TAA lancar 2 program baharu sokong pendidikan anak penerima bantuan, pupuk semangat masyarakat
Lebih banyak sokongan akan diberikan untuk bantu pendidikan pos menengah anak-anak para penerima bantuan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA).
SINGAPURA: Lebih banyak sokongan akan diberikan untuk bantu pendidikan pos menengah anak-anak para penerima bantuan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA).
Di bawah inisiatif 'Sinar Harapan', anak-anak para penerima bantuan yang layak boleh mengikuti sebuah program untuk membina rangkaian sokongan dalam kalangan belia dengan latar belakang yang serupa.
Selain dapat berkongsi ilmu melalui sesi-sesi perbincangan, mereka juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran bagi memperkasa diri.
Para peserta juga akan menerima sehingga S$500 yang diberikan sekali sahaja setiap tahun, untuk bantu biayai kos pendidikan mereka.
Ia diharap dapat memperkasakan mereka dan keluar daripada lingkaran kemiskinan.
Dalam satu wawancara bersama BERITA Mediacorp, Ketua Jawatankuasa TAA, Najiib Sahib berkongsi bahawa ia terbuka kepada anak-anak di peringkat Institusi Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan institut pengajian tinggi.
"Dengan bantuan tambahan ini, kita harap mereka akan terus menggalakkan, memastikan anak-anak mereka terus berada di institusi pengajian demi memastikan masa depan yang lebih cerah. Ini penting sangat kerana 85 peratus daripada para penerima bantuan kita mempunyai taraf pendidikan yang setinggi sekolah rendah ataupun sekolah menengah. Jadi di sini kita nampak betapa pentingnya pendidikan bagi anak-anak para penerima bantuan kita," kata Encik Najiib.
PERKASAKAN BELIA DENGAN BERI SEMULA KEPADA MASYARAKAT
Dalam usaha untuk memupuk semangat kesukarelawan pula, sebuah program dipanggil 'Sinar Bakti' turut diperkenalkan.
Di bawah program tersebut, para peserta ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja relawan bersama sesebuah pertubuhan kebajikan selama enam bulan.
Selepas selesai melakukan kerja-kerja sukarelawan untuk lapan jam setiap bulan, mereka akan menerima S$100.
Selain memberi peluang untuk para belia tersebut menyumbang kembali kepada masyarakat, ia diharap dapat menyuntik nilai-nilai positif termasuk sikap bertanggungjawab dan disiplin.
(Gambar: TAA)
Encik Najiib menambah sebanyak 16 pertubuhan rakan kerja TAA termasuk AMP, Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC), Persatuan Muhammadiyah dan Pertapis sudahpun tampil menyokong inisiatif ini.
Usaha-usaha sedemikian diharap dapat membantu seramai 600 pelajar daripada 400 keluarga penerima bantuan.
RAHAYU TEKANKAN SOKONGAN UNTUK BINA MASA HADAPAN BELIA
Kedua-dua inisiatif itu dilancarkan tetamu terhormat Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan, Rahayu Mahzam pada Sabtu (29 Jun).
Dalam ucapannya, Cik Rahayu memuji usaha TAA itu serta komitmennya untuk sama-sama membina generasi masa hadapan.
Beliau yang juga sempat beramah mesra dengan beberapa anak-anak penerima bantuan semasa majlis tersebut turut berkongsi kata-kata semangat dan menekankan kepentingan pendidikan untuk masa hadapan.
(Gambar: TAA)
"Keadaan anda tidak menggambarkan diri anda. Ia benar-benar, kumpulan orang yang ingin menyokong yang ingin melabur dalam anda yang ingin terus menaikkan anda dan saya fikir ada keindahan di dalamnya. Oleh itu, saya berharap anda bekerjasama dan menyertai perjalanan ini dan benar-benar menerima sokongan yang kami ingin berikan tetapi juga meletakkan usaha itu, semangat itu dalam mencipta pelbagai kemungkinan bagi masa depan anda. ," kata Cik Rahayu yang juga merupakan Menteri Negara Kesihatan.
Sesi yang berlangsung di Max ATRIA Singapore EXPO itu dihadiri seramai 300 anak-anak para penerima bantuan.
Sebuah sesi ceramah motivasi tentang mengatasi cabaran turut disajikan menampilkan para penceramah Ustaz Shaik Huzaifah Shaik Hussain, personaliti Khairudin Saharom dan dikemudikan pengacara Marina Yusoff.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.