TAA agih lebih $1.4 juta kepada lebih 3,600 penerima bantuan
Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mengagihkan S$1.4 juta kepada 3,611 penerima bantuan tahun ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) mengagihkan S$1.4 juta kepada 3,611 penerima bantuan tahun ini.
Sebanyak 100 penerima bantuan dijemput untuk menerima cek secara fizikal dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Ahad (16 Apr).
Antaranya ialah Cik Nurhasimah Abdullah, 61 tahun.
Sejak diserang penyakit artritis reumatoid iaitu sejenis penyakit sendi tujuh tahun yang lalu, ibu tunggal empat orang anak itu menghadapi kesukaran untuk bekerja sehingga terpaksa berhenti daripada menjadi pekerja penghantaran makanan.
Beliau kini bergantung kepada duit bantuan bulanan sekitar S$600 untuk menyara dirinya.
"Susah hendak jalan, tak boleh diri lama. Kalau hendak masak pun pakai kerusi untuk masak. Jadi saya banyak menderita. Kadang-kadang tangan tidak dapat genggam. Ambil barang ke apa-apa mesti jatuh. Jadi inilah situasi yang saya hadapi sekarang," kata Cik Nurhasimah.
Dengan bantuan S$400 dari TAA yang diterimanya itu, beliau akan menggunakannya bagi persiapan Hari Raya, namun akan tetap menyimpan sedikit bakinya buat keperluan harian.
"Untuk berbelanja, pengangkutan, untuk segalanya. Belum beli apa-apa ini. Duit dapat, pergi beli barang-barang untuk raya," jelasnya.
Sesi agihan secara fizikal hari ini dibahagikan kepada dua sesi.
Bagi lagi 3,500 penerima bantuan, mereka akan menerima bantuan kewangan menerusi GIRO.
Cik Nurhasimah adalah dalam kalangan penerima bantuan berpenyakit kronik yang menjadi tumpuan TAA, sejak beberapa tahun ini.
"Kita dapati bahawa kos perubatan sangat tinggi dan tambahan pula dengan keadaan kehidupan kita masa kini disebabkan oleh peperangan dan sebagainya, itu menyebabkan kos sara hidup sangat tinggi," kata Pengamanah TAA, Encik Hamsani Raoh.
TAA YAKIN SOKONGAN MASYARAKAT UNTUK CAPAI SASARAN
Sepanjang tiga minggu pertama Ramadan, TAA berjaya mengumpulkan lebih S$630,000.
Meskipun jumlah tersebut lebih rendah berbanding jumlah S$700,000 yang dapat dikumpulkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, ia yakin dapat mencapai sasaran S$1.2 juta dengan bantuan masyarakat pada hari-hari terakhir Ramadan.
"Kalau kita tidak membantu siapa lagi hendak membantu? Jadi untuk itu kami sentiasa mengharapkan sokongan padu daripada masyarakat dan para penderma. Jangan jemu-jemu memberikan sokongan kepada kami sehingga akhir Ramadan," tambah Encik Hamsani.
Tetamu kehormat Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian TAA dalam usaha membangunkan golongan yang memerlukan dan berisiko sepanjang 31 tahun yang lalu.
Sokongan daripada TAA juga kata Dr Faishal menyumbang kepada kemaslahatan golongan tersebut, sekali gus memperkasakan mereka.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Kita boleh memberikan pertolongan dan sokongan kepada penerima-penerima ini bukan sahaja dari segi kewangan tapi dari segi bagaimana kita boleh menolong mereka, memberikan perangsang kepada mereka bahawa di hadapan itu ada harapan. Walaupun mereka menghadapi cabaran, mereka ada di kalangan kita yang mahu menolong mereka dan juga bagaimana kita boleh memberikan ruang kepada anak-anak mereka dan generasi akan datang untuk terus membangun," ujar Dr Faishal.
Orang ramai masih boleh menderma secara online melalui wadah pelbagai wadah online.
Sumbangan secara fizikal pula boleh diberikan menerusi kotak-kotak derma yang terletak di kawasan Bazar Geylang Seri dan Hab Tampines Kita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.