Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

TAA kumpul lebih $30,000 pada hari pertama kempen; sasar lebih $1.2 juta tahun ini

Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul $32,222 pada hari pertama kempen amal Ramadan tersebut dilancarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
TAA kumpul lebih $30,000 pada hari pertama kempen; sasar lebih $1.2 juta tahun ini

Yayasan Salleh Marican menghulur sumbangan sebanyak $22,222 pada hari pelancaran Kempen Amal TAA pada 30 Mac 2022.

SINGAPURA: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul $32,222 pada hari pertama kempen amal Ramadan tersebut dilancarkan di Wisma Geylang Serai pada Rabu malam (30 Mac).

Sumbangan berjumlah $22,222 didermakan Yayasan Salleh Marican, manakala bakinya adalah sumbangan syarikat Hoe Kee Hardware.

Demi mengekalkan jumlah agihan yang diberikan kepada para penerima bantuan, TAA berharap dapat mencapai sasarannya bagi kempen amal Ramadan tahun ini.

taa

Pengerusi TAA Encik Zulkifli Mohammed berkata: "Harapan kami adalah agar kempen Ramadan TAA tahun ini dapat mengumpul derma lebih $1.2 juta.

"Jangkauan kempen Ramadan TAA tahun ini adalah melalui radio Mediacorp WARNA 94.2, Berita Harian dan media sosial. Platform derma online TAA akan terus menjadi tumpuan bagi kempen ini."

taa(Gambar: Cef Mel Dean/Facebook)

Bagi kempen tahun ini juga, dua orang Duta Kempen dilantik iaitu Cef Mel Dean dan pelakon Shahril Wahid.

ULANG TAHUN TAA KE-30

Tahun ini juga menandakan ulang tahun TAA yang ke-30.

Dalam usahanya terus mendampingi masyarakat, TAA akan terus mengukuhkan kerjasamanya dengan Pejabat Khidmat Sosial Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi-agensi khidmat sosial bagi membantu para penerima bantuan memperoleh bantuan yang menyeluruh.

Dalam ucapannya, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim berkata: "Ini menunjukkan TAA kekal relevan dalam kehidupan masyarakat kita.

faishal

"Kita mahukan TAA terus membangun untuk memainkan peranan yang penting dalam pembangunan masyarakat kita dan bersama-sama menyokong tanggungjawab kita untuk membangunkan masyarakat kita yang cemerlang, gemilang dan sama-sama kita membangunkan struktur dan rangkaian yang holistik bagi menjaga kemaslahatan masyarakat di Singapura. 

"Saya harap tahun ini kita boleh terus memberikan sokongan kepada TAA."

Dana Amanah TAA ditubuhkan pada 1992 untuk menghulur bantuan kewangan kepada mereka yang kurang bernasib baik atas sumbangan derma orang ramai.

Tahun lalu, TAA mengumpul jumlah rekod lebih $1.8 juta untuk diberikan kepada 3,600 penerima bantuan.

Setiap penerima bantuan juga menerima $400 dalam agihan semasa Ramadan tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan