Skip to main content

Singapura

TAA agihkan $1.8 juta, jumlah terkumpul masih sekitar 40 peratus daripada sasaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tabung Amal Aidilfitri (TAA) tahun ini menyaksikan jumlah permohonan tertinggi iaitu sebanyak lebih 4,600 keluarga. 

Buat pertama kalinya juga tahun ini, permohonan bagi bantuan TAA dibuat secara hibrid - yakni secara perseorangan atau secara online di portal sepadu.sg. 

Ini sebagai persiapan sebelum permohonan untuk bantuan Sinar Ramadan TAA dilakukan di portal online tersebut secara sepenuhnya mulai tahun hadapan. 

"Permohonan tahun ini meningkat dengan banyak. Mungkin kerana kita buat cara hibrid permohonan kali ini. Ini pertama kali. Jadi, permohonan melalui online dan permohonan secara biasa. Kemungkinan ini yang menyebabkan jumlah peningkatan itu dan lagi dalam program SEPADU ini, kita ada lima persatuan yang bersama kita untuk berkongsi data. Jadi para pemohon tak perlu pergi ke persatuan, kelima-lima persatuan ini. Jadi, mungkin kerana itulah permohonan agak tinggi sikit," ujar Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Mohd Najiib Jasin Sahib.

LEBIH 3,500 KELUARGA TERIMA $500; AGIHAN S$1.8J TERTINGGI PASCA COVID-19

Related article image

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,543 keluarga yang layak dikenal pasti. 

Jumlah itu juga merupakan yang tertinggi sejak pasca COVID-19 iaitu sejak Ramadan 2023.

Setiap keluarga mendapat bantuan bernilai $500. 50 daripada mereka dijemput untuk menerima agihan secara tunai di Wisma Geylang Serai tengah hari tadi (Ahad 15 Mac), sementara baki hampir 3,500 penerima akan mendapat agihan $500 menerusi GIRO dalam beberapa hari akan datang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan yang disalurkan TAA tahun ini mencecah $1,771,500.

MASIH JAUH DARIPADA SASARAN $1.9 JUTA TAHUN INI

Related article image

Melihat jumlah permohonan yang tinggi dan jumlah bantuan yang lebih banyak, TAA turut mendedahkan kebimbangan Kempen Dana untuk Sinar Ramadan tahun ini masih jauh daripada sasaran $1.9 juta.

Jumlah yang terkumpul setakat ini sekitar 40 peratus daripada jumlah yang disasarkan. 

"Kutipan sekarang sudah mencecah $800,000. Kita masih mengharapkan sumbangan yang lebih banyak kerana kita masih jauh daripada sasaran dan Ramadan ini tinggal beberapa hari sahaja. Jadi saya harap semua penderma akan datang untuk tampil membantu TAA kali ini kerana sebabnya, jumlah yang kita kutip setiap Ramadan kurang daripada apa yang kita keluarkan. Jadi jumlah yang kita berikan itu untuk tahun ini $1.8 juta. Tapi kita mungkin dapat dalam $1.6 juta atau $1.7 juta. Jadi ada defisit di situ. Pastinya sepanjang tahun kita masih cari dana tapi selalunya dalam bulan Ramadan itu ia meliputi semua kos tapi kali ni nampaknya lembab sikit rentak kutipan. Mungkin kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu," jelas Encik Najiib kepada wartawan Roslinda Rahmat. 

Lantaran itu, tetamu terhormat majlis pengagihan tadi, Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Zhulkarnain Abdul Rahim menyeru masyarakat agar bergotong-royong menyingsing lengan untuk membantu. 

"Usaha murni TAA sudah tiga dekad lamanya dan bukan sahaja tertumpu pada bulan Ramadan sahaja tetapi ada inisiatif-inisiatif yang sepanjang tahun dan tahun ini Alhamdulillah kita lihat ada lebih ramai penerima - 3,500 iaitu rekod tertinggi. Namun, sasaran dananya masih harus dicapai dan kali ini kita menyeru kepada semua lapisan masyarakat, tidak kira muda atau tua, badan korporat, badan kebajikan yang boleh menyumbang bakti, menyumbang tenaga, menyumbang derma, sumbangan kepada TAA, kerana kita melihat belakang saya ini ramai keluarga-keluarga kita yang berkeperluan. Ini satu simbol masyarakat kita menjadi satu - bersatu-padu, solidariti kemasyarakatan kita, semangat kekitaan kita yang akan terserlah dalam bulan Ramadan ini," ujar Encik Zhulkarnain. 
 
Beliau dan TAA berharap, orang ramai akan segera membantu meningkatkan jumlah kutipan dana buat pengagihan tahun depan. 

Related article image
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita