Skip to main content

Singapura

T3 Changi akan jalani kerja naik taraf besar-besaran jelang pembukaan T5

Terminal 3 Lapangan Terbang Changi akan dinaik taraf secara besar-besaran untuk mengendalikan lebih ramai penumpang, umum Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Rabu (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
T3 Changi akan jalani kerja naik taraf besar-besaran jelang pembukaan T5

Pusat pemeriksaan imigresen di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 29 Apr 2026 07:53PM
  • Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow mengumumkan Terminal 3 Changi akan dinaik taraf secara besar-besaran untuk meningkatkan kapasiti penumpang sebelum Terminal 5 siap pertengahan 2030-an.
  • Tender kerja naik taraf akan dilancarkan separuh kedua tahun ini, dengan penggunaan teknologi digital dan robotik sebagai tapak ujian untuk inovasi masa depan.
  • Changi Airport Group turut melabur S$3 bilion dalam tempoh enam tahun untuk menaik taraf Terminal 1 hingga 4, termasuk penambahan kemudahan dan Skytrain.
  • Singapura bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pengendali kargo untuk mengatasi gangguan akibat konflik Timur Tengah dan mengukuhkan kedudukan sebagai hab penerbangan serta kargo udara global.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Terminal 3 Lapangan Terbang Changi akan dinaik taraf secara besar-besaran untuk mengendalikan lebih ramai penumpang, umum Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow pada Rabu (29 Apr).

Berucap di Anugerah Syarikat Penerbangan Changi di Shangri-La Singapore, Encik Siow berkata tender untuk kerja-kerja tersebut akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

"Ini mungkin merupakan kerja-kerja naik taraf lapangan terbang terakhir kami sebelum Terminal 5 (T5) siap kelak," kata Encik Siow.

Matlamat utama adalah untuk meningkatkan kapasiti penumpang – jumlah maksimum penumpang yang boleh dikendalikan oleh Lapangan Terbang Changi dalam tempoh tertentu – terutamanya semasa waktu sibuk.

"Kami sedia maklum bahawa antara sekarang dan T5, trafik penumpang akan terus berkembang. Kami ingin memastikan para penumpang dapat terus menikmati tahap keselesaan dan perkhidmatan yang sama seperti yang biasa mereka alami," kata Encik Siow.

Peningkatan ini juga akan membawa lebih banyak teknologi digital dan robotik untuk daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan pembersihan tandas. Sebahagian daripadanya akan berfungsi sebagai tapak ujian untuk huraian-huraian yang akan dilancarkan secara besar-besaran apabila T5 dibuka.

"T5 akan mengambil masa kira-kira 10 tahun lagi sebelum ia menjadi kenyataan. Sementara itu, Singapura akan terus melabur dalam terminal sedia ada untuk memastikan ia sentiasa dikemas kini," kata Encik Siow.

Apabila fasa pertama T5 siap pada pertengahan 2030-an, ia akan dapat mengendalikan kira-kira 50 juta penumpang setiap tahun – mengembangkan kapasiti Lapangan Terbang Changi sebanyak lebih 50 peratus kepada 140 juta.

Pada 2024, Changi Airport Group (CAG) mengumumkan rancangan untuk melabur S$3 bilion dalam tempoh enam tahun bagi menaik taraf Terminal 1 hingga Terminal 4. Ini termasuk penambahan gerabak Skytrain untuk membawa lebih ramai penumpang antara terminal, dewan imigresen yang lebih besar dan lebih banyak kemudahan daftar masuk.

MENGATASI GANGGUAN TIMUR TENGAH

Encik Siow juga menyentuh tentang kesan konflik Timur Tengah yang berterusan terhadap penerbangan global. Harga bahan api jet telah meningkat dengan krisis ini memberi kesan terhadap bekalan minyak global, mendorong beberapa syarikat penerbangan untuk membatalkan penerbangan dan mengenakan caj tambahan.

Singapura bertindak balas dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan lain untuk melancarkan lebih daripada 90 penerbangan alternatif dari Changi bulan lalu ke destinasi-destinasi termasuk Eropah dan Australia.

"Aturan ini memberi manfaat kepada semua pihak," kata Encik Siow. "Syarikat-syarikat penerbangan mengurangkan kesan gangguan penerbangan, walaupun buat sementara waktu. Lapangan Terbang Changi mengoptimumkan penggunaan kapasiti lapangan terbang kami dan penumpang kami mempunyai lebih banyak pilihan destinasi."

Mengenai kargo, Encik Siow berkata sektor ini sedang berkembang. Lebih daripada setengah juta tan kargo udara melalui Lapangan Terbang Changi pada suku pertama 2026 – meningkat hampir lapan peratus daripada tahun sebelumnya – menjadikan Singapura hab kargo udara kesembilan paling sibuk di dunia.

Singapura juga membawa lebih banyak rakan kongsi kargo udara untuk melengkapi pengendali sedia ada seperti DHL, FedEx, UPS dan SF Group, dengan memberi tumpuan kepada laluan utama antara Australia dan Asia.

"Lantaran itu, meskipun terdapat cabaran segera, trajektori jangka panjang untuk penerbangan terus meningkat," kata Encik Siow.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita