Tahap keselamatan di beberapa tempat ibadat mungkin dipertingkat termasuk guna khidmat pengawal 'sulit': Shanmugam
Langkah-langkah keselamatan di beberapa tempat ibadat di Singapura mungkin perlu dipertingkat bergantung pada tahap ancaman yang dihadapi, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (10 Mar).

(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Langkah-langkah keselamatan di beberapa tempat ibadat di Singapura mungkin perlu dipertingkat bergantung pada tahap ancaman yang dihadapi, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Rabu (10 Mar).
Beliau berkata demikian setelah seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa berusia 20 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang melakukan serangan ke atas masyarakat Yahudi di rumah ibadat mereka di Waterloo Street.
Amirull Ali merancang untuk menggunakan pisau untuk membunuh tiga lelaki Yahudi di saumaah (synagogue) Maghain Aboth selepas tamat sesi ibadah beramai-ramai masyarakat itu setiap Sabtu.
Kes itu adalah yang kedua tahun ini melibatkan belia menjadi radikal sendiri yang menyasarkan tempat ibadat.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan pada akhir Januari bahawa seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun ditahan kerana merancang melakukan serangan ke atas jemaah di dua masjid di Woodlands.
Encik Shanmugam bercakap kepada media di saumaah Maghain Aboth pada Rabu, di mana para pemimpin Yahudi dan Muslim bertemu untuk menegaskan lagi perpaduan mereka dan menentang keganasan.
"Saya rasa langkah-langkah keselamatan (di tempat-tempat ibadat) mungkin harus ditingkatkan sedikit untuk mengimbangi risiko yang semakin meningkat," kata Encik Shanmugam.
"Saya tidak dapat memberi anda jawapan pasti tentang keadaannya pada masa depan. Ia bergantung pada bagaimana ancaman ini berlaku. Tetapi, pada pendapat saya sendiri tidak semua tapak keagamaan harus dilindungi pada tahap yang sama. Ada yang menghadapi tahap ancaman lebih tinggi, dan mereka mungkin harus mengambil beberapa langkah tambahan, ”tambahnya.
Ketika ditanya tapak keagamaan mana yang mungkin memerlukan langkah-langkah keselamatan lebih tinggi, Encik Shanmugam enggan mengulas lanjut.
"Saya tidak mahu memberikan butirannya tetapi kami jelas tahu, kerana ini bermakna kami akan membentangkan tempat mana yang akan lebih mendapat perlindungan dan kurang dilindungi," katanya.
"Namun, pendekatan lebih luas ialah ialah tempat-tempat keagamaan yang berlainan, berdepan dengan tahap ancaman yang berbeza. Dan berdasarkan itu, mungkin ada perbezaan dalam cara ia dilindungi."
Encik Shanmugam berkata pihak berkuasa akan bekerjasama dengan tempat ibadat untuk "meningkatkan kewaspadaanmereka".
"Mungkin perlu lebih banyak kelengkapan, mungkin juga ada beberapa pengawal, tetapi dengan cara yang lebih bijaksana," tambahnya.
Encik Shanmugam menekankan lagi tentang perlunya berhati-hati dalam meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tempat-tempat ibadat. Susulan ancaman serangan ke atas masjid di Woodlands beliau telah berkata bahawa tempat ibadat tidak harus jadi kubu, tapi kekal terbuka.
SAUMAAH TINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN
Ketua Rabbi Singapura, Rabbi Mordechai Abergel berkata saumaah Maghain Aboth paling banyak dikunjungi masyarakat Yahudi di Singapura, dengan 120 orang menghadiri sesi ibadahnya setiap Sabtu.
Beliau berkata rumah ibadat itu telah melaburkan "sejumlah sumber dan usaha" dalam langkah-langkah keselamatan dan kakitangan.
"Kami sebenarnya sedang dalam proses meningkatkan kemudahan keselamatan kami - rumah pengawal di pintu masuk rumah ibadat ini - juga melabur dalam peralatan, alat pengawasan, dan sebagainya," katanya.
Pada masa yang sama, Rabbi Abergel berkata, adalah penting untuk menyebarkan "mesej kepada masyarakat berkenaan supaya bertenang agar tidak ada tindak balas atau reaksi negatif langsung dari anggota kita".
