Tahanan ISA dipenjara kerana buat kenyataan palsu dalam permohonan pasport
Seorang lelaki yang ditahan pada 2016 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kegiatan berkaitan pengganasan dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu pada Khamis (22 Okt) kerana berbohong dalam satu permohonan pasport pada 2013.

Gambar yang dimuat naik di laman Facebook Zulfikar Mohamad Shariff yang memaparkan dirinya bersama anak-anak di hadapan bendera yang digunakan oleh kumpulan pengganas. (Gambar: MHA)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang ditahan pada 2016 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kegiatan berkaitan pengganasan dijatuhi hukuman penjara selama enam minggu pada Khamis (22 Okt) kerana berbohong dalam satu permohonan pasport pada 2013.
Warga Australia Zulfikar Mohamad Shariff, 49, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Pasport kerana membuat kenyataan palsu dalam permohonan pasport Singapura miliknya.
Menurut satu kenyataan media oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 8 Okt, dia memegang dua kerakyatan untuk Singapura dan Australia semasa dia diberkas.
Zulfikar telah berhijrah dengan keluarganya ke Australia pada 2002. Mahkamah dimaklumkan bahawa dia membuat permohonan bagi kerakyatan Australia bersama anak lelakinya pada 2011, dengan niat supaya anaknya mengelak menjalani perkhidmatan negara di Singapura.
Zulfikar kemudian menerima kerakyatan Australia, meskipun mengetahui bahawa Singapura tidak membenarkan status dua kerakyatan.
Dia terus melakukan perjalanan ke Singapura, menggunakan cara-cara untuk mengelak dikesan seperti meninggalkan Australia dengan satu pasport dan melakukan perjalanan ke Singapura menerusi Malaysia dengan menggunakan pasport Singapura.
Dia berjaya memasuki Singapura sebanyak 15 kali, dan kemudian memperbaharui pasport Singapura miliknya pada 2013. Dalam permohonan onlinenya, dia membuat perisytiharan bahawa dia tidak memperolehi kerakyatan sebuah negara lain iaitu satu kenyataan palsu.
Dia memerlukan pasport Singapura yang sah supaya dapat terus melakukan perjalanan ke Singapura tanpa pihak berkuasa mengetahui mengenai kerakyatan Australia yang dipegangnya, menurut mahkamah.
MHA menyatakan awal bulan ini bahawa Zulfikar diberkas oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dan ditahan di bawah ISA sejak Julai 2016 kerana "menggalak pengganasan secara aktif dan mengagung kumpulan pengganas ISIS secara online".
Perbuatannya itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua rakyat Singapura menjadi radikal dan dia juga "menggesa orang Islam untuk menolak negara berperlembagaan, sekular dan demokratik dan sebaliknya menubuhkan negara Islam yang diperintah di bawah undang-undang Syariah". Dia juga percaya bahawa keganasan wajar digunakan untuk mencapai matlamat ini.
Setelah Zulfikar ditahan, status kerakyatan Australianya dikesan dan dia didakwa atas kesalahan berkaitan pasport.
Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama enam minggu, dengan menekankan bahawa Zulfikar sengaja merancang untuk mengelak daripada dikesan dan berjaya melakukannya beberapa kali tanpa menimbulkan kesangsian.
Dia juga menyembunyikan tentang dua kerakyatannya dan terus memiliki kedua-dua pasport.
MHA menyatakan dalam satu kenyataan media pada 8 Okt bahawa dia sudahpun melepaskan kerakyatan Singapura yang dipegangnya dan tidak lagi merupakan rakyat Singapura setakat 26 Ogos tahun ini.
KELUARGA BERDEPAN KESUKARAN: PEGUAM
Peguam pembela meminta hukuman penjara empat hingga lima minggu, dengan berkata bahawa kes anak guamnya adalah "unik".
Zulfikar ditahan di bawah ISA untuk lebih empat tahun, kata peguam itu, sambil menambah bahawa keluarganya di Australia menghadapi kesukaran sejak ketiadaannya.
"Saya dimaklumkan oleh isterinya bahawa salah seorang anak klien saya juga sedang mendapatkan bantuan psikologi untuk menangani keadaan klien saya," menurut peguam itu, sambil meminta mahkamah untuk mengambil kira tempoh penahanan "lama yang dijalaninya".
Hakim itu menekankan kes itu melibatkan penipuan dan bersetuju dengan hukuman yang dikemukakan pihak pendakwa.
Atas kesalahan di bawah Akta Pasport, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.