Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TAA sasar kumpul lebih S$1.2 juta tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

Kempen Tabung Amal Aidilfitri (TAA) bagi Ramadan tahun ini dilancarkan malam ini (15 Mac), dengan matlamat mengumpulkan lebih S$1.2 juta.

Majlis pelancarannya di Wisma Geylang Serai (WGS) dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad.

Kempen tahun ini menggabungkan pendekatan hibrid dengan memanfaatkan kedua-dua platform digital dan konvensional.

Kotak-kotak derma kembali diletakkan dalam kawasan Bazar di Geylang Serai dan Hab Tampines Kita.



Bercakap di pelancaran itu, Encik Zaqy berkata pandemik COVID-19 telah menjejaskan semua orang, termasuk pertubuhan amal seperti TAA, yang terpaksa menyesuaikan diri dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Sungguhpun begitu, pemerintah, agensi sosial, dan masyarakat telah bekerjasama untuk mengatasinya.

Beliau memuji usaha TAA yang mengambil langkah proaktif pada masa sukar untuk membantu golongan kurang bernasib baik, termasuk menyediakan bantuan kewangan yang dipertingkatkan kepada para penerima bantuan.

"Ini satu sikap gotong-royong daripada masyarakat Melayu, terutama sekali pada bulan Ramadan, mengambil kira dan keprihatinan untuk mereka yang memerlukan supaya mereka dapat menyambut Hari Raya dan juga Ramadan dengan lebih selesa," kongsi Encik Zaqy.

Sumbangan dan sokongan sebegitu amat penting untuk TAA kata beliau.



Maka itu, beliau berharap masyarakat akan terus menyokong kempen TAA kali ini, lebih-lebih lagi dengan kos inflasi dan kos kehidupan yang lebih tinggi.

"Di sini, kita berharap kita dapat memanfaatkan lebih ramai daripada masyarakat kita terutama sekali dalam bulan Ramadan ini di mana kita membantu mereka terutama sekali mereka yang kurang berkemampuan," ujar Encik Zaqy.

Tahun lalu, TAA mengagihkan S$1.92 juta kepada 3,600 penerima bantuan, iaitu satu jumlah rekod dalam sejarahnya selama 30 tahun.



Kali ini, ia menyasarkan untuk mengumpul lebih S$1.2 juta untuk memanfaatkan lebih daripada 3,500 penerima.

Menurut TAA, ia sedang memproses permohonan bagi tahun ini dan jumlah sebenar penerima akan diumumkan pada akhir Ramadan nanti.



"Untuk tahun ini, kumpulan yang kami beri tumpuan adalah mereka yang kurang berkemampuan, dan yang berpenyakit kronik," kongsi Hamsani Raoh, Pengamanah Dana Amanah TAA.

Menurut TAA, cabarannya adalah untuk mengekalkan kuantum bantuan kewangan untuk para penerimanya pada tahun ini.

TAA bergantung pada ihsan dan kemurahan hati masyarakat dan berharap keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Namun Encik Hamsani berharap kos rasa hidup yang meningkat tidak menghambat para penderma untuk menghulurkan derma mereka dengan seikhlas hati.

TAA akan terus bekerjasama rapat dengan Mediacorp Radio Warna942 dan rakan media untuk meluaskan jangkauan kempen, dengan harapan dapat mengumpul dana yang amat diperlukan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan