Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Symphony 924 putarkan irama Melayu klasik oleh Orkestra Sri Temasek

Sejarah terukir buat kumpulan orkestra Melayu pertama di Singapura, Orkestra Sri Temasek (OrST), apabila karya mereka terpilih mengisi ruang udara stesen radio Inggeris, Symphony 924.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejarah terukir buat kumpulan orkestra Melayu pertama di Singapura, Orkestra Sri Temasek (OrST), apabila karya mereka terpilih mengisi ruang udara stesen radio Inggeris, Symphony 924.

Ia sempena inisiatif 'Stars on Symphony' yang julung-julung kalinya diadakan stesen radio Mediacorp itu untuk menyokong bakat-bakat tempatan serta memberi wadah kepada para pemuzik mapan dan berpotensi untuk mempamerkan muzik mereka kepada masyarakat.

(Facebook/Majlis Bahasa Melayu Singapura)

"Kami dihubungi Symphony 924 untuk mengetengahkan lagu-lagu muzik Melayu tetapi mereka juga baru dapat tahu kami sebenarnya menggabungkan muzik Melayu dengan muzik klasikal barat. Jadi itu lagi mempengaruhi mereka untuk mengambil kami di 'Stars on Symphony'," kata Pengasas Bersama, Konduktor dan Pengarah Muzik, Encik Megat Muhammad Firdaus.

Menurutnya, projek itu dimulakan sejak Mei tahun ini, di tengah-tengah sambutan Hari Raya.

"Apa yang ditawarkan oleh Symphony 924 adalah sebagai satu pencapaian. Bukan selalu kita dengar muzik Melayu yang digabungkan dengan lagu Inggeris tapi tujuannya adalah untuk melihat keindahan kedua-duanya dalam satu masa. Kemudian dimainkan dalam stesen radio Inggeris. Jadi ini bukan sesuatu yang lazim kan? Ini harus diraikan dan harus diperbanyakkan," kata Pengasas Bersama dan Pengarah Artistik, Encik Afi Hanafi.

Sejak ditubuhkan pada 2011, OrST sudahpun membuat persembahan di dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Malaysia dan Taiwan.

Mereka juga kerap diundang untuk menghiburkan peminat muzik tempatan menerusi persembahan-persembahan di Esplanade dan giat menganjurkan acara-acara sempena Bulan Bahasa.

Dengan kelebihan mereka mengadunkan muzik tradisional Melayu dan Inggeris ke dalam sesebuah karya, OrST menyajikan dua karya yang diilhamkan dan disusun semula daripada lagu klasikal barat 'Bach' dan 'Vivaldi' untuk menghasilkan 'Zapin Bach' dan 'Rentak Empat Musim'.

(Facebook/Megat Muhammad Firdaus Mohd)

"Dengan adanya muzik barat ini diMelayukan, kita secara tak langsung memperkenalkan para pendengar dengan rentak-rentak muzik Melayu. Sepertinya dalam lagu empat musim, dia secara tak langsung ada empat asas dalam situ. Ada Asli, Inang, Joget dan Zapin," jelas Encik Megat, yang mempunyai seramai 32 anggota berusia antara 17 hingga 60 tahun di dalam kumpulannya.

TUNJUK KEPELBAGAIAN MUZIK MELAYU

Dengan 10 lagu secara keseluruhan, 'Stars on Symphony' turut menampilkan empat pemuzik lain termasuk Chloe Chua, Lauren Yeo, Lorong Boys dan Renee Yadav yang masing-masing membawa pelbagai jenis muzik klasikal barat hingga ke karya-karya teater.

Sebagai satu-satunya wakil pemuzik Melayu dalam inisiatif tersebut, OrST berharap muzik mereka dapat memupuk minat terhadap muzik Melayu, bagi semua lapisan usia.

"Dengan adanya usaha seperti ini, kami dapat memupuk rasa minat pada muzik Melayu dengan cara yang unik bukan sahaja untuk kanak-kanak tapi juga untuk orang-orang dewasa dan mungkin hingga ke datuk, nenek kita juga," tambah Encik Megat.

Encik Afi menambah, usaha itu juga peluang untuk membuktikan kepelbagaian muzik tradisional Melayu.

(Facebook/Majlis Bahasa Melayu Singapura)

"Orang akan nampak yang muzik Melayu itu ia tidak statik. Ia fleksibel dan boleh disesuaikan dan sampai boleh dihargai semua bangsa dan mungkin itu juga akan membentuk selera orang Singapura, bukan orang Melayu sahaja," ujar Encik Afi.

Sebuah konsert juga sedang dalam perancangan yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

Lagu-lagu 'Stars on Symphony' diputarkan sepanjang hari di Symphony 924, daripada 22 Ogos hingga 30 Oktober 2022.

Anda boleh mengikuti jadual berikut untuk tidak terlepas peluang:

19 - 25 Sep: Raindrops oleh David Loke (Lorong Boys)

26 Sep - 2 Okt: Rentak Empat Musim (Orkes Sri Temasek)

3 - 9 Okt: Song to the Moon oleh Dvorak (Lauren Yeo)

10 - 16 Okt: Prelude & Toccata oleh Handel (Renee Yadav)

17 - 23 Okt: Waltz from Suite Antique oleh John Ritter (Lorong Boys)

24 - 30 Okt: Caprice Basque op.24 oleh Sarasate (Chloe Chua)

Selain itu juga, orang ramai berpeluang mengenali bintang-bintang tersebut dengan lebih dekat menerusi video-video khas di meWATCH dan laman YouTube Mediacorp Entertainment serta temubual ekslusif menerusi podcast meLISTEN.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan