Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap keyakinan terhadap pasukan Home Team capai paras tertinggi: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keyakinan orang awam terhadap pasukan Home Team capai paras tertinggi namun Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berkata para pegawainya perlu terus bekerja keras untuk kekalkan prestasi sedemikian.

Dalam Tinjauan Persepsi Awam Home Team yang terbaru, 93.5 peratus daripada orang awam didapati yakin terhadap kemampuan pasukan itu menjaga keselamatan Singapura.

Dalam ucapannya di Majlis Naik Pangkat Home Team pada Rabu (24 Mei), Encik Shanmugam juga menarik perhatian bahawa meskipun dalam keadaan yang baik sekarang, terdapat beberapa percubaan dari dalam dan luar negara untuk menghakis kepercayaan dan keyakinan tersebut.

Ini termasuk insiden melibatkan The Online Citizen (TOC) dan campur tangan oleh jutawan Britain, Richard Branson yang mengktirik sistem hukuman Singapura.

"Kita perlu bekerja keras untuk memelihara kepercayaan orang awam terhadap Home Team daripada mereka yang berniat jahat yang akan menggunakan setiap peluang untuk menyebar kepalsuan terhadap Home Team dan para pegawainya. Kita perlu mengenal pasti pembohongan mereka, mempertahankan tindakan kita bukan sahaja dalam negeri tapi di peringkat antarabangsa," kata Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang.

TIGA FAKTOR PERLU DIBERI TUMPUAN

Bagi menanganinya, beliau gariskan tiga faktor yang perlu diberi tumpuan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Ini termasuk meningkatkan tahap profesionalisme para pegawainya, komunikasi yang terbuka dan jelas serta proses-proses dalaman lebih ketat dan piawai yang tinggi.

"Adalah penting untuk kita berbuat demikian, terutamanya dalam persekitaran hari ini di mana media sosial, penghasilan kecerdasan buatan (AI) dan 'deepfakes' sangat mudah untuk dieksploitasikan. Jika kita tidak melakukan demikian, secara progresif, persepsi salah boleh mula dan ini akan menyebabkan orang ramai untuk melihat Home Team secara negatif dan pegawai kami dengan syak wasangka," tambahnya.

Encik Shanmugam juga mengucapkan tahniah kepada 351 para pegawai Home Team yang naik pangkat secara rasmi hari ini (24 Mei).

Mereka diiktiraf atas prestasi serta sumbangan mereka kepada MHA.

DAC ZALEHA ALI KEKAL 26 TAHUN DI ICA
Antaranya ialah Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Zaleha Ali, 49 tahun yang berkhidmat di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Walaupun sudah lebih 26 tahun berkhidmat di agensi tersebut, cabaran serta peluang yang ditawarkan ICA antara sebab beliau masih bertahan.

"Daripada Pusat Pemeriksaan Woodlands, saya lanjut ke bahagian siasatan. Saya sudah terlibat dalam bidang kecerdasan. Saya juga sudah mencuba bidang latihan dan sekarang di pusat perkhidmatan. Pelbagai portfolio yang dibuka kepada seseorang pegawai itulah yang mendorong saya untuk kekal di ICA," kata DAC Zaleha, yang juga ibu seorang cahaya mata.

Ketika mengetuai jabatan kelahiran dan kematian di ICA, beliau juga pernah terlibat dengan sebuah projek yang cukup membanggakan dirinya.

"Pencapaian terbesar dan mencabar adalah bila kita harus melancarkan sijil kelahiran dan kematian digital pada tahun lepas. Ia agak mencabar kerana pihak-pihak berkepentingan terbesar kami adalah kakitangan perubatan dan pada waktu itu, waktu COVID-19," kata DAC Zaleha.

Menerusi peranan baru yang digalasnya sebagai Timbalan Pengarah bahagian Operasi Pelanggan sejak September lalu, DAC Zaleha berharap akan dapat mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan ICA apabila bangunan barunya siap kelak.

"Jadi kami akan menyemak proses kami untuk bersiap sedia untuk pindah ke bangunan baru. Di mana kami akan melaksanakan operasi pelanggan baru di pusat perkhidmatan kami. Jadi orang awam boleh menjangkakan interaksi yang baru bersama kami di bangunan baru," ujarnya.

BERIKAN LEBIH KEMUDAHAN KEPADA ORANG AWAM
Seorang lagi yang menerima kenaikan pangkat di majlis itu ialah Encik Kamal Raja Mat, 52 tahun dari Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Beliau merupakan antara pegawai yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dan memperbaiki lagi tahap teknologi di ICA.

Dalam peranannya sebagai Timbalan Pengarah bahagian pelepasan, beliau terlibat dalam projek-projek operasi di Lapangan Terbang Changi termasuk pembukaan Terminal 2 di tengah-tengah COVID-19.

"Kenaikan pangkat ini adalah satu pengiktirafan untuk saya dan bukan sahaja untuk saya tapi untuk pasukan saya dengan segala kerja keras yang kita telah buat untuk melaksanakan projek-projek di ICA. Ini satu dorongan untuk kami terus melaksanakan projek-projek untuk kebaikan masyarakat," kata Encik Kamal, yang sudah berkhidmat di HTX sejak 2020.

Encik Kamal juga berharap projek-projek yang dilaksanakannya dapat meringankan lagi tugas-tugas rakan-rakan sekerja.

"Semua ini yang kita lakukan juga untuk menolong pegawai-pegawai di Home Team untuk memudahkan kerja mereka membuat mereka lagi efisien dan membuat Singapura lebih selamat," ujarnya.

Secara keseluruhan, sekitar 6,158 pegawai Home Team dinaikkan pangkat tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan