Sylvia Lim tekankan PAP, WP kongsi tanggungjawab kepada rakyat SG
Anggota-anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) mengambil tempat di Parlimen sebagai pesaing tetapi bukan musuh, kata Cik Sylvia Lim di Parlimen pada Jumaat (26 Sep), sambil menambah bahawa kedua-dua parti mempunyai “matlamat yang sama”.
Pengerusi Parti Pekerja (WP), Sylvia Lim, berucap di Parlimen pada 26 September 2025. (Gambar: Mediacorp)
“Rakyat memilih kita untuk bertindak bagi pihak mereka, bagi memastikan Singapura terus bertahan untuk jangka panjang,” kata Cik Lim, yang juga pengerusi parti itu.
Cik Lim (WP-Aljunied) berucap pada hari kelima perbahasan mengenai Ucapan Presiden. Beliau dan Encik Kenneth Tiong (WP-Aljunied) merupakan dua Anggota Parlimen (AP) pembangkang yang dijadual berucap.
Dalam ucapannya, Cik Lim menceritakan pengalamannya menghadiri sebuah persidangan Parlimen di Britain bulan lalu. Beliau teringat bagaimana seorang menteri bayangan dari Parti Konservatif meminta jaminan daripada seorang ahli politik lawan daripada Parti Buruh, dan jika jaminan itu diberikan, beliau akan menerimanya. Parti Konservatif merupakan parti pembangkang utama di Britain.
“Detik itu membuat saya banyak berfikir. Pesaing politik, tetapi masih mampu memberi kredit dan keyakinan kepada satu sama lain,” katanya.
Cik Lim berkata beliau mempunyai harapan yang sama bagi Parlimen Singapura.
“Politik melibatkan persaingan, tetapi mengapa kita berada di sini? Saya ingin percaya bahawa motivasi utama adalah satu panggilan untuk berkhidmat kepada orang ramai dalam jawatan yang dipilih, satu panggilan yang paling bermakna dan mulia,” kata beliau.
Dalam penggal Parlimen ini, Cik Lim berkata beliau berharap para AP dapat membina keyakinan dalam dewan.
“Sekurang-kurangnya, kita harus ingat bahawa semua rakan sekerja di sini adalah rakyat Singapura yang sudah membuat pilihan untuk meninggalkan keselesaan mereka untuk memikul tanggungjawab nasional,” katanya.
Beliau menambah bahawa para AP harus percaya bahawa seorang rakan AP mempunyai “motivasi yang baik” walaupun mereka mungkin tidak sependapat. Dengan itu, rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada tumpuan kepada isu-isu yang penting, tambahnya.
Semasa meminta penjelasan daripada Cik Lim, Encik Victor Lye (PAP–Ang Mo Kio) terlebih dahulu bersetuju bahawa PAP dan WP mempunyai “matlamat yang sama” untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura. Beliau menambah bahawa mereka “bukan musuh” tetapi rakan, dan sudah “lama mengenali satu sama lain”.
Merujuk kepada perkongsian Cik Lim tentang Britain, beliau bertanya sama ada Cik Lim berhasrat untuk mempunyai sistem yang berbeza, kerana beliau merujuk Parlimen lain sebagai contoh.
Walaupun beliau tidak bercita-cita untuk mempunyai sistem yang lain, AP WP itu menjawab bahawa beliau percaya sistem Singapura boleh "menjadi lebih baik”.
“Apa yang paling memberi kesan kepada saya adalah detik keyakinan yang dikongsi antara satu sama lain. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, saya nampak sedikit tanda-tanda itu, tetapi saya harap ia dapat dikekalkan,” kata beliau.
TANGGUNGJAWAB KEPADA PENGUNDI
Cik Lim berkata bahawa sebagai AP, tanggungjawab utama mereka bukan kepada parti politik masing-masing, tetapi kepada rakyat Singapura.
“Tanpa mengira gabungan kita, kita mempunyai tanggungjawab untuk bersuara bagi pihak para pengundi kita dan memastikan dewan ini berfungsi untuk mereka,” kata beliau sambil menambah bahawa ini termasuk “menyoal pemerintah” dan dan meminta pertanggungjawaban “secara tegas, jika perlu”.
Pemerintah juga harus sentiasa menunjukkan bahawa ia “berkongsi sebanyak maklumat yang mungkin”.
“Dan dalam jangka panjang, rakyat Singapura yang perlu menentukan sama ada imbangan kuasa dalam dewan ini harus diubah,” kata Cik Lim.
Dalam ucapannya, Cik Lim merujuk kepada keputusan kedudukan 2024 oleh Projek Keadilan Dunia (WJP), yang menyusun indeks negara berdasarkan empat prinsip: kebertanggungjawaban, undang-undang yang adil, pemerintah yang terbuka, serta keadilan yang boleh diakses dan tidak berat sebelah. Singapura menduduki tempat ke-16 daripada 142 negara secara keseluruhan.
Walaupun Singapura mempunyai “markah yang agak baik” bagi enam daripada lapan penanda yang dikenal pasti, prestasi negara adalah tidak begitu baik bagi dua penanda yang lain.
Dua penanda itu adalah “pemerintah terbuka”, yang mengukur sejauh mana maklumat dikongsi oleh pemerintah dan kebertanggungjawaban awam, serta “kekangan ke atas kuasa pemerintah”, yang mengukur sejauh mana pihak yang memerintah terikat pada undang-undang, kata beliau.
Salah satu sebab yang mungkin menyebabkan keputusan tersebut ialah “ketidakseimbangan” dalam Parlimen, dengan hampir 90 peratus kerusi dipegang oleh parti pemerintah, katanya.
“Kami menghormati keputusan pilihan raya. Namun demikian, hakikatnya, dalam dewan, agenda pemerintah ditentukan oleh para pemimpin parti pemerintah, dan disiplin parti menuntut supaya AP parti pemerintah mengundi untuk menyokong agenda pemerintah,” kata Cik Lim.
Sebagai AP pembangkang, mereka dijangka untuk “mengambil pendirian yang bebas”, kata beliau.
“Berdasarkan pengalaman, ini bukan sesuatu yang mudah, terutamanya apabila seseorang itu dikuasai dan terlalu sedikit bilangannya. Namun itulah kewajipan kami dan itulah yang pengundi harapkan daripada kami.”
Beliau menambah bahawa AP pembangkang akan memainkan peranan dalam membina Parlimen yang dipercayai rakyat.
“Kami secara berhati-hati optimis bahawa sistem Parlimen kita mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.