Tadika, sekolah-sekolah & kumpulan belia pergiat usaha pupuk sikap cintai bumi dalam generasi muda
SINGAPURA: Anak-anak muda adalah masa depan dan generasi yang diharapkan untuk meneruskan usaha dalam melestarikan alam sekitar.
Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Lantas, pendidikan awal tentang kepentingan memelihara alam sekitar ini amat penting agar mereka dapat menjadi pelapis bagi usaha-usaha sedia ada bagi tujuan tersebut.
Ini yang mendorong tadika dan badan yang ditemui BERITAmediacorp untuk memupuk sikap cintai bumi dalam diri kanak-kanak dan para belia.
Antaranya ialah Tadika Zulfa yang terletak di Jurong West, di mana usaha untuk memupuk minat kepada gaya hidup mesra alam dan kemampanan sudahpun bermula seawal usia tiga tahun lagi.
Ini cuba diterapkan dalam kegiatan-kegiatan sekolah seperti Hari Perlumbaan yang dianjurkan pihak tadika berkenaan.
Kali ini, Hari Perlumbaan itu bertemakan pengangkutan dan murid-murid dikehendaki mencipta dan membuat kenderaan miniatur menggunakan barang-barang yang dikitar semula.
"Dengan kerjasama ibu bapa, kami mengadakan satu projek untuk kanak-kanak membuat di rumah dan menggalakkan mereka menggunakan barang-barang yang dikitar semula untuk membolehkan mereka mempelajari pelbagai jenis kenderaan di dalam kelas," kongsi Pengetua Tadika Zulfa di Jurong West, Rozita Pardi.
Dengan kenderaan yang direka menggunakan bahan-bahan kitar semula, kanak-kanak itu memulakan Hari Perlumbaan dengan sesi 'show and tell' atau tunjuk dan ceritakan tentang kenderaan mereka dan kemudian dibawa sekeliling sekolah dan di luar bilik darjah untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti menarik.
"Hari ini, saya bermain dengan kenderaan saya dan lepas itu kami berlumba, dan bermain di luar bilik darjah," kongsi Aura Sofea, pelajar K2, kepada BERITAmediacorp.
Bagi Umar Zikri pula, dia berkongsi bahawa dia mempelajari bagaimana untuk membuat kapal terbang menggunakan kertas.
"Ayah saya mengajar saya untuk membuat kapal terbang," kata Umar.
Apabila ditanya pula mengapa penting untuk menjaga alam sekitar, ini jawapan cerdik Ayra Khadijah:
"Sebab bumi adalah tempat untuk kita tinggal dan bantu."
KANAK-KANAK ADALAH MASA DEPAN KITA - PENDEDAHAN PERLU MULA DARI KECIL LAGI
Bagi Tadika Zulfa ini, mereka menganggap pendedahan kepada gaya hidup mesra alam dan kemampanan sebagai antara perkara yang penting untuk dilakukan dari usia yang muda lagi.
"Mereka adalah masa depan kita dan mereka yang akan menggunakan alam ini selepas kita," ujar Cik Rozita.
"Kita juga perlu memulakan semasa mereka masih kecil lagi sebab ia dapat tinggalkan kesan yang berkekalan dan apabila mereka dewasa kelak, insya-Allah mereka akan meneruskan usaha ini," tambah beliau lagi.
Selain program seperti Hari Perlumbaan ini, Tadika Zulfa juga menerapkan cara lain untuk memupuk minat dalam gaya hidup mesra alam dan kemampanan dalam kalangan anak didik mereka.
Ini termasuk menggalak anak didik mereka membawa botol air sendiri untuk elak pembaziran, serta menanam tumbuhan-tumbuhan mereka sendiri di taman mini mereka, dengan hasilnya digunakan dalam pembelajaran mereka.
FITREE WALKS AJAK MASYARAKAT PELAJARI DAN HARGAI ALAM SEMULA JADI
Bagi sebuah badan Melayu/Islam bukan meraih untung, FiTree pula, usaha menggalak gaya hidup mesra alam dan kemampanan dalam kalangan anak-anak muda turut dianggap penting.
