Tahap keselamatan di perairan negara dipertingkat semasa NDP
Jumlah kapal rondaan digandakan pada Hari Kebangsaan untuk melakukan operasi keselamatan maritim
SINGAPURA: Dua kali ganda jumlah kapal rondaan Tentera Laut Singapura akan dikerahkan di sekitar perairan Singapura pada Hari Kebangsaan nanti.
Ia sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang dipertingkat.
Sedang rakyat Singapura bersiap-sedia menyambut ulang tahun negara di pelantar terapung, di laut pula para pegawai Tentera Laut Singapura (RSN) di atas kapal rondaan tersebut bekerja keras untuk melindungi keamanan Singapura.
Jumlah kapal rondaan seperti itu akan digandakan pada Hari Kebangsaan untuk melakukan operasi keselamatan maritim.
Antara operasinya termasuk mengiringi sebuah kapal tangki yang dikenalpasti sebagai kapal berisiko tinggi.
Misi berkenaan memerlukan para kakitangan untuk mendekati kapal tersebut sebagai satu tindakan mencegah daripada berlaku sebarang serangan ke atas kapal itu.
Selain itu, terdapat juga zon larangan di sepanjang Bendungan Marina bagi mengelakkan kapal-kapal berkumpul di daerah tersebut.
Di kawasan laut lebih dalam pula, kehadiran para pegawai Penguasa Pelabuhan Maritim, Polis Pengawal Pantai dan Tentera Laut Singapura akan dipertingkat.
Dengan kerjasama pelbagai pihak, Pusat Krisis akan menyelaraskan aktiviti pelbagai agensi itu. Misalnya. jika ada kapal yang mencurigakan seperti sebuah sampan dengan bahan letupan, para pegawai tersebut akan memaklumkan kepada Pusat Krisis.
Dan, dari situ mereka akan menentukan tindakan yang sebaiknya dan membolehkan tindakan operasi yang lebih bersepadu dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.