Menurutnya kejadian tersebut tidak akan menjejas hubungan kukuh yang terjalin antara masyarakat Yahudi dan Muslim, sambil menambah bahawa pemimpin dari kedua-dua kumpulan agama itu sering mengadakan pertemuan, jamu bersama dan berkumpul bagi acara sosial.
"Saya rasa penting sekali bagi persahabatan ini terus dipupuk di peringkat akar umbi," tambahnya.
LEBIH BANYAK BOLEH DILAKUKAN UNTUK LINDUNGI DARI PENGARUH RADIKALISME
Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Esa Masood berkata beliau telah bertemu dengan para pemimpin Yahudi untuk mengesahkan lagi persahabatan mereka dan menekankan pendirian masyarakat Islam bagi perdamaian dan menolak radikalisme serta keganasan.
Amirull menjadi radikal sendiri setelah menonton video mengenai konflik Israel-Palestin. Dia juga merancang untuk pergi ke Gaza, Palestin untuk mengambil bahagian dalam konflik bersenjata di sana.
"Kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi masyarakat dan anak muda kita dari ideologi radikal dan pelampau," kata Encik Esa.
“Tentunya sebagai manusia, kita dipengaruhi oleh ketidakadilan dan konflik yang timbul di perbagai pelusuk dunia.
"Dan sedang kita berusaha memainkan peranan masing-masing, dan bersimpati dengan keadaaan itu, kita perlu melihat kepada (huraian) jangka panjang dan perdamaian, tidak terpedaya oleh kumpulan radikal yang mempunyai agenda politik mereka sendiri."
Encik Esa berkata MUIS telah meningkatkanusaha untuk mendampingi golongan belia secara online, "untuk menyampaikan ajaran positif dan benar tentang Islam".
"Satu lagi usaha penting ialah melibatkan rakan dan ibu bapa, kerana golongan belia mempunyai jaringan sokongan sosial mereka sendiri, dan kami berharap ibu bapa serta masyarakat dapat bekerjasama untuk membimbing belia kita ... dari segi masalah yang mempengaruhi mereka, "katanya.
Encik Shanmugam berkata Amirull adalah individu pertama ditahan ISD kerana menjadi radikal sendiri didorong terutamanya oleh konflik Israel-Palestin.
"Ingin saya jelaskan: Dia tidak ditahan kerana bersimpati dengan perjuangan Palestin," kata Encik Shanmugam.
“Dia ditahan kerana ingin membunuh orang yang tidak bersalah di Singapura untuk menunjukkan sokongannya kepada warga Palestin. Anda boleh menyokong perjuangan Palestin, tetapi jangan sampai membunuh orang."
Encik Shanmugam berkata, pihak berkuasa berjaya mengesan banyak kes menjadi radikal sendiri hasil daripada laporan anggota keluarga dan rakan mereka. ISD juga sudah meningkatkankemampuannya untuk mengenal pasti tanda-tanda tersebut.
Namun, katanya, ada sebilangan kecil individu seperti Amirull yang menyimpan kecenderungan tersebut dan tidak berkongsi bersama orang lain, atau mereka yang menjadi radikal dalam tempoh masa yang singkat tanpa masa yang cukup bagi pihak berkuasa untuk mengenal pasti pergerakan mereka.
"Mereka melihat sesuatu pada minggu pertama, pada minggu ketiga mereka merasa marah dan mereka mahu melakukan sesuatu," katanya, sambil menarik perhatian potensi pisau dan kereta digunakan sebagai senjata.
"Jadi itulah cabaran lain: Masa yang begitu cepat bagi mereka menjadi radikal."
Encik Shanmugam menekankan lagi kebimbangannya tentang lebih banyak belia yang menjadi radikal sendiri. Ia katanya menekankan lagi bahawa orang muda mungkin tidak dapat melihat sesuatu isu dari kaca mata lebih luas.
"Keluarga anda adalah pembimbing utama anda, rakan anda (juga)," kata beliau.
"Tetapi jika anda tidak berbincang dengan keluarga atau rakan anda, dan tinggal dalam dunia anda sendiri, maka anda kurang terdedah kepada pengalaman hidup untuk membimbing anda."
Namun, Encik Shanmugam menegaskan bukan hanya orang muda yang menjadi radikal sendiri.
"Kami telah menahan mereka yang berusia 30-an, 40-an dan 50-an tahun," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.