Tahap keselamatan diperketat jelang sambutan Tahun Baru di Marina Bay
Dengan ramai orang dijangka akan membanjiri kawasan Marina Bay pada malam Tahun Baru, Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mengetatkan lagi tahap keselamatan bagi memastikan Singapura kekal selamat semasa sambutan tersebut.
SINGAPURA: Dengan ramai orang dijangka akan membanjiri kawasan Marina Bay pada malam Tahun Baru, Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mengetatkan lagi tahap keselamatan bagi memastikan Singapura kekal selamat semasa sambutan tersebut.
Tahun lalu, para penganjur menganggarkan antara 400,000 hingga 500,000 orang berkumpul di kawasan itu.
Dengan beberapa acara kiraan detik diadakan secara serentak di kawasan Marina Bay dan Daerah Sivik pada tahun ini, langkah-langkah menguruskan kesesakan menjadi bertambah kritikal.
Secara keseluruhannya, 700 pegawai polis - sama seperti tahun lalu - dikerahkan untuk mengawal keadaan.
Ini termamsuk para pegawai khas daripada Pasukan Respons Kecemasan, Pasukan Tindak Balas In-Situ (IRT) dan Komand Operasi Khas, yang akan melakukan rondaan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti mempunyai ramai pejalan kaki atau tempat di mana ramai orang berkumpul.
Sementara itu, dengan Akta Perlindungan Infrastruktur mula berkuat kuasa pada 18 Disember lalu, orang awam perlu mematuhi sebarang langkah penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Di bawah akta tersebut, para pegawai keselamatan ini diberikan kuasa untuk menangani ancaman-ancaman di kawasan sekeliling infrastruktur kritikal Singapura dan bangunan-bangunan ikonik, seperti Marina Bay Sands.
Polis juga akan mengerahkan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) untuk memantau keadaan dari udara, sebagai sebahagian daripada usaha memanfaatkan teknologi untuk menyokong para pegawai semasa operasi-operasi berskala besar.
UAV tersebut akan dapat melakukan perjalanan pada kelajuan 20 meter setiap saat dan akan meronda kawasan Marina Bay.
Pihak polis juga sudah memasang pagar dan penghadang sepanjang 20 kilometer bagi mengawal pergerakan orang ramai dan kenderaan.
900 tan konkrit juga akan dipasang untuk menyekat dan mencegah kenderaan-kenderaan yang berpotensi menimbulkan bahaya.
Tapak karnival, yang terletak bersebelahan dengan Marina Bay Sands, boleh menampung antara 6,000 hingga 7,000 orang pada satu-satu masa, tetapi para penganjur menjangkakan hampir 50,000 orang akan melalui kawasan itu sepanjang hari.
Para pengunjung yang merancang untuk ke Karnival di Marina Bay, dinasihati supaya membawa beg yang kecil dan tidak membawa terlalu banyak barang, sepanjang musim perayaan, kerana jika ditahan bagi menjalani pemeriksaan, ia dapat dilakukan dengan pantas dan tidak mengambil masa yang lama. Para kakitangan preman juga akan menjalankan pemeriksaan beg secara rambang di kawasan karnival itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.