Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap kepuasan penumpang pengangkutan awam merosot ke paras terendah sejak 2015

Anggaran Waktu Membaca:
01:15 Min
Tahap kepuasan penumpang pengangkutan awam merosot ke paras terendah sejak 2015
Diterbitkan : 10 Feb 2022 05:43PM Dikemas Kini : 10 Feb 2022 10:57PM

SINGAPURA: Tahap kepuasan keseluruhan penumpang kepada khidmat pengangkutan awam di Singapura pada 2021 merosot ke paras terendah sejak 2015, menurut tinjauan Majlis Pengangkutan Awam (PTC).

Majlis itu menyatakan hari ini (10 Feb) bahawa 92 peratus orang yang ditinjau berpuas hati dengan pengangkutan awam pada 2021, turun daripada 97.6 peratus pada 2020.

Angka itu adalah yang terendah sejak 2015, di mana tahap kepuasan keseluruhan kepada pengangkutan awam adalah 91.8 peratus.

Tinjauan itu dijalankan setiap tahun dan "merupakan usaha untuk memahami jangkaan dan keperluan penumpang", serta mengenal pasti aspek-aspek untuk diperbaiki, menurut PTC.

Tinjauan 2021 itu dijalankan secara online, dengan 4,212 penumpang berusia 15 tahun dan ke atas, antara 11 Oktober dengan 3 Disember tahun lalu.

Para responden diminta memberikan penilaian antara satu hingga 10, dengan markah satu mewakili rasa sangat tidak berpuas hati atau tidak penting.

Mereka yang memberi markah 6 dianggap berpuas hati.

Walaupun tahap kepuasan keseluruhannya merosot pada 2021, markah kepuasan secara purata kekal pada 7.8 untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan rating diberikan oleh para penumpang bagi setiap ciri perkhidmatan.

Ciri-ciri perkhidmatan itu ialah keselamatan, masa menunggu, keandalan, maklumat perkhidmatan, kemudahan akses ke pusat pertukaran bas atau perhentian bas atau stesen MRT, keselesaan, masa perjalanan dan khidmat pelanggan.

PERKHIDMATAN MRT
Tahap kepuasan keseluruhan bagi khidmat MRT merosot daripada 97.9 peratus pada 2020 kepada 93.6 peratus pada 2021, walaupun terdapat peningkatan dalam rating bagi maklumat perkhidmatan dan kemudahan akses ke stesen.

Semua ciri perkhidmatan lain untuk MRT susut pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Markah kepuasan secara purata bagi khidmat MRT kekal pada 7.9.

KHIDMAT BAS
Tahap kepuasan keseluruhan kepada khidmat bas juga terjejas, merosot kepada 90.8 peratus pada 2021 daripada 97.3 peratus pada tahun sebelumnya.

Terdapat peningkatan kecil dalam tahap kepuasan bagi maklumat perkhidmatan dan kemudahan akses ke pusat pertukaran bas atau pusat perhentian bas, tetapi semua ciri perkhidmatan lain merosot.

Markah kepuasan secara purata bagi khidmat bas juga susut sedikit daripada 7.8 kepada 7.7.

Tinjauan tahun lalu dijalankan oleh Forbes Research.

"Untuk memberikan gambaran lebih tepat tentang kepuasan para penumpang dan perwakilan lebih baik dari segi penduduk, pelarasan muatan penumpang digunakan pada keputusan yang dikumpul," kata PTC.

“Rating kepuasan para responden untuk lapan ciri perkhidmatan sudah disesuaikan nisbahnya dengan rating kepentingan masing-masing untuk mendapatkan rating kepuasan keseluruhan secara purata bagi perkhidmatan bas dan MRT.”

“Ia kemudian diselaraskan dengan jumlah penumpang bas dan MRT sebenar untuk memperoleh rating kepuasan menyeluruh terhadap sistem pengangkutan awam secara keseluruhannya."

 

Sumber : CNA/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa