TAA sasar kumpul S$1.9 juta bagi kempen dana amal tahun ini
SINGAPURA: Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menetapkan sasaran mengumpul dana sebanyak S$1.9 juta untuk kempen Dana Amal Ramadan tahun ini.
Jumlah itu, menurut Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Mohd Najib Sahib, adalah kira-kira S$300,000 lebih tinggi berbanding dana yang disasarkan tahun lalu.
Sasaran dana lebih banyak itu, menurut Encik Najib, bagi menjalankan program-program untuk menyokong para penerima bantuan yang layak sepanjang Ramadan tahun ini, termasuk golongan berpendapatan rendah masyarakat Melayu/Islam.
"Seperti tahun lepas kita mempunyai lebih daripada 3,000 keluarga yang menerima bantuan. Alhamdulillah, untuk tahun ini kita sudah menerima permohonan lebih daripada 3,500 keluarga. Mungkin daripada jumlah ini sekitar 3,500 itu, akan menerima bantuan sekurang-kurangnya S$500 untuk setiap keluarga," jelas Encik Najib.
Dengan tema "Seikhlas Kasih, Berjuta Harapan", kempen tahunan itu dilancarkan pada Jumaat (6 Feb)
Encik Najib mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk meneruskan sokongan terhadap usaha-usaha yang dikendalikan TAA.
"Dengan bantuan dan sokongan daripada masyarakat kita, keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah ini dapat manfaat daripada sokongan yang kita berikan," kata beliau.
E-SEPADU MUDAHKAN PROSES PERMOHONAN
Turut hadir di acara pelancaran itu ialah Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Dalam ucapannya, beliau menyebut tentang keberkesanan sistem permohonan online yang digunakan tahun ini.
"Platform digital ini merupakan satu langkah ke hadapan yang bermakna dalam menjadikan bantuan lebih mudah diakses dan lebih cekap," jelas Encik Saktiandi.
Menerusi portal sepadu.sg, para pemohon dapat menghantar borang serta dokumen tambahan secara online tanpa perlu menyerahkannya secara fizikal.
"Saya rasa usaha TAA untuk melakukan ini sebenarnya membantu, terutamanya bagi pemohon yang menghadapi cabaran pergerakan, serta penjaga sepenuh masa kanak-kanak berkeperluan khas atau anggota keluarga warga emas. Jadi penggunaan pendigitalan untuk benar-benar membantu masyarakat kita," ujar Encik Saktiandi.
Meski peranan TAA pada bulan Ramadan sangat penting, Encik Saktiandi menggalakkan supaya sokongan terhadap pertubuhan itu dapat diteruskan pada bulan-bulan lain.
"Saya rasa penting untuk kita meningkatkan sifat keihsanan dan bergotong royong untuk menolong mereka yang tidak berkemampuan pada bulan selain Ramadan juga," katanya.
Beliau juga mengalu-alukan lebih ramai individu serta pertubuhan untuk bekerjasama dan menyokong TAA sepanjang tahun, supaya usaha bersama dapat diperkukuhkan dan tiada sesiapa dalam masyarakat diabaikan.
Orang ramai boleh menyumbang derma secara langsung di Pejabat TAA di Joo Chiat Road atau menerusi online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.