Tabur bakti bimbing banduan dan bekas pesalah, dua asatizah diktiraf dengan Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden 2026
- Ustaz Mohamed Basir Mohamed Shariff uses his experience to guide former offenders and youths in Singapore, after going in and out of prison 10 times over 18 years because of drug abuse.
- Through Mawar Community Services and the Climb for Good programme, he conducts expeditions to Malaysia and Indonesia that improve participants' emotional control, perseverance and support.
- Ustazah Laila Abu Hassan, who founded Nisa' Hope Network in 2018, helps female former offenders through religious education, counselling and psychosocial support.
- The President's Volunteerism and Philanthropy Awards 2026 received 455 nominations, recognised 17 recipients and introduced a new youth category for those aged 17 to 25.
- Ustaz Mohamed Basir Mohamed Shariff menggunakan pengalamannya untuk membimbing bekas pesalah serta anak muda di Singapura, selepas keluar masuk penjara sebanyak 10 kali akibat penyalahgunaan dadah selama 18 tahun.
- Melalui Khidmat Masyarakat Mawar dan program Climb for Good, beliau menjalankan ekspedisi ke Malaysia dan Indonesia yang meningkatkan kawalan emosi, kegigihan dan sokongan peserta.
- Ustazah Laila Abu Hassan, yang menubuhkan Nisa' Hope Network pada 2018, membantu bekas pesalah wanita dengan pendidikan agama, kaunseling dan sokongan psikososial.
- Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden (PVPA) 2026 menerima 455 pencalonan, mengiktiraf 17 penerima serta memperkenalkan kategori belia baharu berusia 17 hingga 25 tahun.
SINGAPURA: Ustaz Mohamed Basir Mohamed Shariff pernah keluar masuk penjara sebanyak 10 kali akibat penyalahgunaan dadah selama 18 tahun.
Pengalaman tersebut kini dimanfaatkan penerima Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden (PVPA) 2026 itu untuk membimbing golongan yang melalui perjalanan yang serupa, selain membantu anak muda menjauhi pengaruh jenayah dan dadah.
"Saya berharap mereka tidak perlu menjalani apa yang kami pernah lalui, dan mereka dapat menjauhkan diri mereka daripada gejala-gejala demikian," ujar Ustaz Basir.
Pengarah program Khidmat Masyarakat Mawar itu juga menekankan kepentingan peranan keluarga dalam membantu bekas pesalah membina semula kehidupan mereka.
"Keluarga adalah benteng pertama. Kalau kita di penjara, keluarga kita yang datang, bukan kawan-kawan kita. Jadi apabila kita keluar daripada penjara, keluarga amat penting untuk seseorang bekas pesalah itu untuk integrasi balik kepada masyarakat," kongsinya.
Di antara program yang dijalankannya adalah 'Climb for Good', iaitu program pendakian yang membina keperibadian peserta.
Program tersebut menekankan kerjasama berpasukan, kegigihan, daya tahan dan semangat setiakawan, serta belajar untuk saling menyokong dan memberi inspirasi antara satu sama lain.
Antara Mei 2025 dan Februari tahun ini, Ustaz Basir telah mengendalikan lapan ekspedisi ke Malaysia dan Indonesia.
Program itu membuahkan hasil, dengan para peserta menunjukkan peningkatan hampir 25 peratus dalam aspek kawalan emosi, kegigihan dan sokongan rakan sebaya.
Malah, terdapat peserta yang kembali sebagai mentor bagi kumpulan-kumpulan baru.
"Ini bermakna mereka sudah boleh berdikari sendiri dan mereka juga boleh menjadi pemberi dan memegang amanah dan diberi keyakinan untuk mereka menjalankan program itu sendiri sebagai mentor,'' kata Ustaz Basir.
Setakat ini, beliau telah membantu lebih 100 keluarga bekas pesalah setiap bulan melalui program pemulihan dan kekeluargaan.
22 TAHUN DAMPING BANDUAN WANITA, BEKAS PESALAH
Selama lebih dua dekad, Ustazah Laila Abu Hassan mendampingi golongan banduan dan bekas pesalah.
Baginya, bimbingan tersebut tidak seharusnya berhenti selepas mereka dibebaskan.
Keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi bekas pesalah wanita mendorongnya untuk menubuhkan Nisa' Hope Network pada 2018.
Pertubuhan itu menyediakan pendidikan agama, kaunseling dan sokongan psikososial bagi lebih 50 bekas pesalah.
Penerima anugerah 'People of Good' itu berkata pengalaman menyaksikan perubahan golongan tersebut mendorongnya untuk meneruskan usahanya.
"Kita sediakan ruang jembatan untuk mereka meneruskan kehidupan. Supaya kita bantu mereka membina keyakinan diri dan mereka juga dapat memberi sumbangan kepada masyarakat," kongsi Ustazah Laila.
Sepanjang 22 tahun melakukan kerja tersebut, Ustazah Laila berkata beliau banyak belajar daripada golongan yang dibimbingnya.
"Bila saya masuk penjara, kita bukan nampak mereka sebagai seorang pesalah. Tapi kita belajar, seorang ibu, seorang isteri, seorang anak, di mana mereka juga melalui kehidupan yang sangat-sangat pahit dan getir," kongsinya.
Pengalaman itu juga mengajarnya tentang kepentingan untuk membina kepercayaan dengan para banduan.
"Ada kalanya mereka ingat saya ustazah. Jadi ada jurang. Lama-kelamaan, mereka tahu saya memang terbuka, saya tidak hukumi mereka. Mereka dapat rasa yang saya memang betul-betul ingin bantu mereka," katanya.
Beliau berharap lebih ramai asatizah akan tampil menjadi sukarelawan dan menyumbang kepada usaha membimbing golongan banduan dan bekas pesalah.
"Jangan takut menghadapi mereka. Perlu faham bagaimana cara mengajar di luar, mengajar di madrasah dan di penjara lain. Tapi InsyaAllah mulakan dengan langkah pertama, jadi sukarelawan. Kita akan sayang mereka. Bila kita faham, kita akan jatuh cinta dengan mereka, InsyaAllah," tambah Ustazah Laila.
PVPA TERIMA PENCALONAN TERTINGGI, 17 INDIVIDU, PERTUBUHAN DAN INISIATIF MASYARAKAT DIIKTIRAF
Tahun ini, Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden 2026 menyaksikan jumlah pencalonan tertinggi dalam sejarahnya, sebanyak 455.
Daripada jumlah tersebut, seramai 17 individu, pertubuhan dan inisiatif masyarakat diiktiraf atas sumbangan positif mereka kepada masyarakat.
Majlis penyampaian anugerah diadakan pada Rabu (7 Okt) di Raffles Hotel dengan anugerah disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, David Neo.
Acara tahun ini turut memperkenalkan kategori belia baharu untuk mengiktiraf sumbangan belia berusia antara 17 hingga 25 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.