Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahun 2022 paling basah bagi SG meski suhu meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Tahun 2022 paling basah bagi SG meski suhu meningkat

Gambar: CNA/Jeremy Long

Diterbitkan : 23 Mar 2023 09:45PM Dikemas Kini : 24 Mar 2023 09:19AM
SINGAPURA: Dengan jumlah curahan hujan yang turun lebih tinggi daripada purata bagi kebanyakan bulan, tahun 2022 merupakan tahun paling basah bagi Singapura yang turut menyaksikan paras suhu mencecah rekod baru dalam beberapa kategori.

Dalam laporan penilaian iklim tahunannya yang dikeluarkan pada Khamis (23 Mac), Perkhidmatan Meteorologi Singapura (Perkhidmatan Met) menyatakan bahawa purata tahunan hujan bagi 2022 adalah hampir 18.8 peratus melebihi purata jangka panjang - ditakrifkan sebagai tempoh 30 tahun antara 1991 dan 2020.

Ini sebahagiannya dipengaruhi oleh keadaan La Nina semasa dan Dipole Indian Ocean negatif, yang merujuk kepada corak perbezaan suhu yang luas di barat dan timur Lautan Hindi.

2022 disenaraikan sebagai tahun keenam paling banyak turun hujan dalam tempoh 40 tahun yang lalu dan tahun kesepuluh paling panas sejak rekod suhu bermula pada 1929.

TAHUN KEENAM PALING BANYAK TURUN HUJAN SEJAK 1980

Oktober ialah bulan paling banyak turun hujan dalam tahun 2022, dengan jumlah hujan 412mm - kira-kira dua kali ganda purata jangka panjang bulan itu.

Ini melebihi paras tertinggi sebelumnya, iaitu 389.3mm pada 2011, menjadikan Oktober 2022 sebagai Oktober paling banyak hujan turun dalam empat dekad yang lalu.

Jumlah tertinggi harian hujan bagi bulan itu ialah 138.1mm, dicatatkan di Pasir Panjang.

Ia bukan perkara biasa untuk bulan paling basah jatuh pada bulan Oktober, dengan keadaan sedemikian kali terakhir berlaku pada tahun 1985, menurut Perkhidmatan Met.

SUHU MENINGKAT, MEI PANAS

Pada 2022, Singapura mengalami tahun paling panas kesepuluh dalam rekod, terikat dengan 2021, 2018, 2014, 2009 dan 2004.

Purata suhu bagi tahun 2022 direkodkan di stesen iklim Changi pada 27.9 darjah Celsius, iaitu 0.1 darjah Celsius melebihi purata jangka panjang 27.8 darjah Celsius. Purata suhu bagi dekad lalu (2013 hingga 2022) mencapai paras tertinggi baru 28.01 darjah Celsius, iaitu 0.04 darjah Celsius lebih tinggi daripada rekod sebelumnya iaitu 27.97 darjah Celsius bagi dekad dari 2012 hingga 2021.

Suhu tertinggi yang direkodkan di seluruh Singapura pada tahun itu ialah 36.8 darjah Celsius di Admiralty pada 1 April. Ini adalah suhu kedua tertinggi yang direkodkan di Singapura, dengan suhu tertinggi ialah 37 darjah Celsius di Tengah pada April 1983.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan