Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TAA lancar SEPADU: Satu borang untuk permohonan bantuan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keluarga berpendapatan rendah dan individu Muslim kini lebih mudah mendapatkan bantuan kewangan dan sosial melalui Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Menerusi borang permohonan baharu yang dinamakan SEPADU, penerima bantuan daripada Persekutuan India Muslim (FIM), Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Pertapis, dan Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA) hanya perlu mengisi satu borang sahaja.

Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama tersebut berlangsung di Wisma Geylang Serai hari ini (Isnin, 24 Nov) dan disaksikan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Borang baharu itu bertujuan memperkemas pengurusan permohonan, membolehkan setiap pertubuhan memilih pemohon berdasarkan kriteria khusus masing-masing daripada data yang diselaraskan.

Sebelum ini, pemohon perlu mengisi pelbagai borang berbeza untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Bagi pengagihan bantuan Aidilfitri tahun ini, sebanyak 3,235 permohonan telah diterima.

Dengan pelaksanaan borang SEPADU, TAA menjangkakan jumlah permohonan akan meningkat kepada antara 4,000 hingga 6,000, kata Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Najiib Sahib.

Borang SEPADU menyelaraskan dan menggabungkan maklumat yang diperlukan oleh TAA dengan data yang dikumpulkan oleh keempat-empat pertubuhan tersebut.

Maklumat pemohon dihimpunkan dalam satu pangkalan data utama yang boleh dikongsi, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat dan berkesan.

"Dengan adanya kesepakatan antara semua organisasi yang terlibat ini, kami percaya kita dapat mengumpulkan lebih banyak data dan kerana data ini akan disimpan di TAA, kita akan dapat saring data ini semua dengan lebih baik dan kita akan kongsi data ini dengan organisasi yang lain.

"Dengan itu juga kita dapat berikan maklumat yang paling tepat yang sesuai dengan kriteria yang ditetapkan oleh organisasi untuk program-program yang dijalankan oleh mereka," kata Encik Mohd Najiib.

Dr Faishal berkata bahawa usaha sepadu itu mencerminkan peranan penting pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dalam memperkukuh pembangunan masyarakat.

Beliau juga menekankan kepentingan nilai keihsanan sebagai asas utama dalam membentuk masyarakat yang prihatin.

"Dengan adanya sifat keihsanan ini, kita bukan sahaja menolong memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan tetapi kita mahu menolong dengan lebih baik. Kita mahu memperbaiki proses kita menolong mereka dan dengan adanya hubungan yang baik di kalangan para pemimpin MMO, kita pun dapat melihat bagaimana kita boleh menyediakan proses yang lebih baik dan juga proses di mana ia mendatangkan kebaikan kemudahan, keselesaan kepada mereka yang meminta bantuan," ujar Dr Faishal.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA), Encik Haja Maideen sangat mengalu-alukan inisiatif itu.

"Persatuan kami UIMA tidak ada borang. Jadi sekarang TAA sudah ada borang ini jadi kita tidak perlu ada satu borang untuk satu persatuan. Jadi borang ini lebih mendalam, dan mempunyai semua maklumat yang diperlukan. Oleh itu, borang ini akan dapat dimanfaatkan oleh ramai penerima bantuan, tidak kira mereka Melayu atau India-Muslim," kata Encik Haja kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Presiden Pertapis, Encik Md Shaharin Md Nordin, menyatakan bahawa kemudahan yang disediakan melalui borang SEPADU membolehkan pihaknya menguruskan permohonan dengan lebih efisien.

"Dengan adanya Borang SEPADU ini, dari situ kelima-lima badan ini boleh melihat dengan lebih jelas sokongan dan bantuan yang diperlukan. Ini adalah satu inisiatif yang amat baik dari TAA. Pada pendapat saya ia adalah sesuatu yang harus dilakukan sejak dulu lagi kerana pada pandapat saya sebagai badan-badan Pertubuhan Melayu/Islam (MMO), ada banyak yang kita boleh bekerjasama untuk sama-sama membantu masyarakat," ujar Encik Md Shaharin.

Mulai hari ini, pemohon boleh mula menghantar borang SEPADU, dengan tarikh tutup permohonan pada 13 Disember ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan