Syarikat Wedding by LQ umum gulung tikar, tamat operasi 30 Okt
Syarikat penyedia khidmat perkahwinan Wedding by LQ (WLQ) yang dibelenggu lebih 20 aduan, berhubung pertikaian kewangan, mengumumkan akan gulung tikar.

(Gambar: Facebook/Wedding by LQ)
BERITAmediacorp: Syarikat penyedia khidmat perkahwinan Wedding by LQ (WLQ) yang dibelenggu lebih 20 aduan, berhubung pertikaian kewangan, mengumumkan akan gulung tikar.
Demikia, menurut satu kenyataan ringkas syarikat itu di laman Facebooknya,hari ini (18 Okt).
Menurut syarikat itu, 30 Oktober 2021 adalah hari terakhir operasinya, dan ia "tidak akan lagi menawarkan khidmatnya kepada orang ramai" setelah tarikh itu.
"Kami ingin memaklumkan bahawa kami telah melakukan sedaya upaya untuk elak sampai ke keadaan ini, namun keadaan memaksa dan malangnya, kami menjadi satu lagi mangsa COVID-19," tulis salinan surat yang bertarikh 18 Oktober yang dimuat naik di Facebook.
Sambil merakamkan penghargaannya kepada pelanggannya, WLQ menyatakan bakal mempelai yang telah membuat tempahan bagi 2022 akan dihubungi langsung berkenaan pemindahan pakej ke vendor-vendor lain pada harga yang sama.
(Sumber: Facebook/Wedding by LQ)
Pada hujung minggu lalu, BERITAmediacorp melaporkan bahawa sekurang-kurangnya empat aduan polis dan sebanyak 17 aduan kepada Persatuan Pengguna Singapura (CASE) dibuat para pelanggan terhadap syarikat itu, berhubung pertikaian kewangan.
Aduan-aduan CASE dibuat antara 1 Januari 2021 dengan 5 Oktober 2021, yang menurut badan pemantau itu secara amnya dibuat oleh pasangan terjejas yang "tidak berupaya mendapatkan kembali wang cengkeram selepas mengadakan majlis".
Manakala sebahagian yang lain pula "tidak dapat memperoleh bayaran balik bagi deposit/prabayaran yang dibuat meskipun sudah membatalkan majlis perkahwinan disebabkan sekatan-sekatan COVID-19".
Jumlah bayaran balik yang masih ditagih pasangan-pasangan terjejas adalah antara S$500 dengan hampir S$30,000, menurut CASE kepada BERITAmediacorp.
Semasa dihubungi BERITAmediacorp menerusi Facebook Wedding by LQ minggu lalu, syarikat itu menyatakan, jumlah pelanggan yang terjejas oleh peraturan COVID-19 yang berubah-ubah "sangat tinggi". Namun WLQ menambah ia "sudah mencuba sehabis baik" untuk berkomunikasi dengan setiap pelanggan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.