Demi memupuk minat dalam isu-isu berkenaan alam sekitar, beberapa kegiatan dianjurkan termasuk FiTree Walks, di mana para belia diajak mengembara taman-taman untuk mempelajari dan menghargai alam semula jadi.
Istimewanya kali ini, ia merupakan kali pertama badan itu menganjurkan FiTree Walks bersama agensi lain seperti Foodscape Collective.
Seawal 9.30 pagi lagi, sekitar lapan peserta - kebanyakan belia - sudahpun berkumpul di Taman Jurong Central, untuk mempelajari tentang tanaman yang boleh dimakan di kebun itu dan tanah kompos.
Dibawa sekeliling kebun, mereka berpeluang melihat dan mempelajari dengan lebih dekat lagi tanam-tanaman seperti serai, pisang dan Asystasia.
"Saya dapat kenali bahan-bahan yang sering digunakan dalam masakan Melayu yang saya fikir agak penting untuk kami kenali kerana ini adalah ilmu dan adat yang diturunkan kepada kami daripada nenek moyang kami," kongsi salah seorang peserta, Yulianna Frederika, 24 tahun.
"Saya mempelajari tentang cara kompos - menggunakan makanan-makanan kita yang sudah tidak dimakan untuk menggunakannya kembali di kebun ini," kongsi seorang lagi peserta, Muhammad Syahid, 24 tahun.
PERBINCANGAN DAN INTERAKSI BOLEH TINGKATKAN KESEDARAN
Sesi itu juga diselitkan dengan perbincangan dan refleksi untuk para peserta mengutarakan pandangan mereka secara santai dan terbuka tentang apa yang mereka perhatikan dan pelajari.
"Kita memberi platform untuk individu yang berfikiran sama untuk berkumpul dan menjadikan aktiviti seperti program hari ini interaktif dan yang paling penting, senang diakses dan senang untuk mereka cuba," kongsi Ketua Program FiTree, Alif Sutrisno.
"Kami juga ingin menunjukkan bahawa setiap daripada mereka mempunyai peranan untuk dimainkan dan boleh memainkan peranan itu dengan mudah dalam kemampanan dan gaya hidup mesra alam," tambahnya lagi.
Bagi Alif, para belia dan anak muda akan menjadi "pemimpin masa depan" dan adalah "harapan kita".
Lantas, beliau berpendapat bahawa ada faedahnya untuk mereka sedar dan mempelajari dari awal lagi tentang perubahan iklim dan alam sekitar.
Orang ramai juga boleh mempelajari lebih lanjut tentang usaha sekolah-sekolah untuk melahirkan generasi yang peka akan perubahan iklim dan amalkan gaya hidup yang mesra alam dengan mengurangkan penggunaan dan pembaziran menerusi episod dalam siri baru CNA Green Plan Challenge.
Dalam episod tersebut, penyampai radio Ria 897, Azura Goh mengunjungi tiga sekolah untuk melihat apakah antara usaha yang tersedia untuk menerapkan gaya hidup mesra alam.
Antaranya termasuk pengitaran semula dan menghasilkan kompos makanan menggunakan sisa makanan yang dikutip dari rumah dan kantin sekolah yang dijadikan bahan baja untuk tanah.
"Saya sudahpun pelajari daripada episod yang saya kendalikan bahawa kalau kita teruskan dengan gaya hidup kita sekarang ini di Singapura, tapak-tapak pelupusan sampah di Singapura akan penuh kurang daripada 10 tahun daripada sekarang dan ini buat saya amat membimbangkan," kongsi Azura.
Selain isu mengenai usaha memupuk budaya tersebut dalam kalangan generasi muda, siri ini juga memaparkan isu-isu seperti ekonomi hijau serta gaya hidup lebih mampan.
Siri ini boleh ditonton menerusi meWATCH serta Saluran 5 dan CNA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.