Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahanan ISA, Ahmed Hussein Abdul Kadir, didakwa biaya kegiatan pengganasan

Seorang lelaki Singapura berusia 34 tahun didakwa di mahkamah hari ini (16 Sep) kerana menyediakan dana bagi tujuan pengganasan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Sep 2019 06:24PM Dikemas Kini : 16 Sep 2019 11:25PM

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura berusia 34 tahun didakwa di mahkamah hari ini (16 Sep) kerana menyediakan dana bagi tujuan pengganasan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Ahmed Hussein Abdul Kadir sudahpun ditahan sejak Ogos 2018 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Dia menjadi radikal dan ingin melibatkan diri dalam keganasan bersenjata bagi menyokong ISIS di Iraq dan Syria," menurut MHA dalam kenyataan medianya.

Siasatan oleh Jabatan Ehwal Komersil (CAD) mendapati Ahmed Hussein memberi S$1,056 pada 29 Julai 2016 dan AS$62 (S$86) pada 3 Sep 2016 kepada seseorang di luar negara yang menguruskan kegiatan-kegiatan pengganas.

"Tindakan membiayai urusan pengganas adalah kesalahan serius, tidak kira jumlahnya, di bawah Akta Pengganasan (Sekatan Pembiayaan)," menurut MHA.

Jika didapati bersalah, perintah tahanan terhadap Hussein akan dibatalkan dan dia dikehendaki menjalani hukuman penjara seperti yang ditetapkan oleh mahkamah, tambah MHA.

"Bagi mencegahnya daripada menyebarkan idea-idea radikal kepada tahanan lain, dia akan diasingkan dan diletakkan di bawah pemulihan sepanjang menjalani hukuman penjara," jelas MHA lagi.

Apabila Hussein selesai menjalani hukuman penjara, penilaian akan dijalankan terhadapnya bagi memeriksa sama ada "dia sudah kembali ke pangkal jalan atau kekal sebagai ancaman kepada masyarakat".

"Jika dia masih kekal sebagai ancaman, dia boleh terus ditahan di bawah ISA," menurut MHA.

"Orang ramai dinasihati agar tidak memindahkan wang, tidak kira jumlahnya, atau menyediakan sebarang bentuk sokongan menerusi khidmat, bekalan atau bahan-bahan kepada kumpulan pengganas, atau membantu dalam urusan menjalankan tindakan pengganas," tambah MHA lagi.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menyediakan khidmat atau hartanah bagi urusan pengganas boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

"Pengganasan dan pembiayaannya sememangnya satu ancaman besar terhadap keselamatan dalam negeri mahupun pada peringkat antarabangsa. Tindakan global diperlukan bagi menyekat pendanaan atau sumber-sumber kumpulan pengganas," menurut MHA.

"Singapura menyertai usaha global ini dan sangat komited untuk menolak pembiayaan pengganasan, tidak kira sama ada (wang) digunakan untuk mejalankan urusan tersebut di dalam atau luar negara."

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kegiatan seumpama itu harus segera memaklumkan pihak berkuasa.  

Sumber : CNA/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan