Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sylvia Lim tertakluk pada 'protokol standard', tidak perlu izin untuk guna tandas, kata pejabat Parlimen

Saksi di perbicaraan jawatankuasa parlimen perlu mematuhi "protokol standard" dan protokol tersebut "dilaksanakan untuk mengimbangi kesejahteraan saksi dengan proses sewajarnya", menurut Pejabat Kerani Parlimen pada Rabu (16 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Saksi di perbicaraan jawatankuasa parlimen perlu mematuhi "protokol standard" dan protokol tersebut "dilaksanakan untuk mengimbangi kesejahteraan saksi dengan proses sewajarnya", menurut Pejabat Kerani Parlimen pada Rabu (16 Feb).

Saksi juga boleh menggunakan tandas pada bila-bila masa, menurut pejabat itu.

Pejabat itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikongsi oleh pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim di Parlimen pada Selasa (15 Feb) mengenai pengalamannya ketika menunggu untuk memberi keterangan lisan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa (COP).

Cik Lim berkata: "Saya menunggu selama dua hari dalam bilik yang dikawal dan tidak dibenarkan menggunakan sebarang alat perhubungan. Apabila saya perlu ke tandas, saya ditemani pengawal keselamatan. Apabila saya minta untuk menggunakan tandas orang kurang upaya kerana ruang lebih besar, saya perlu minta izin."

"Bukankan semua ini seakan satu penindasan? Mahkamah kita tidak memberi layanan sedemikian kepada saksi," katanya.

Pejabat Kerani menyatakan semua saksi tertakluk kepada "protokol standard" mengenai penggunaan alat perhubungan dan perlu menunggu di bilik yang ditetapkan sebelum mereka dipanggil untuk memberi keterangan.

"Untuk melindungi mereka daripada tanggapan di bawah pengaruh yang tidak wajar, semua saksi dinasihati supaya tidak mempunyai alat perhubungan dan sebarang peralatan elektronik bersama mereka sehingga mereka selesai memberi keterangan masing-masing," ia menambah.

"Mereka secara perseorangan akan menunggu di bilik yang ditetapkan di mana mereka boleh dihubungi secara fizikal sehingga tiba giliran mereka.

"Mereka akan disediakan dengan bahan-bahan bacaan, makanan dan minuman bagi memastikan keselesaan dan memudahkan mereka.

"Setiap saksi juga ditemani seorang pegawai Parlimen yang boleh segera menjawab sebarang pertanyaan atau permohonan."

Pejabat itu juga menyatakan saksi boleh menggunakan tandas pada bila-bila masa.

"Tidak pun pada satu-satu masa mereka perlu mendapatkan izin untuk menggunakan tandas dan mereka boleh ke tandas sendiri apabila erlu menggunakannya," tambahnya.

Pengalaman yang dilalui Cik Lim menurut Pejabat Kerana adalah satu salah fahaman.

"Semasa kejadian yang dikongsi Cik Lim itu, beliau secara khusus bertanya kepada pegawai Parlimen lokasi tandas orang kurang upaya terdekat untuk mendapatkan lebih banyak ruang dan privasi," menurut pejabat itu.

"Sebelum menunjukkan arah ke tandas itu kepada Cik Lim, pegawai tersebut memberitahu seorang penyelia tentang pergerakan mereka sekiranya COP memanggil Cik Lim ketika dia berada di tandas.

"Malangnya Cik Lim salah faham tentang tindakan pegawai itu."

Pejabat itu menambah sebarang keprihatinan yang ditimbulkan oleh saksi COP boleh ditangani dengan segera.

"Sebarang keprihatinan dan maklum balas oleh saksi kepada COP boleh ditangani dengan segera," tambahnya.

"Termasuk tempoh di mana Cik Lim berada di Parlimen sebagai saksi COP, semalam merupakan kali pertama dia menyuarakan keprihatinannya.

"Meskipun begitu, kami mengalu-alukan peluang ini untuk mengesahkan bahawa kesemua protokol dijalankan untuk mengimbangi kesejahteraan saksi dengan proses sewajarnya."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan