Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahar Jumaat bantu lebih 8,000 mangsa gempa Lombok; dana terkumpul kini $35,000

Warga Singapura, Mohamad Tahar Jumaat dijangka membantu lebih 8,000 mangsa gempa bumi di pulau itu dengan menghulurkan bantuan makanan dan keperluan lain.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Warga Singapura, Mohamad Tahar Jumaat, yang kini berada di Lombok bagi kerja-kerja kemanusiaan, dijangka membantu lebih 8,000 mangsa gempa bumi di pulau itu dengan menghulurkan bantuan makanan dan keperluan lain.

Ini beliau lakukan berbekalkan derma lebih $35,000 yang diterimanya daripada rakyat Singapura sejauh ini, menerusi rayuan di Instagram dan Facebook beliau.

BERITAmediacorp pertama kali melaporkan kisah misi bantuan Encik Tahar itu beberapa hari lalu (8 Ogos). Ketika itu jumlah yang dikumpulkan beliau berjumlah $27,000. 

Bantuan-bantuan yang dihulurkan itu amat diperlukan oleh penduduk lombok yang dipukul tiga gempa besar sejak dua minggu lalu. Gempa pertama berlaku pada 29 Julai (6.4 Richter) manakala gempa kedua pada 5 Ogos pula jauh lebih kuat (6.9 Richter).

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Gempa ketiga 6.2 skala Richter berlaku semalam (9 Ogos). Akibatnya angka korban di Lombok meningkat mendadak kepada lebih 320 orang. Jumlah itu dijangka terus bertambah dan membuat keadaan bertambah runcing.

"Banyak keperluan asas harganya melonjak atau tidak ada lagi stok. Jadi kita mencari di mana-mana untuk mendapatkan bekalan ini," katanya, memberitahu BERITAmediacorp tentang salah satu usaha yang sedang dijalankan di sana sekarang.

DAPUR AWAM DIBINA DUA, TIGA HARI LAGI

Encik Tahar sendiri berada di Lombok semasa ketiga-tiga gempa tersebut berlaku termasuk gegaran semalam.

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Beliau yang menjalankan kerja-kerja kemanusiaan itu secara solo, iaitu tanpa naungan sebarang badan lain, kini dalam proses membina dapur awam yang diharap dapat membantu 2,500 orang di Tanjung, utara Lombok.

"Jadi kita sedang membeli beras-beras untuk dibahagi-bahagikan dan sebahagian daripada beras ini juga akan digunakan untuk dapur umum yang akan didirikan dalam sehari dua lagi ini," tambah beliau.

"(Namun) memandangkan banyak barang-barang yang tidak ada pada waktu ini, jadi kami perlu keluar dari daerah Mataram juga untuk mencari barang-barang itu."

(Gambar-gambar: Mohamad Tahar Jumaat)

Selepas gempa pertama, Encik Tahar sudahpun membantu lebih 400 keluarga yang secara purata ada tujuh orang setiap keluarga dengan menghulurkan bantuan S$25 kepada setiap keluarga.

Namun banyak lagi yang perlu dilakukan, kata beliau, sambil memberikan gambaran tentang situasinya sekarang di kawasan kampung tumpuan pelancong seperti Tanjung.

"Saya kini berada di salah satu dusun di daerah Tanjung iaitu Lombok Utara. Di sini dulu kampung ini penuh dengan aktiviti bercorak budaya kerana ia adalah salah satu kawasan tumpuan pelancong di daerah sini.

"Tapi kini tempatnya sangat sunyi. Tidak ada orang yang berani datang pulang ke rumah mereka. Boleh dikatakan 90 peratus atau lebih sudah ranap.Tidak dapat dihuni lagi," kongsi Encik Tahar.

Hakikatnya, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia hari ini (10 Ogos) menyatakan lebih 67,000 rumah direkodkan musnah setakat ini, selain 468 sekolah, tiga hospital dan 10 pusat kesihatan. 15 buah masjid dan 20 bangunan turut mencium bumi akibat goncangan bumi tersebut.

JALAN KE KAMPUNG ROSAK TERUK

Bagi Encik Tahar, buat masa ini lagi 2,800 mangsa gempa lain dalam proses di bantu oleh beliau di daerah lain Lombok menerusi pengagihan keperluan seperti beras, sayuran, ubat-ubatan dan air yang semuanya dibeli dari pembekal di Lombok sendiri.

Yang pasti, walaupun berjaya membeli bekalan makanan, usaha membawakan bantuan berkenaan bukanlah mudah.

"Saya kini berada di salah satu dusun di daerah Tanjung iaitu Lombok Utara. Di sini Dulu kampung ini penuh dengan aktiviti bercorak budaya kerana ia adalah salah satu kawasan tumpuan pelancong di daerah sini.

"Jalan menuju ke kampung ini ada yang rosak teruk. Untuk kita keluar atau masukkan bekalan ke sini amat sukar tapi kami cuba sedaya upaya untuk mengadakan pengedaran makan dan juga sayur-sayuran untuk menambahkan gizi dan khasiat pada diet mereka," ujar beliau kepada BERITAmediacorp siang tadi.

Encik Tahar dapat bergerak secara sendirian di Lombok kerana adanya bantuan dari sebilangan penduduk Lombok sendiri. Penduduk Pasir Ris itu sebenarnya sudah biasa bekerjasama dengan mereka kerana sudah menganjurkan pelbagai program bantuan di sana sejak tahun 2013 lagi.

Namun demikian, dengan para penduduk dijangka terus menetap di khemah-khemah sementara untuk tempoh sekitar sebulan lagi - atau lebih - masih banyak bantuan yang terus mereka perlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan