Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap kepuasan penumpang terhadap teksi, kereta sewa privet merosot pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tahap kepuasan penumpang terhadap khidmat teksi dan kereta sewa privet merosot pada 2022.

Hasil tinjauan tahunan itu mendapati markah bagi masa menunggu mencatatkan penurunan yang paling ketara.

Secara purata, kepuasan penumpang terhadap khidmat teksi dan kereta sewa privet memperolehi 8 daripada 10 markah pada 2022 berbanding 8.4 yang dicatatkan setahun sebelum itu, menurut dapatan Tinjauan Kepuasan Pelanggan Khidmat Teksi dan Kereta Sewa Privet (P2P) 2022 yang dikeluarkan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Isnin (6 Feb).

Tinjauan tersebut, yang mengukur tahap kepuasan para pengguna terhadap khidmat teksi dan kereta sewa privet, dijalankan antara 3 hingga 14 Oktober tahun lalu. Ia melibatkan lebih 2,700 penumpang teksi dan kereta sewa privet.

Matlamat tinjauan tersebut adalah untuk memahami jangkaan para pelanggan dengan lebih baik lagi, di samping mengenal pasti aspek-aspek yang perlu diperbaiki.

Para responden tinjauan tersebut menggunakan khidmat teksi atau kereta sewa privet sebanyak tiga kali atau lebih dalam seminggu dan menggunakan khidmat P2P pada hari yang sama tinjauan tersebut dijalankan.

Para responden diminta menilai, dari skala 1 hingga 10, sejauh mana tahap kepuasan mereka terhadap ciri-ciri utama perkhidmatan yang ditawarkan berdasarkan perjalanan mereka menaiki teksi atau kereta sewa privet baru-baru ini.

Para responden yang memberi markah enam ke atas, dianggap berpuas hati dengan ciri-ciri berkenaan.

Meskipun 95.2 peratus daripada para penumpang yang ditinjau menyatakan mereka berpuas hati dengan khidmat P2P, perangkaan tersebut lebih rendah berbanding dua tahun sebelum itu - 97.5 peratus pada 2021 dan 96.8 peratus pada 2020.

Purata kepuasan terhadap khidmat teksi mendapat skor 8.1 pada 2022, turun sedikit berbanding 8.5 pada 2021 dan 2020.

Separuh daripada lapan ciri khidmat memperolehi markah sekurang-kurangnya 8 - iaitu dari aspek keselamatan, pengetahuan pemandu tentang laluan perjalanan penumpang, keselesaan perjalanan dan maklumat perkhidmatan.

Bagi teksi, para penumpang memberikan markah tinggi dari segi keselamatan perkhidmatan, iaitu 8.7 dan pengetahuan pemandu tentang laluan perjalanan penumpang, iaitu 8.5 pada 2021.

Namun, tahap kepuasan terhadap masa menunggu untuk mendapatkan teksi, iaitu 7.1 dan akses kepada perhentian teksi, iaitu 7.6, adalah yang terendah.

Sementara itu, skor purata kepuasan terhadap khidmat kereta sewa privet adalah 7.9 pada 2022, jatuh daripada 8.3 pada 2021 dan 2020.

Empat daripada tujuh ciri - keselamatan, pengetahuan pemandu tentang laluan perjalanan penumpang, keselesaan perjalanan dan kemudahan tempahan - mendapat skor kepuasan sekurang-kurangnya 8.

Bagi teksi, keselamatan disenaraikan sebagai ciri paling utama pada skor 8.5, konsisten dengan markah yang dicatatkan pada tahun 2021, manakala pengetahuan pemandu mengenai laluan perjalanan penumpang menduduki tempat kedua pada 8.2.

Ciri terendah bagi khidmat kereta sewa privet juga adalah masa menunggu, yang diberi markah 6.9, merosot daripada 7.6 yang dicatatkan pada 2021.

"Serupa dengan hasil tinjauan pada tahun-tahun sebelumnya, para responden meletakkan harga sebagai faktor utama dalam menentukan khidmat P2P yang mana satu akan dipilih," menurut PTC.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan