Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat teksi lanjutkan caj tambahan S$3 dari Lapangan Terbang Changi hingga 30 Jun 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Caj tambahan S$3 bagi perjalanan dari Lapangan Terbang Changi akan dilanjutkan selama lagi enam bulan sehingga 30 Jun 2023. 

Ini selain kenaikan satu sen bagi tambang teksi berdasarkan jarak bagi semua perjalanan teksi. 

Kenaikan sementara pada caj tambahan lapangan terbang itu diperkenalkan buat pertama kali pada Mei selama sekitar sebulan untuk "memastikan terdapat lebih banyak bekalan teksi" di tempat berkenaan, menurut Lapangan Terbang Changi pada waktu itu. Syarikat-syarikat teksi kemudian melanjutkan langkah tersebut sehingga hujung 2022. 

ComfortDelGro dan Strides Taxi yang dimiliki SMRT mengumumkan pelanjutan enam bulan di Facebook pada Isnin (19 Dis), manakala Premier Taxi, Prime Taxi dan Trans-cab mengemas kini carta tambang di laman mereka untuk mencerminkan kenaikan harga yang dilanjutkan. 

Caj tambahan lokasi sementara sebanyak S$3 dari Taman Haiwan Singapura, River Wonders dan Night Safari, bagi perjalanan antara pukul 4.00 petang hingga 11.59 malam, turut dilanjutkan sehingga 30 Jun. 

Dalam satu catatan di Facebook, Strides Taxi menyatakan ia melanjutkan kenaikan tambang sementara dan caj tambahan bagi membantu pemandunya menangani kenaikan harga minyak dan elektrik yang kian meningkat. 

Caj tambahan bagi perjalanan teksi dari Lapangan Terbang Changi ialah S$8 setiap hari, mulai pukul 5.00 petang hingga 11.59 malam, dan S$6 pada waktu-waktu lain. 

Dalam satu hantaran ke Facebook pada Ahad (18 Dis), Menteri Pengangkutan S Iswaran menyatakan Lapangan Terbang Changi kini menguruskan sehingga 150,000 penumpang setiap hari, atau sekitar sejuta seminggu. Jumlah ini adalah sekitar 75 peratus tahap purata mingguan sebelum COVID-19, ujarnya. 

Lapangan Terbang Changi sudah membuat persiapan untuk menampung kenaikan trafik penumpang, dengan tenaga pekerjanya kini berada sekitar 90 peratus tahap sebelum pandemik, tambah Encik Iswaran. 

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), tambang teksi di Singapura ditetapkan secara bebas dan privet oleh syarikat-syarikat teksi. 

Perubahan tambang harus dimaklumkan terlebih dahulu kepada Majlis Pengangkutan Awam, dan pengguna harus diberitahu mengenai perubahan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum dikuatkuasakan. 

Kenaikan satu sen bagi kadar berdasarkan jarak dikuatkuasakan pada April untuk mengatasi kesan kenaikan harga minyak, susuli "maklum balas hebat" daripada pemandu teksi. 

ComfortDelGro, pengendali terbesar teksi Singapura, sebelum ini menyatakan kenaikan tersebut akan menyaksikan tambang naik sehingga 30 sen bagi perjalanan jarak 10 kilometer.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan