Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TAA sambut ulang tahun ke-30, beri penghargaan kepada para dermawan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 3,600 penerima bantuan menerima S$1.9 juta secara keseluruhannya tahun ini dalam bentuk bantuan kewangan daripada Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Jumlah dana yang dikumpul tahun ini meningkat lebih dua kali ganda berbanding sekitar S$850,000 pada tahun 2018.

Perangkaan tersebut diumumkan Pengerusi TAA, Encik Zulkifli Mohammed semasa menyampaikan ucapannya di acara sambutan ulang tahun TAA yang ke-30 pada Rabu (7 Sep).

Menyentuh tentang keupayaan TAA selama 30 tahun untuk terus-menerus membantu para penerima bantuan mereka, Encik Zulkifli Mohammed mengatakan bahawa TAA sentiasa mencari cara untuk mengumpul dana yang lebih.

Antara usaha yang dilakukan badan amal tersebut termasuk menjalani transformasi digital dan menjalani operasi mereka secara online.

Demikian antara banyak perubahan yang disaksikan salah seorang Anggota Lembaga Pemegang Amanah TAA, Encik Hamsani Raoh sepanjang tiga dekad penubuhannya.

Encik Hamsani yang sudah berkhidmat dengan TAA sejak 2006 berkata: “TAA sekarang bukan sahaja membantu orang yang memerlukan bahkan mereka yang berpenyakit kronik serta yang dalam keadaan terdesak.”

“Kita melihat TAA harus berfungsi lagi 30 atau 50 tahun akan datang dan melestarikan perananya demi sejahterakan masyarakat Singapura tidak kira Melayu/Islam mahupun masyarakat bukan Islam,” tambah beliau.

TAA IKTIRAF DUA SYARIKAT DERMAWAN DENGAN ANUGERAH PERMATA BUDI

Sempena sambutan ulang tahun TAA ke-30, badan tersebut turut memberikan pengiktirafan kepada para dermawan yang sudah banyak berjasa kepada badannya menerusi Anugerah Permata Budi.

Salah satu yang diberi penghargaan itu adalah syarikat Hoe Kee Hardware Pte Ltd, yang merupakan antara tiga dermawan yang menyumbang jumlah tertinggi kepada TAA.

Pengarah syarikat tersebut, Cik Nancy Quah berkata: “Saya rasa berbesar hati menerima anugerah ini. Kita sudah menjalankan perniagaan di pusat membeli-belah Tanjong Katong Complex (TKC) dan kami sangat menyokong usaha TAA dan bantuannya untuk masyarakat.”

“Pada pendapat saya, apa yang perniagaan saya sudah terima daripada masyarakat, perniagaan saya juga perlu memberi kembali kepada masyarakat,” tambah beliau.

Cik Quah malah berkata bahawa meskipun kedua-dua TAA dan syarikatnya tidak lagi akan beroperasi di TKC mulai tahun depan, itu tidak bermakna bahawa sokongan mereka kepada TAA akan berhenti di sini.

Sebuah lagi syarikat yang diberi penghargaan yang sama ialah syarikat Marine & Offshore Integrated Logistics (S) Pte. Ltd.

Syarikat itu telah terus-menerus menyumbang kepada TAA sejak 14 tahun lalu.

Pengarah syarikat itu, Encik Mohamed Ali sepatutnya menerima anugerah semasa acara itu, namun tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Sebaliknya, anak Encik Mohamed Ali, Encik Muhamad Syafiq Mohamed Ali menerima anugerah tersebut bagi pihaknya.

Encik Syafiq berkata: “Saya dan keluarga saya berbesar hati menerima anugerah ini. Saya rasa ia penting untuk terus menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Bantuan daripada mereka yang lebih berkemampuan tidak kira kecil atau besar, akan menjadi amat bermakna kepada golongan memerlukan terutama sekali dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu sekarang,” tambah beliau.

Kali terakhir anugerah tersebut diberikan adalah pada 2017, apabila TAA menyambut ulang tahunnya yang ke-25.
TAA CONTOH YANG BAIK - KERJASAMA UNTUK BANTU MASYARAKAT

Acara sambutan ulang tahun TAA diserikan lagi dengan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Dalam ucapannya, Cik Fu menarik perhatian tentang usaha TAA saban tahun untuk menghulurkan bantuan dan juga menerima sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum dalam acara-acara pengumpulan dananya.

Cik Fu berkata: "Usaha pendampingan dengan TAA termasuk gerai Amal Ramadan TAA di Geylang Serai. Ia sangat bermakna kerana masyarakat Muslim dan bukan Muslim dapat mengunjungi Bazar Hari Raya di Geylang Serai dan dapat berinteraksi antara satu sama lain. Pada masa yang sama, mereka juga dapat melakukan amalan baik bersama dengan membantu mereka yang memerlukan dalam masyarakat."

Menurut Cik Fu, usaha sebegitu adalah sangat genting terutama sekali di tengah-tengah pergolakan dunia yang berlaku pada masa sekarang, termasuk ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan China serta antara Rusia dengan Ukraine.

"Ketegangan hubungan seperti ini membawa kesan seperti kenaikan harga makanan dan minyak. Jika tidak diurus dengan baik, ketegangan ini mempunyai potensi untuk menimbulkan keretakan dan salah faham di kalangan masyarakat."

"Ini adalah satu perkara yang perlu kita tangani dengan cara berhati-hati bagi memastikan semua golongan masyarakat akan dibantu. Kita akan dapat maju ke hadapan bersama sebagai satu negara dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang," kata Cik Fu.

Cik Fu malah menambah bahawa usaha pemerintah tidak mencukupi untuk membawakan perubahan ketara dalam masyarakat.

"Masyarakat secara keseluruhan termasuk perniagaan, badan-badan sosial dan masyarakat serta para individu memainkan peranan penting untuk menjaga antara satu sama lain , lebih-lebih sekali mereka yang memerlukan," kata Cik Fu.

Dalam hal tersebut, beliau berbangga dengan kerja Dana Amal TAA kerana dapat mengumpul derma dan menyalurkannya bagi memberi sokongan kewangan kepada lebih 3,600 penerima bantuan.

"Sebagai satu kerjasama antara 17 institusi Melayu/Islam, TAA adalah satu contoh yang baik bagaimana masyarakat boleh datang bersama dan membantu mereka yang memerlukan," kata beliau.

Di acara jamuan makan malam itu, Cik Grace Fu turut mengagihkan cenderahati kepada para penerima bantuan TAA.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan