Tahap kesedaran jangkitan kayap ular masih rendah dalam kalangan rakyat SG: Tinjauan
SINGAPURA: Satu tinjauan baru-baru ini mendapati tahap kesedaran bagi jangkitan kayap ular (shingles) dan komplikasi berkaitannya masih rendah.
Dengan risiko jangkitan lebih tinggi dalam kalangan warga emas, lima agensi khidmat sosial dengan kerjasama GSK melancarkan gerakan kesedaran kayap ular yang pertama seumpamanya di Singapura.
Antara mereka yang pernah mengalaminya sendiri ialah Encik Lionel Lee.
Sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina dua tahun lalu, hari perayaan yang sepatutnya disambut meriah berubah menjadi kenangan yang cukup ‘memedihkan’ bagi dirinya.
Encik Lee disahkan doktor menghidapi kayap ular setelah merasakan kesakitan yang belum pernah beliau alami.
"Saya kena kayap ular di bahagian kiri belakang saya, kemudian saya dapat rasakan sakit ke bahagian ke depan pula dan ia sangat, sangat sakit.
"Saya tidak pernah rasa sakit sebegini dan saya sangat takut kerana bahagian kiri dada saya. Saya ingatkan serangan jantung atau sebagainya.
"Ruam hanya nampak dua hari kemudian dan saya ambil gambar. Saya hantar ke doktor, yang juga kawan saya. Dia beritahu saya ia kayap ular," kata Encik Lee.
Setiap tahun, sekitar 30,000 individu di Singapura dijangkiti kayap ular.
Namun, tinjauan yang dilakukan oleh Ipsos dengan GSK mendapati tahap pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang penyakit itu dan risikonya masih rendah.
Walaupun 63 peratus responden berusia 50 tahun ke atas tahu tentang kayap ular, hanya 29 peratus menyedari bahawa satu daripada tiga individu mungkin boleh menghidapinya dalam hayat mereka.
Kurang separuh pula maklum bahawa kayap ular sebenarnya boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau angin ahmar.
Pada masa yang sama, hanya kira-kira sepertiga sahaja yang tahu bahawa risiko mendapat kayap ular meningkat bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis atau masalah jantung.
"Penyakit kayap disebabkan oleh virus 'Varicella-zoster' dan ini adalah virus yang sama yang menyebabkan cacar air ataupun ‘chicken-pox’.
"Bila pesakit ada faktor-faktor yang boleh membuatkan virus itu lebih aktif. Jadilah penyakit kayap. Virus ini akan membuat keradangan kepada urat saraf dan juga saluran darah," kata Dr Mumtaz Mohamed Yusoff.
"Jadi, bila ada radang pada saluran darah dan darah tak boleh mengalir kepada jantung ataupun tak boleh mengalir ke otak dan itulah yang akan menyebabkan serangan jantung ataupun angin ahmar," tambah beliau.
5 AGENSI KHIDMAT SOSIAL & GSK LANCAR GERAKAN
Bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit kayap ular dan langkah pencegahannya, lima agensi khidmat sosial, Diabetes Singapore, Lion Befrienders, Khidmat Masyarakat Presbyterian, SASCO dan Khidmat Masyarakat TOUCH, dengan kerjasama GSK, melancarkan gerakan bagi kesedaran kayap ular yang pertama di Singapura.
Acara “Shielding from Shingles” menghimpunkan lebih 100 warga emas dan penjaga mereka untuk meraih manfaat daripada perkongsian pakar perubatan dan pengalaman pesakit.
Pelbagai reruai interaktif disediakan di acara tersebut bagi membolehkan para hadirin mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit kayap.
Antara aktiviti yang boleh dicuba adalah penggunaan 'filter' kecerdasan buatan (AI) untuk mensimulasikan bagaimana ruam kayap boleh kelihatan pada permukaan kulit.
"Ada salah tanggapan bahawa penyakit kayap hanya sekadar penyakit kulit sahaja. Mungkin mereka tidak sedar bahawa ada risiko serangan jantung dan juga angin ahmar.
"Kadangkala juga apabila ada ruam merah keluar di badan, mungkin ada sesetengah orang sensitif untuk tunjukkan kepada doktor seperti di dada atau di perut.
"Jadi saya sarankan semua orang yang ada risiko-risiko untuk berbincang dengan doktor keluarga tentang langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk elakkan daripada kayap," kata Dr Mumtaz.
Menerusi gerakan kesedaran kayap ular yang dijalankan, diharap warga emas dan penjaga mereka akan lebih peka terhadap penyakit itu serta berbincang dengan doktor mengenai keprihatinan kesihatan masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.