Skip to main content

Singapura

Tahap kesedaran meningkat namun sesetengah pengguna masih gemar minuman manis, kata syarikat pengeluar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam usaha untuk memerangi penyakit kencing manis di Singapura, Kementerian Kesihatan (MOH) telah memperkenalkan label Nutri-Grade yang wajib dipaparkan pada minuman yang dibungkus atau daripada mesin layan diri.

Menjelang akhir 2023, label itu turut diwajibkan buat minuman yang dijual di cawangan makanan dan minuman (F&B) serta minuman yang disiapkan secara langsung seperti minuman yang dibancuh di kedai kopi, kedai jus dan 'bubble tea'.

Sistem gred empat tahap itu berdasarkan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman.

Ia ditandakan dengan warna berbeza - A (hijau gelap), B (hijau terang), C (jingga) dan D (merah).

Gred A merupakan kategori minuman dengan kandungan gula dan lemak yang paling rendah.

SYARIKAT PENGELUAR BUAT PENYESUAIAN

Antara syarikat pengeluar minuman tempatan yang mengalu-alukan pelaksanaan label Nutri-Grade adalah JJ Drinks Manufacturing Pte Ltd.

Jurucakap JJ Drinks Manufacturing Pte Ltd, Norman Phua. (Gambar: Nurfazirah Azman)
"Sebagai pengeluar minuman, kami mengalu-alukan pelaksanaan label Nutri-Grade ini. Kami sudah mengkaji semula keseluruhan rangkaian minuman kami untuk mengubah suai dan memastikan kesemua produk kami adalah Nutri Gred A atau B dengan mengurangkan kandungan gula serta lemak tepu," kata Jurucakap JJ Drinks Manufacturing Pte Ltd, Norman Phua.

Selain itu, syarikat tersebut juga mengambil masa selama enam bulan untuk membuat pembaharuan dari segi resipi buat produk khasnya iaitu JJ Bandung Rose Milk untuk memenuhi kriteria sebagai pilihan yang lebih sihat.
Produk-produk syarikat JJ Drinks Manufacturing Pte Ltd (Gambar: Nurfazirah Azman)
Namun, syarikat itu akui ia berdepan cabaran untuk memastikan minuman itu kekal digemari pelanggannya.

"Mengurangkan kandungan gula dalam minuman mudah, namun cabarannya adalah apabila kami perlu mengolah semula tetapi mengekalkan rasa yang sama yang digemari rakyat Singapura," kongsi Encik Phua.

Beliau turut mendedahkan syarikat itu melihat peningkatan dalam jualan produk dengan Gred A dan B melalui wadah e-dagang mereka seperti di Shopee, Lazada dan Redmart.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Buat kedai berkonsep percubaan atau 'pop-up' Gaosyp.sg pula, mereka bimbang label Nutri-Grade yang bakal dikuatkuasakan kelak akan menjejas perniagaan mereka.
Dari Kiri: Mohamed Fadzli Najh, Muhammad Amirul Haziq, Ilihalhakim Nasli, Finna Tan Mei. (Gambar: Mohamed Fadzli)

"Ia akan menjejaskan sedikit peniagaan kami tetapi pelanggan sasaran kami berumur sekitar 20-an ke 30-an jadi mereka kadang-kala inginkan minuman agak manis, tetapi kami cuba sebaik mungkin untuk mengurangkannya untuk memastikan ia tidak terlalu manis untuk mereka," kata Jurucakap GAOSYP.sg, Mohamed Fadzli Najh Mohamed Foad.

Seorang lagi peniaga dari rumah berasa lega kerana telah melaksanakan kandungan gula 0 peratus sehingga 100% bagi produk teh tariknya sejak 2020.

Cik Marni A.H. bersama pasangannya. (Gambar: Nurfazirah Azman)

"Kami gembira kerana pelanggan boleh memilih daripada 100% sampai 50 peratus, kosong atau 20% pun ada. Kami akan teruskan kesemua pilihan ini buat pelanggan kerana pelanggan kami dari pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja satu bangsa atau umur aja," kata Pengasas Teh Tarik Kak M, Marni A.H.

Menurut beliau, para pelanggannya juga semakin prihatin dengan kandungan gula dalam minuman mereka.

a
(Gambar:Marni A.H.)

UBAH CITA RASA LAMA

Beberapa pengguna yang ditemui BERITAMediacorp memilih gred pertengahan namun sedar akan kepentingan untuk mengurangkan gula dalam minuman mereka.

"Semestinya yang sihat, masalahnya kita pun berumur dah 50 tahun ke atas dan sebaiknya kita memilih yang pertengahan kerana kalau tawar pun tak sedap, tak enak jadi 50% mungkin dalam gred C pertengahan," kata Cik Surayah Ismail, 56 tahun.

Saya memilih gred yang tengah kerana kadang-kala kami buat aktiviti seharian, kita memang perlukan tenaga dan tak semestinya kita memilih air yang tak ada gula langsung. Memang kadang-kadang saya memang cari minuman yang memang ada gula tapi kalau boleh yang terkawal," kata Encik Ali Al-Ridha, 22 tahun.

Selain perniagaan runcit, label ini juga harus dipaparkan di cawangan makanan dan minuman dan syarikat katering selain tempat kerja, sekolah dan institusi kesihatan menjelang hujung 2023.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita