Skip to main content

Singapura

Syarikat-syarikat SG sasarkan pendedahan pasaran & kerjasama baru di COP28

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Nov 2023 09:56PM Dikemas Kini : 30 Nov 2023 12:03AM
SINGAPURA: Syarikat-syarikat tempatan sedang giat melakukan persiapan bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu COP28.

Selain memasarkan produk masing-masing, syarikat-syarikat tersebut juga berharap untuk menjalinkan kerjasama baharu dengan para pemain luar negara.

Sama ada melabur dalam projek penanaman semula hutan di Asia Tenggara atau jana kuasa angin di Eropah, AirCarbon Exchange (ACX) menyediakan sebuah wadah digital yang membolehkan para pelanggan membeli, berdagang atau gunakan kredit karbon mereka untuk inisiatif-inisiatif sedemikian.

Ia seumpama sebuah wadah pasaran online bagi projek-projek mengimbangi karbon yang sah.

Syarikat Singapura itu merancang untuk mempamerkan produknya di COP28 bagi memikat pelanggan dengan pemikiran serupa.

"Wawasan lebih luas kami adalah untuk mewujudkan sebuah rangkaian pasaran karbon kerana ia mungkin menjadi pasaran yang berpecah-belah jika kita tidak berhati-hati. Apa yang kami ingin lakukan adalah menyatukan dunia, agar boleh berdagang kredit karbon dengan lebih cekap dan berkesan, iaitu salah satu bentuk kewangan iklim," kata Hum Wei Mei, Ketua Global Produk Karbon & Sekitaran ACX Singapore.

Silverstrand Capital juga berharap untuk melibatkan lebih ramai pelabur dalam projek-projek biodiversiti.

Khususnya, dalam bidang seperti pemuliharaan hidupan liar dan akuakultur mampan.

Di COP28 nanti, syarikat tersebut akan menganjurkan sebuah pertandingan untuk mendapatkan pembiayaan bagi para pemenangnya dan juga menghubungkan para peserta dengan rakan-rakan kongsi.

"Para usahawan perlukan lebih daripada setakat modal sahaja untuk maju. Mereka juga memerlukan bimbingan dan sokongan. Apa yang kami ingin capai adalah untuk mempamerkan huraian bagi krisis biodiversiti dan krisis iklim," kata Kelvin Chui, pengasas Silverband Capital.

Kedua-dua syarikat merancang untuk memanfaatkan ruang-ruang kerjasama seperti Astaka Singapura di COP28 bagi menganjurkan perbincangan, ceramah dan sebagainya.

Astaka Singapura itu bertujuan menyatukan perniagaan-perniagaan untuk mempamerkan pelbagai huraian bagi menyokong tindakan iklim.

Ia sebahagian daripada rancangan untuk memperluaskan huraian tempatan ke peringkat antarabangsa.

Ini sebaliknya dapat membantu negara-negara lain mengurangkan pelepasan gas karbon dan membuat penyesuaian kepada kesan perubahan iklim.
Sumber : CNA/AI/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita