Tahun Baru Cina: Saiz kumpulan duduk makan luar, lawatan ke rumah kekal 5 orang sehari

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Tiada perubahan kepada langkah-langkah pengurusan keselamatan COVID-19 semasa tempoh Tahun Baru Cina, dengan saiz maksimum kumpulan bagi perhimpunan sosial dikekalkan kepada lima orang.
Selain itu, jumlah pelawat bagi setiap rumah juga dihadkan kepada lima orang sehari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (21 Jan).
"Para individu mungkin ingin mengambil (ujian pantas antigen) sebelum menghadiri perhimpunan sedemikian, terutamanya jika ada warga tua atau anggota keluarga yang belum divaksin," menurut MOH dalam kenyataan media.
Undang-undang sedia ada di cawangan makanan dan minuman akan terus dilaksanakan, termasuk acara makan malam bersama atau hidangan Tahun Baru Cina di tempat-tempat itu.
Saiz kumpulan yang duduk makan di luar akan terus dihadkan kepada lima orang dan tempahan bagi beberapa meja tidak dibenarkan, kecuali mereka tinggal sebumbung.
Acara-acara berskala besar, termasuk perarakan keagamaan atau majlis jamuan malam "terus dilarang untuk mencegah acara penyebar utama", menurut MOH.
Hidangan yang dianjurkan syarikat atau "tuan bai" juga tidak dibenarkan.
"Kadar vaksinasi dan suntikan dos penggalak kita yang tinggi memberi kami keyakinan bahawa kita boleh mengurangkan kesan gelombang Omicron terhadap masyarakat dan ekonomi kita.
"Kami memohon kerjasama semua untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan keselamatan terutamanya semasa tempoh CNY," menurut MOH.
Semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian hari ini, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata jumlah kes Omicron di Singapura sudah "meningkat dengan cepat, terutamanya sepanjang beberapa hari lalu".
Meskipun kebanyakan kes Omicron di Singapura adalah ringan, Encik Gan mengingatkan orang awam supaya terus berwaspada semasa tempoh perayaan.
"Langkah-langkah pengurusan selamat yang kami laksanakan akan membantu mengurangkan risiko jangkitan dan tekanan terhadap sistem jagaan kesihatan kita," menurutnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.