TAA agih lebih S$1.35 juta kepada lebih 3,000 penerima bantuan tahun ini
Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mengagihkan lebih S$1.35 juta kepada 3,008 penerima bantuan tahun ini.
SINGAPURA: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mengagihkan lebih S$1.35 juta kepada 3,008 penerima bantuan tahun ini.
Seramai 60 penerima bantuan dijemput untuk menerima wang agihan antara S$400 hingga S$450 secara tunai pada Ahad (31 Mac).
Bagi lagi 2,950 penerima bantuan, mereka sudahpun menerima bantuan kewangan mereka itu menerusi GIRO lebih awal.
Majlis penyampaian itu diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City sempena acara bazar 'CelebFest Ramadan' yang berlangsung pada cuti hujung minggu ini.
"Ini kali pertama mereka (penganjur) menawarkan diri adakan pentas khas untuk pengagihan dana amal TAA 2024. Ini satu platform di mana masyarakat melihat sendiri bagaimana pengagihan kami bukan setakat di kejiranan tetapi kami pergi ke pusat bandar," kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TAA, Hamsani Raoh kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sebagai badan amal angkat 'CelebFest Ramadan' sejak tujuh tahun yang lalu, TAA juga mendapat sebuah gerai untuk mendampingi para penderma.
Hadir untuk memberikan agihan serta kata-kata semangat kepada para penerima bantuan ialah tetamu terhormat Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
"Saya dapat merasakan bagaimana ketelusan dan juga masyarakat yakin dengan apa yang dilakukan oleh TAA dan ini pada pendapat saya adalah satu pembangunan yang positif di mana kita mahukan institusi-institusi seperti TAA mempunyai wadah yang baik dan juga ketelusan dan keyakinan masyarakat," kata Dr Faishal yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri.
Bantuan yang dihulurkan juga diharap dapat memupuk sifat kemasyarakatan dan memperkasakan para penerima bantuan untuk membina masa hadapan yang lebih baik.
"Apabila kita menerima bantuan ini, kita pun boleh memikirkan bagaimana kita boleh membangunkan tabiat, ciri-ciri dan nilai-nilai untuk menyumbang, untuk pembaikan kehidupan secara holistik di mana kita boleh menolong rakan-rakan kita, ahli keluarga kita, jiran tetangga kita dan memberikan sumber-sumber yang kita ada seperti masa, daya tenaga dan wang," kongsinya.
CABARAN KEMPEN TAA 2024
Dalam pada itu, Encik Hamsani turut memberi kemas kini mengenai kempen TAA tahun ini yang berterusan sehingga 15 Mei.
Sejauh ini, ia sudahpun mengumpulkan sebanyak S$500,000 dan sasaran mereka adalah lebih S$1.3 juta.
Namun Encik Hamsani tetap optimistik menjelang akhir Ramadan.
"Secara jujur saya menyatakan bahawa kempen tahun ini merupakan satu cabaran kerana kami memang terhad. Biasanya pengalaman kami, kami hanya akan dapat sumbangan yang melambung di saat-saat akhir Ramadan kerana mereka nak mengambil berkat dan afdalnya di akhir Ramadan," tambah Encik Hamsani.
Menurut TAA, lagi 200 permohonan sedang diproses dan agihan dijangka akan dilakukan selepas Ramadan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.