Skip to main content

Singapura

Tahun COVID-19 'luar biasa menguji' S'pura tetapi ada sinar harapan: PM Lee

Meskipun 2020 merupakan tahun yang secara "luar biasa menguji" Singapura, ada cahaya kini di hujung jalan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanat Tahun Barunya pada Khamis (31 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Dec 2020 06:26PM Dikemas Kini : 31 Dec 2020 11:02PM

SINGAPURA: Meskipun 2020 merupakan tahun yang secara "luar biasa menguji" Singapura, ada cahaya kini di hujung jalan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam amanat Tahun Barunya pada Khamis (31 Dis).

"COVID-19 merupakan satu perjuangan tidak henti-henti yang telah menguji sepenuhnya sumber-sumber dan keazaman kita," kata Encik Lee.

"Dengan usaha dan pengorbanan yang besar, kita dapat menstabilkan keadaan di Singapura, walaupun virus ini terus merebak dengan cepat di negara-negara lain dunia."

Encik Lee berkata tahap kepercayaan tinggi rakyat Singapura terhadap sistem di negara ini, adalah ketara dalam respons negara terhadap pandemik COVID-19.

Menurutnya, ini membantu Singapura mengelakkan perpecahan besar dalam kalangan rakyat, seperti yang berlaku di tempat-tempat lain.

Beliau juga menggesa rakyat Singapura supaya jangan goyah dalam rintangan terakhir memerangi pandemik tersebut.

Sebelum kedatangan vaksin di Singapura lagi, pemerintah berusaha sedaya upaya untuk membendung kesan buruk akibat pandemik COVID-19.

Lima belanjawan berjumlah S$100 bilion diluluskan bagi mengelakkan kejatuhan perniagaan dan kehilangan pekerjaan.

Encik Lee berkata ekonomi Singapura masih belum kukuh meskipun sudah terdapat tanda-tanda ia kembali stabil.

"Kadar pengambilan pekerja telah meningkat, dan syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) sedang membuat pelaburan baru yang ketara di Singapura."

Encik Lee menambah beliau mengharapkan pemulihan pada 2021, meskipun pemulihan tidak akan sekata, dan kegiatan ekonomi dijangka kekal di bawah paras sebelum COVID-19 buat sementara waktu.

Contohnya, walaupun Singapura telah memastikan kes jangkitan tempatan kekal rendah, kes-kes import daripada rakyat yang pulang, atau para pekerja binaan dan pembantu rumah asing, boleh menyebabkan jangkitan dalam masyarakat.

Namun demikian, Encik Lee menggesa rakyat Singapura supaya bangkit lebih teguh daripada pengalaman bersama mengharungi krisis tersebut.

Beliau menambah, mandat baru yang diberikan pada pilihan raya umum menunjukkan, rakyat yakin pemerintah PAP akan bersama-sama mengharungi krisis ini.

"Saya dan pasukan saya akan berusaha agar kami wajar mendapat kepercayaan anda, memperkukuh kontrak sosial kita, menepati janji untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang adil dan saksama, dan membantu anda untuk mencapai harapan dan impian anda," kata Encik Lee.

Beliau menambah, pemerintah akan terus mengukuhkan kontrak sosial, dan memberi setiap rakyat peluang yang sama untuk berjaya, dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dalam dunia yang berbeza, serta membantu rakyat mengharungi rintangan yang tidak dapat dielakkan.

Encik Lee menyeru rakyat supaya bersatu untuk bangkit semula dengan lebih baik dan kuat daripada krisis yang paling hebat bagi generasi ini.

Beliau berkata generasi baru rakyat negara ini membuktikan Singapura boleh terus bertakat dan berjaya.

Namun, perjuangan menentang COVID-19 katanya belum berakhir.

Terdapat banyak rintangan dan baru dan tidak dijangkakan pada bulan-bulan dan tahun-tahun mendatang.

Sungguhpun demikian, Encik Lee yakin rakyat Singapura akan sama-sama maju ke hadapan.

"Marilah kita mengalu-alukan tahun 2021 dengan keyakinan dan harapan yang baru," ujar beliau. 

Sumber : CNA/MM/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita