedah ini, pemiutang boleh menjadikan lebih ramai orang sebagai sasarannya," menurut polis.
Ia menambah, jumlah kes gangguan yang tidak melibatkan kerosakan barang, melonjak sebanyak 17.5 peratus kepada 942 kes dalam empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Trend ini juga berlaku pada tahun lalu, di mana kes-kes yang tidak melibatkan kerosakan barang naik 33.8 peratus kepada sekitar 2,780 kes berbanding tahun sebelumnya.
Keseluruhannya, gangguan berkaitan dengan peminjaman dan pemiutang tidak berlesen meningkat 12.3 peratus kepada lebih 3,800 kes tahun lalu. Ini "sebahagian besarnya didorong kes-kes yang tidak melibatkan kerosakan awam", menurut polis.
Polis menasihati mereka yang menerima kiriman SMS atau mesej WhatsApp daripada pemiutang haram supaya tidak membalas mesej pengirim. Orang awam juga "perlu melaporkan nombor pengirim sebagai 'spam' di samping menggunakan ciri-ciri aplikasi untuk mencegah pemanggil daripada terus menghubunginya".
Mereka juga boleh membuat aduan polis melalui portal i-Witness atau melalui hotline X-Ah-Long di talian 1800-924-5664 jika mereka tidak ingin identiti mereka diketahui.
Pada sisi lain, orang awam juga dinasihati supaya tidak meminjam daripada pemiutang tidak berlesen. "Polis akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Penguasa Pembangunan Infokom Media bagi mencegah tindakan-tindakan mengganggu orang awam," menurut polis.
Di bawah Akta Pemiutang, pesalah pertama yang didapati bersalah kerana menjalankan perniagaan sebagai pemiutang tidak berlesen atau membantu dalam urus niaga sedemikian akan dikenakan denda antara S$30,000 hingga S$300,000, dipenjara sehingga empat tahun, dan enam sebatan.
Di bawah Akta itu juga, pesalah kali pertama yang melakukan kegiatan tailong dengan mengganggu peminjam boleh dipenjara sehingga lima tahun, disebat antara tiga hingga enam kali, serta didenda antara S$5,000 hingga S$50,000.
Bulan lalu, polis memberkas 131 suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tailong dalam operasi empat hari yang dijalankan. Polis menyatakan bahawa tiga di antaranya disyaki menyimbah cat dan menconteng di dinding.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.