Syarikat telko, bank jalin kerjasama tangani skim penipuan
Sektor awam dan swasta akan meningkatkan lagi kerjasama bagi menangani trend penipuan yang semakin bertambah.
(Gambar: Shutterstock)
SINGAPURA: Sektor awam dan swasta akan meningkatkan lagi kerjasama bagi menangani trend penipuan yang semakin bertambah.
Tahun lalu, lebih 70 anggota dari 13 sindiket skim penipuan rentas sempadan diberkas, selain sekitar 8,000 penipu dan keldai wang yang disiasat.
Pegawai dari Markas Anti Penipuan berkata pihaknya mahu mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dan mewujudkan strategi-strategi baru bagi membanteras ancaman yang meningkat.
JUMLAH PENIPUAN MENINGKAT
Menurut portal antipenipuan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan, jumlah kes pancingan data tidak berkaitan perbankan yang dilaporkan adalah tertinggi antara 24 Disember dengan 30 Disember 2022.
Ini disusuli dengan skim penipuan e-dagang.
Skim penipuan pekerjaan, panggilan palsu oleh teman dan penipuan pancingan data berkaitan perbankan menduduki lima tangga teratas.
Menyusuli jumlah kes penipuan yang semakin meningkat, polis menyeru bagi kerjasama lebih rapat antara pihak berkepentingan untuk mengatasi masalah ini.
Timbalan Penolong Pesuruhjaya Aileen Yap, yang juga penolong pengarah Markas AntiPenipuan dalam Jabatan Ehwal Komersil polis berkata memandang ke hadapan, pasukannya akan "terus mengukuhkan kerjasama rapat dengan agensi-agensi pemerintah, agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara dan entiti swasta... untuk melakarkan strategi-strategi baru bagi memerangi penipuan dan mencapai visi kami sebagai sebuah negara yang bijak daripada penipuan."
Polis juga menyeru bagi kerjasama lebih rapat antara pihak berkepentingan dalam memerangi jumlah kes penipuan yang semakin meningkat.
Entiti-entiti swasta ini termasuk bank, pasaran online, syarikat telekomunikasi dan syarikat teknologi kewangan, katanya.
SATU USAHA BERSAMA
Usaha bersama secara meluas sudah pun mula dilaksanakan.
Agensi bagi Jagaan Bersepadu misalnya menggunakan video untuk mendidik golongan mudah terjejas seperti warga emas mengenai tanda-tanda bahaya untuk mengesan penipuan.
Sektor perbankan juga sedang mengukuhkan usaha antipenipuan melalui pertukaran maklumat dan pengumpulan perisikan, meskipun masih timbul beberapa cabaran.
Encik Alex Goh, ketua Pasukan Penyiasat Penipuan Akaun Simpanan di bawah jabatan Khidmat Kewangan Kumpulan Peribadi di UOB berkata pendidikan adalah kunci untuk memerangi penipuan.
"Semua orang harus sedar bahawa penipuan sangat berleluasa, atau ia semakin meningkat dan semua orang perlu kekal berwaspada," katanya.
"Di sisi yang lain, dalam sektor bank atau masyarakat yang memerangi penipuan, saya fikir cabarannya adalah untuk menyatukan pertubuhan-pertubuhan yang berbeza terutama sekali kini kami mempunyai institusi kewangan bukan perbankan yang memasuki industri ini," kata Encik Goh.
"Justeru harus ada perantara untuk menyatukan setiap pertubuhan ini untuk mempercepatkan komunikasi dan pertukaran maklumat."
Dengan penipu juga menggunakan media sosial sebagai tempat mencari mangsa, syarikat-syarikat teknologi besar juga boleh memainkan peranan.
Dr Steven Wong, profesor madya di Institut Teknologi Singapura berkata kebanyakan daripada syarikat teknologi besar sudah pun secara proaktif meningkatkan kesedaran dalam kalangan penggunanya mengenai kes-kes penipuan.
Namun, beliau menarik perhatian bahawa disebabkan oleh skala dan saiznya, wadah sedemikian sendiri digunakan oleh penipu untuk menjalankan operasi mereka.
Syarikat-syarikat telekomunikasi juga bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Penguasa Pembangunan Infokom Media dan polis untuk memutuskan talian perhubungan antara penipu dengan mangsa.
Polis menggesa orang awam supaya memuat naik aplikasi ScamShield, yang dapat menghalang panggilan penipuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.