Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Tahap kawalan COVID-19 perlu sama' sebelum S'pura, Indonesia sambung perjalanan rentas sempadan

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan hari ini (26 Mac) menyatakan bahawa Singapura dan Indonesia perlu mempunyai.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tahap kawalan COVID-19 perlu sama' sebelum S'pura, Indonesia sambung perjalanan rentas sempadan

Dr Vivian Balakrishnan di Kementerian Ehwal Luar Indonesia pada 25 Mac 2021. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar Indonesia)

Diterbitkan : 27 Mar 2021 12:05AM Dikemas Kini : 27 Mar 2021 12:07AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan hari ini (26 Mac) menyatakan bahawa Singapura dan Indonesia perlu mempunyai
"tahap kawalan yang sama" ke atas penularan COVID-19 sebelum aturan perjalanan boleh disambung semula.

Dalam satu wawancara untuk menggulung lawatannya ke Jakarta, Dr Balakrishnan berkata perjalanan rentas sempadan harus dibuat secara bertahap-tahap, selamat dan berhati-hati.

"Saya mahu menekankan bahawa kita perlu memastikan keadaan COVID-19 bertambah baik (terlebih dahulu). Secara ideal, bagi mereka mencapai tahap kawalan yang sama seperti yang kita ada di Singapura, bermakna setiap hari kita ada antara sifar dengan satu kes dalam masyarakat tempatan," kata Dr Balakrishnan.

Beliau berkata melakukan perjalanan di tengah-tengah pandemik tidak boleh sama seperti sebelum COVID-19, sehingga keadaan kembali normal dan sama di beberapa destinasi berbeza.

Beliau juga menekankan perlunya dilakukan ujian, vaksinasi dan keupayaan untuk berkongsi rekod yang boleh disahkan dan diakui untuk membolehkan perjalanan rentas sempadan.

"Jadi, ini akan mengambil masa dan oleh itu saya setuju sepenuhnya dengan Cik Retno (Marsudi). Ayuh lakukannya secara bertahap-tahap, berjaga-jaga dan berhati-hati. Itu caranya.

"Apa yang kita tidak mahu kemudian hari ialah timbul kelompok besar. Jadi bersabar dulu tetapi yakin bahawa kami sedang mengusahakannya."

Minggu lalu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Indonesia, Sandiaga Uno berkata beliau berharap untuk membuka "koridor perjalanan selamat" antara Singapura dengan Batam Nongsa dan Bintan Lagoi pada 21 April.

Hari ini (26 Mac), Indonesia mencatat 4,982 kes baru. Terdapat hampir 1.5 juta kes yang disahkan COVID-19 di Indonesia.

Singapura pula melaporkan 12 kes baru COVID-19 hari ini. Terdapat lebih 60,000 kes keseluruhannya di sini.

Dr Balakrishnan berada di Jakarta bagi lawatan kerja selama dua hari.

Pada Khamis (25 Mac), beliau menemui rakan sejawatannya Cik Retno Marsudi dan membincangkan persiapan bagi Retreat Pemimpin yang akan datang.

Kedua-duanya juga menyokong diadakan sidang puncak ASEAN berhubung Myanmar.

KEADAAN DI MYANMAR AKAN "AMBIL MASA UNTUK DIHURAIKAN"

Mengulas perkembangan di Myanmar, Dr Balakrishnan berkata beliau berbincang panjang lebar tentang isu itu dengan para pemimpin Indonesia.

"Ia bukan satu tajuk gembira. Ia merupakan satu tragedi dan akan mengambil masa untuk dihuraikan. Jadi saya akui berasa pesimis," kata beliau.

Tambahnya penting bagi ASEAN untuk menimbangkan bagaimana ia boleh terus berdiri bersama Myanmar dengan cara yang membina.

"Kami masih tidak percaya terhadap campur tangan asing dalam politik dalam negeri tetapi sebagai rakan negara anggota ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara), kami berharap mereka akan menimbangkan pandangan pemimpin kita, diberi peluang secara senyap-senyap dan terbuka antara mereka untuk mencapai huraian."

Terdapat perbincangan tentang saranan mengadakan sidang puncak berhubung Myanmar dalam kalangan pemimpin ASEAN.

"Semua negara ASEAN sekarang perlu membuat kajian mereka dan ini kemudian ini akan membentuk agenda dan asas bagi perbincangan lebih terperinci antara mereka," ujar beliau.

Beliau bagaimanapun menambah: "Jangan mengharapkan huraian segera."

Dr Balakrishnan berkata pada akhirnya, Myanmar perlu mencapai perdamaian dalam negara itu sendiri dan semua pihak berkepentingan harus duduk bersama untuk mengadakan sesi dialog yang jujur, terbuka dan membina.

Beliau berkata perlu untuk memenuhi aspirasi rakyat muda Myanmar. "Kita harus mencari cara bagi memastikan mereka rasa selamat, serta keamanan, kestabilan dan peluang yang wajar mereka terima," kata beliau.

"Kemelut seperti ini akan menimbulkan kegenjotan mungkin terhadap satu generasi. Kami harapkan yang terbaik."

Dr Balakrishnan pulang ke Singapura Jumaat malam (26 Mac).

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan