Skip to main content

Singapura

Taikun Nippon Paint Goh Cheng Liang meninggal dunia pada usia 98 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Taikun Nippon Paint Goh Cheng Liang meninggal dunia pada usia 98 tahun

Gambar Goh Cheng Liang yang diberikan oleh keluarganya.

Diterbitkan : 12 Aug 2025 11:28PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 11:29PM
SINGAPURA: Encik Goh Cheng Liang, yang merupakan antara individu terkaya di Singapura selepas menceburi perniagaan cat selepas bekerjasama dengan Nippon Paint Jepun, meninggal dunia pada usia 98 tahun.

Encik Goh mengasaskan sebuah syarikat yang kemudian memiliki 60 peratus pegangan saham dalam Nippon Paint, pengilang cat keempat terbesar di dunia.

Beliau meninggal dunia pada pagi Selasa (12 Ogos) di samping anggota keluarga, kata keluarganya dalam kenyataan yang dihantar kepada media.

Encik Goh dilaporkan mempunyai nilai bersih AS$13 bilion (S$16.7 bilion).

Dilahirkan di Singapura, beliau dibesarkan di sebuah rumah kedai di River Valley Road dan menceburi perniagaan cat pada tahun 1949, apabila Encik Goh memulakan syarikat cat bernama Pigeon Brand.

Beliau mula mengedarkan produk Nippon Paint pada 1955, dan pada 1962, beliau menubuhkan Nippon Paint Singapura dengan kerjasama syarikat Jepun itu.

Beliau mengasaskan Wuthelam Holdings pada 1974, dan usaha niaganya kemudian berkembang menjadi Wuthelam Group, sebuah konglomerat yang menjadi pemegang saham terbesar Nippon Paint pada 2020.

Kumpulan itu memegang hampir 60 peratus saham pengeluar cat keempat terbesar di dunia.

Encik Goh dan keluarganya juga membangunkan dan kemudian menjual Liang Court, yang sudah dirobohkan, serta Hospital Mount Elizabeth.

Taikun itu juga seorang dermawan yang "sangat berminat untuk memajukan penyelidikan perubatan, terutamanya dalam rawatan barah", kata keluarganya.

Beliau juga menyediakan dermasiswa dan biasiswa kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan, memberi sumbangan kepada agensi-agensi kebajikan dan membiayai projek infrastruktur di kampung nenek moyangnya di China, tambah mereka.

"Kepada keluarga dan rakan-rakannya, Encik Goh ialah seorang yang rendah diri dan tidak banyak berkata-kata, terkenal dengan sikapnya yang suka berjenaka serta sentiasa gembira, didorong oleh keazaman yang kuat untuk berjaya," kata keluarganya.

"Beliau juga seorang ahli perniagaan yang sangat bijak dan kreatif dengan kemahiran angka yang luar biasa dan keupayaan untuk mengenal pasti peluang."

Anak lelaki sulung mendiang Goh, Encik Goh Hup Jin, menyifatkan beliau sebagai "sinar kebaikan dan kekuatan".

"Kami sangat bertuah kerana beliau menunjukkan kepada kami cara menjadi orang yang baik. Beliau mengajar kami untuk menjalani kehidupan dengan belas kasihan dan rendah hati," tambahnya.

Mendiang Goh meninggalkan tiga anak, lapan cucu dan seorang cicit.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita