Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TAFEP siasat Ubisoft S'pore atas dakwaan berlaku gangguan

Pejabat Singapura bagi gergasi permainan video, Ubisoft, sedang disiasat atas dakwaan berlaku gangguan seksual dan diskriminasi perkauman, menurut Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dalam kontroversi terkini bagi firma Perancis itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
TAFEP siasat Ubisoft S'pore atas dakwaan berlaku gangguan

Logo syarikat gergasi permainan video Perancis, Ubisoft. (Gambar fail: Robyn Beck/AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 06:00PM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 06:02PM

SINGAPURA: Pejabat Singapura bagi gergasi permainan video, Ubisoft, sedang disiasat atas dakwaan berlaku gangguan seksual dan diskriminasi perkauman, menurut Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dalam kontroversi terkini bagi firma Perancis itu.

Penerbit permainan video pecah panggung, Assassin's Creed dan Far Cry itu menyaksikan beberapa kakitangan kanan meletak jawatan tahun lalu selepas timbul dakwaan mengenai salah laku seksual.

Bulan lalu, laman permainan Kotaku menerbitkan dakwaan berlaku gangguan, pembulian dan perbezaan gaji antara kaum menyusuli temu bual bersama dengan 20 bekas kakitangan dan pekerja yang masih bertugas di Ubisoft Singapore.

TAFEP, badan pemerhati pekerjaan di Singapura, memberitahu Mediacorp pada Khamis (19 Ogos) bahawa ia sedang "menyiasat perkara itu" setelah menerima "maklum balas tanpa nama yang mengandungi pautan kepada rencana-rencana media mengenai dakwaan berlaku gangguan di tempat kerja serta layanan tidak adil di Ubisoft Singapore".

"Para individu yang mempunyai maklumat tentang sebarang tingkah laku jenayah seperti gangguan dan serangan seksual seharusnya melaporkan insiden-insiden seumpama itu dengan segera kepada polis," kata jurucakap TAFEP.

Para pekerja dan bekas kakitangan yang ditukil dalam laporan oleh Kotaku itu membuka mulut dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.

Dua wanita mendakwa mereka disentuh secara tidak wajar dan diberi komen tidak sesuai manakala seorang lagi pekerja berkata: "Jurang pendapatan antara pekerja tempatan dengan ekspatriat tidak masuk akal sama sekali."

Dalam kenyataannya kepada Mediacorp pada Rabu, Ubisoft Singapore menyatakan bahawa ia sedia maklum akan tuduhan-tuduhan yang dibuat kepada TAFEP.

"Memandangkan perbincangan dengan mereka masih dijalankan, kita tidak mempunyai apa-apa yang boleh dikongsi buat masa ini," menurut kenyataan itu.

"Setiap studio Ubisoft, termasuk Ubisoft Singapore, berusaha untuk mewujudkan dan memupuk budaya yang boleh dibanggakan para anggota pasukan serta rakan kongsi. Kami tidak akan bertolak ansur terhadap diskriminasi atau penaniayaan.

"Kami meraikan budaya antarabangsa kami dan berusaha untuk memastikan pasukan kami dapat berintegrasi dengan baik bersama masyarakat setempat."

Ubisoft memberitahu Mediacorp ia mempunyai lebih 500 pekerja di Singapura.

Industri permainan sejagat sudah lama menerima kritikan berhubung layanannya terhadap wanita dan kumpulan minoriti baik dalam permainan dan kehidupan sebenar. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan