TAA kini terima permohonan bantuan kewangan secara online sahaja
- TAA mengumumkan permohonan bantuan kewangan kini hanya diterima secara online melalui portal E-SEPADU, menggantikan kaedah hibrid sebelumnya.
- Kios E-SEPADU disediakan di beberapa lokasi untuk membantu pemohon yang kurang mahir teknologi, dengan sokongan kakitangan dan sukarelawan TAA.
- Kempen Sinaran Hati 2026 dilancarkan pada 22 Ogos, menyasarkan kutipan S$350,000 untuk membantu lebih 3,500 keluarga berpendapatan rendah di Singapura.
- Sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran, dan sumbangan minimum S$50 layak mendapat potongan cukai 250 peratus.
SINGAPURA: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) kini hanya menerima permohonan bantuan kewangan yang diserahkan secara online.
Pertubuhan itu mengumumkan langkah tersebut pada Sabtu (22 Ogos) semasa pelancaran kempen terbaharunya.
Proses permohonan masih dijalankan secara hibrid setakat tahun lalu, dengan pemohon lanjut usia perlu mengisi borang dan menyerahkan dokumen sokongan secara fizikal.
Namun dengan perubahan yang diumumkan, semuanya kini boleh diserahkan secara online menerusi portal E-SEPADU.
Permohonan menerusi E-SEPADU ini akan dibuka kepada warga emas berusia 55 tahun ke atas mulai 7 September, sebelum dibuka kepada semua peringkat usia dari 5 Oktober hingga akhir November.
KIOS BANTU PENERIMA BANTUAN BUAT PERMOHONAN
Bagi memudahkan mereka yang kurang mahir menggunakan teknologi, TAA juga akan menyediakan kios E-SEPADU di beberapa lokasi.
Kios itu akan dibuka pada hari-hari tertentu sepanjang tempoh permohonan, terutama di kawasan yang mempunyai ramai pemohon bantuan TAA.
"Segala maklumat boleh didapatkan di portal sepadu.sg. Di sana akan dapat segala tarikh dan tempat-tempat yang kami buka kiosk E-SEPADU," jelas Pengurus Besar TAA, Cik Huda Aljunied.
Kios E-SEPADU dilengkapi rangkaian internet yang selamat, papan kekunci dan pengimbas bagi memudahkan pemohon melengkapkan serta menyerahkan permohonan mereka secara online.
Kakitangan dan sukarelawan TAA juga akan berada di lokasi untuk membantu pemohon menggunakan kios tersebut.
KEMPEN SINARAN HATI 2026
Dalam pada itu, TAA menyasarkan untuk mengumpul S$350,000 menerusi kempen Sinaran Hati 2026 untuk membantu lebih 3,500 keluarga berpendapatan rendah dan memerlukan di Singapura.
Sinaran Hati merupakan kempen amal tahunan utama TAA bagi menyokong keluarga yang memerlukan. Kempen tahun ini berlangsung dari 13 Ogos hingga 3 November.
Ia dilancarkan secara rasmi oleh Setiausaha Parlimen Kanan Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Eric Chua, semasa CelebFest di Pusat Konvensyen Suntec City pada Sabtu (22 Ogos).
TAA dipilih sebagai badan kebajikan rasmi yang menerima sumbangan daripada CelebFest 2026, yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos.
1. Giving.sg - halaman kempen Sinaran Hati 2026
2. PayNow / Kod QR - UEN: T06CC1974E
3. Cek atas nama "TAA Trust Fund"
4. Portal TAA – www.taa.org.sg
Sumbangan sekurang-kurangnya S$50 layak mendapat potongan cukai sebanyak 250 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.