TADA semak semula yuran platform

(Gambar: TADA Singapore/Facebook)
SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa privet TADA akan mengemas kini yuran platformnya mulai 17 Ogos dalam langkah untuk memberi sokongan lebih baik kepada perniagaan tersebut.
TADA juga akan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk pemandunya dalam beberapa bulan akan datang, termasuk mengurangkan tempoh menunggu untuk pemandu mengeluarkan pendapatan mereka.
Mulai minggu depan, para penumpang akan dicaj S$0.55 bagi perjalanan yang berharga bawah S$18, manakala S$0.75 pula akan ditambah bagi perjalanan yang berharga lebih S$18, menurut TADA dalam kenyataan medianya pada Rabu (10 Aug).
Ini lebih tinggi berbanding caj yang dikenakan buat masa ini, iaitu S$0.30 bagi perjalanan yang berharga bawah S$18 dan S$0.50 bagi perjalanan yang berharga lebih daripada S$18.
"Untuk memastikan ia dapat dilihat secara jelas, yuran platform itu akan disenaraikan secara berasingan di resit penumpang setelah tamat perjalanan mereka," menurut TADA.
Tambah syarikat tersebut, tiada yuran platform akan dikenakan kepada para pemandu bagi perjalanan yang berharga S$7 dan ke bawah. Namun, yuran baru platform itu akan dikenakan kepada para pemandu yang melakukan perjalanan berharga lebih S$7, menurut TADA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
TADA juga menyatakan ia sudah mendampingi para pemandu dan penumpang mengenai yuran platform berkenaan menerusi rundingan melalui emel.
Untuk membantu para penumpang menyesuaikan diri dengan semakan yuran platform itu, TADA akan memberikan baucar S$1 dengan kod diskaun "LETSTADA" mulai 17 Ogos sehingga 11 September.
Para penumpang juga boleh menantikan lebih banyak ciri keselamatan dan kemas kini seperti perkongsian lokasi dan pemilihan lokasi yang lebih tepat, umum TADA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.