Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TADA selidik dakwaan penumpang; pemandu minta 'naik' ke rumahnya

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat khidmat kereta sewa TADA mengumumkan bahawa pihaknya sudah memulakan "siasatan menyeluruh" selepas seorang penumpang wanita mendakwa pemandu ingin 'naik' ke rumahnya.

Syarikat berkenaan masih menyemak perjalanan lalu pemandu tersebut dan sudah mendekati penumpang yang lain sekiranya mereka berdepan dengan kelakuan serupa, menurut TADA pada Isnin (25 Apr), menjawab soalan Mediacorp.

"TADA tidak akan membiarkan sebarang bentuk gangguan dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang interaksi yang menjejas keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan pemandu kami," jelas syarikat itu.

TADA mengeluarkan tindak balas berkenaan selepas seorang penumpang memuat naik catatan Facebook beliau pada Ahad (24 Apr) menyatakan bahawa pemandu tersebut menyuruh wanita itu menanggalkan pelitup muka semasa perjalanan supaya dia boleh melihat wajahnya. Pemandu itu kemudian bertanya jika dia boleh 'naik' ke rumah wanita tersebut.

"Dia berkata dia hanya ingin melihat muka saya tanpa memakai pelitup dan tahu bagaimana rupa saya," tulis wanita itu.

Pemandu itu juga didakwa bertanya kepada wanita berkenaan mengenai reka bentuk rumahnya, sama ada rumah beliau kalis bunyi dan sama ada unitnya berdekatan dengan rumah jiran.

"Dia bertanya jika dia boleh naik ke rumah saya dan saya menyatakan tidak dengan serta merta," tulis wanita tersebut.

Di ruangan komen catatan itu, seorang lagi pengguna Facebook menyatakan bahawa beliau juga bertemu pemandu yang sama dan mempunyai pengalaman yang serupa.

Mediacorp sudah menghubungi kedua penumpang untuk mendapatkan maklumat tambahan.

TADA memberikan maklum balas dan mengumumkan bahawa pihaknya sudah berhubung dengan penumpang terjejas untuk "memberikan sokongan".

"Kami komited untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara yang adil dan akan terus memastikan pihak yang terjejas mendapat maklumat terkini mengenai hasil siasatan dan tindakan yang akan diambil, " tambah TADA.

"Tambahan pula, pasukan TADA akan bekerjasama dengan sebarang siasatan luar yang dimulakan."

TADA menambah bahawa pihaknya komited untuk memastikan keselamatan kesemua penumpang dan pemandu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap sesiapa yang didapati melanggar dasar keselamatan dan antigangguan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan